kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

PT3 menilai pelbagai potensi pelajar

KUALA LUMPUR 29 Jun - Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan memberi kelebihan kepada guru untuk menilai prestasi murid secara menyeluruh dan berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) harian di sekolah.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Indah, Ampang, Norlilah Ismail berkata, pelaksanaan PBS yang telah ditambah baik sejak April lalu memberi ‘kuasa’ kepada guru-guru untuk mempelbagaikan teknik PdP di dalam kelas secara menyeluruh berdasarkan minat serta kecenderungan pelajar dari segi akademik, kemahiran atau kokurikulum.

"Pendekatan PBS juga berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang mesra guru dan berfokuskan pengajaran dalam kelas. Di sini guru berperanan menilai dan mengesan penguasaan murid secara adil dan saksama berdasarkan perkembangan kemajuan serta pencapaian harian di dalam kelas mengikut pemerhatian secara lisan atau penulisan pelajar," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Di PUTRAJAYA, Pengetua SMK Presint 11 (1), Puan Sri Halimah Abdul Majid berkata, sistem PBS bentuk baharu ini dapat diterima oleh semua tenaga pengajar di sekolahnya.

Hal ini kerana, menurutnya, sistem berkenaan tidak lagi membebankan guru dengan kerja-kerja perkeranian sebaliknya memberi lebih masa kepada mereka untuk memberi tumpuan kepada pengajaran.

Mengenai ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), walaupun masih terlalu awal untuk membuat penilaian kerana ia baharu di peringkat permulaan, beliau pada dasarnya berpendapat sistem pentaksiran baharu itu mempunyai kelebihan berbanding Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Hal ini kerana, katanya, kaedah penilaian prestasi akademik pelajar tidak lagi dibuat ke atas kertas jawapan yang dihantar mereka di dalam dewan peperiksaan semata-mata.

Di IPOH, Guru Kanan Kemanusiaan, SMK Sultan Abdul Jalil Shah (SMKSAJS), Rohimah Zainudin berkata, dengan sistem baru itu, penguasaan pelajar terhadap pembelajaran tidak lagi dinilai semasa peperiksaan semata-mata seperti sebelumnya sebaliknya secara menyeluruh.

Di bawah PT3, beliau menjelaskan pelajar berpeluang melakukan tugasan berbentuk kajian lapangan untuk subjek tertentu antaranya Sejarah dan Geografi yang dijalankan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Sementara itu, Guru Sekolah Menengah (SMK) Seri Manjung, Rusnita Aziz berkata, sistem pentaksiran baharu itu akan memudahkan dan mengurangkan beban yang ditanggung guru selama ini.

Malahan, katanya, hubungan antara pelajar dan guru semakin erat kerana guru bertindak sebagai penyelia yang menyelia aktiviti pelajar berkenaan sepanjang PT3 dinilai.

Di SELANGOR, guru SMK Alam Desa Damai, Cheras, M. Somunaidu berkata, sistem PBS yang ditambah baik pada masa kini tidak lagi membebankan guru.

"Sistem offline yang digunakan sekarang sangat mudah dan tiada lagi rungutan daripada para guru mengenai sistem ini sekarang," katanya.

Somunaidu berkata, PT3 yang mula dilaksanakan tahun ini bagi menggantikan PMR juga menyebabkan para pelajar lebih tekun kerana di dalam PT3 tidak ada lagi soalan berbentuk objektif seperti sebelum ini.

"Dengan PT3 mereka perlu menjawab soalan di dalam bentuk subjektif. Mereka tidak lagi boleh main-main dan perlu mempunyai kemahiran untuk menjawab soalan dalam sesuatu subjek.

"Saya yakin PT3 akan menjadi satu sistem pendidikkan terbaik negara jika diaplikasikan dengan betul oleh semua pihak yang terlibat," jelasnya.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, keputusan Kementerian Pendidikan melaksanakan PT3 dilihat satu tindakan tepat dalam meningkatkan sistem pendidikan negara sekali gus melahirkan pelajar berkebolehan tinggi.

Bagi guru SMK Putatan, Intan Hazani Md. Zin, 32, PT3 mampu membentuk pelajar menjadi lebih berketerampilan dan berkebolehan mengikut kemahiran yang dimiliki masing-masing.

"Keistimewaan PT3 adalah sistem ini mampu melonjakkan pelajar mengikut kebolehan masing-masing ke peringkat lebih tinggi dan pemantauan daripada guru-guru akan memastikan kebolehan tersebut dapat terus digilap seterusnya melahirkan seorang pelajar berketerampilan cemerlang dalam bidang yang diminati," katanya.

Norul Huda Huri, 30, pula berpendapat PBS yang diperkenalkan semula pada April lalu mampu mengurangkan tekanan pelajar yang masih muda daripada dibebani ujian atau peperiksaan seperti sebelum ini.

Jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) itu berkata, kecemerlangan seseorang pelajar tidak patut dinilai berdasarkan peperiksaan sahaja kerana kebolehan lain yang dimiliki boleh menjadikan individu lebih berjaya pada masa hadapan.

Di KUCHING, Pengetua SMK Semerah Padi, Mohd. Bedrie Ali Akebar menggesa ibu bapa menyokong usaha Kementerian Pendidikan memperkenalkan penambahbaikan PBS dan ujian PT3.

Hal ini kerana katanya, PT3 mempunyai banyak kelebihan berbanding PMR dari segi menilai tahap pencapaian pembelajaran murid.

"Mungkin di peringkat awal terdapat beberapa masalah untuk mengguna pakai PBS dan PT3, namun kelemahan tersebut boleh diperbaiki dan diatasi dari semasa ke semasa," katanya.

Guru bahasa Inggeris dari Sekolah Kebangsaan (SK) Serayan/Keranji Lundu, Norizansa Rukut, 33, pula melihat PBS lebih mesra guru dan tidak membebankan disebabkan tidak perlu menggunakan sistem atas talian (online) untuk merekodkan pencapaian pelajar seperti sebelum ini.

"Selepas ini, pencapaian dan keputusan pelajar hanya direkodkan menggunakan sistem manual sebelum dihantar ke Jabatan Pendidikan untuk rujukan," katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, K. Devan, 28, berkata, PT3 meletakkan tanggungjawab kepada pihak sekolah mentadbir pentaksiran, mentaksir dan memberi skor terhadap respon (jawapan) pelajar berpandukan instrumen dan panduan penskoran setara yang disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan (LP).

Guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di SMK Batu Kikir itu menjelaskan bagaimanapun soalan PT3 masih disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan manakala pihak sekolah akan mentadbir peperiksaan.

Di ALOR SETAR, Zul Ahmad Tarmizi Hussain, 49, guru di SMK Kubang Rotan berkata, sistem pembelajaran pada masa dahulu hanya melahirkan pelajar yang diukur melalui pencapaian akademik.

Dengan pelaksanaan PBS, katanya, para guru mengukur kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti para pelajar.

"Sistem PBS ini membuatkan para guru lebih dekat dengan pelajar dan menyedari bakat-bakat yang ada dalam diri mereka. Ini membuatkan para pelajar di negara ini tidak hanya dinilai dalam bentuk peperiksaan sahaja," katanya ketika ditemui di Jalan Gunung Keriang.

Dalam pada itu, katanya, PT3 yang mula dilaksanakan tahun ini bagi menggantikan PMR adalah satu peperiksaan yang lebih terbuka namun masih dikawal oleh Lembaga Peperiksaan.

"Jika PT3 ini mampu dijalankan dengan baik saya yakin ia akan menjadi salah satu sistem terbaik dalam pendidikan negara ini," jelasnya.

Di JOHOR, Pengetua SMK Tinggi Batu Pahat, Misli Rosbadi, yakin PT3 yang merupakan salah satu daripada empat komponen PBS mampu untuk melahirkan seorang pelajar yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani.

"PT3 mengkehendaki para pelajar membuat kerja kursus bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi berbanding ujian bertulis sebelum ini.

"Dengan ini, para pelajar tidak lagi terikat dengan pendekatan menghafal semata-mata sebaliknya perlu menggunakan pendekatan baharu untuk menyelesaikan kerja kursus tersebut,’’ katanya.

Menurut Misli, menerusi PBS, pencapaian para pelajar bukan hanya dinilai pada akhir tahun tetapi di peringkat awal tahun lagi dan para guru akan dapat mengetahui kekuatan serta kelemahan para pelajar masing-masing.

Dengan cara itu, katanya, pelajar yang didapati kurang menunjukkan prestasi yang cemerlang dapat dibimbing sejak awal lagi agar tidak keciciran daripada pelajar lain.

Menyentuh tentang penerimaan warga pendidik kepada kedua-dua sistem pentaksiran baharu itu, meskipun mendapat maklum balas berbeza pada peringkat awal namun ia dapat diatasi dengan adanya sesi penerangan oleh Kementerian Pendidikan.



Utusan/Pendidikan/20140630
Tags: pbs
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments