kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hukum orang busukkan nama negara

Dalam bulan puasa ni Kunta Kinte cuba nak elak cakap hal-hal tak baik. Tapi nampaknya susah. Ada aja benda tak baik kita baca dalam surat khabar yang kita tak boleh tutup. Suka tak suka kita kena bincang juga.

Dulu, khususnya pada zaman Perang Vietnam, kita dengar orang Amerika dibagi gelaran ugly Americans atau orang Amerika hodoh pasal mereka sombong dan besar kepala bila berada di negara orang.

Sekarang kita dengar pula ungkapan ugly Chinese sebab sikap dan tabiat buruk pelancong dari negeri China. Imej pelancong dari China sangat buruk sampai Kerajaan China sendiri naik malu.

Perkara ini jadi cukup serius hingga Kerajaan China terpaksa buat undang-undang khas untuk rakyat China yang melancong, sama ada dalam atau luar negara.

Antara peruntukan yang dikenakan adalah jangan korek hidung di depan khalayak, jangan kencing dalam kolam mandi dan jangan curi jaket pelampung kapal terbang.

Mereka juga disuruh hormati undang-undang larangan merokok, jangan buang sampah merata-rata, jangan bercakap terlalu kuat atau menjerit di khalayak ramai dan jangan paksa orang tempatan ambil gambar mereka.

Kisah warganegara kita

Nampaknya kita pun tak terlepas daripada imej buruk ini pasal makin ramai warganegara kita yang buat kerja kotor dan tak senonoh di luar negara.

Sekarang tengah heboh cerita seorang anggota tentera yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi kita di New Zealand dituduh pecah rumah dan menyerang dengan tujuan merogol.

Masya-Allah! Kalau betul dakwaan Kerajaan New Zealand itu, malu besarlah kita. Nampak-nampaknya ada asas bila kerajaan kita sendiri dah ambil keputusan hantar dia balik ke New Zealand untuk hadapi tuduhan.

Kalau sabit kesalahan, busuklah nama Malaysia, nama Islam dan nama Melayu. Tahniah kepada Wisma Putra kerana serah dia kepada pihak berkuasa New Zealand.

Kalau dia budak jalanan lain ceritalah. Tapi dia seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibagi taraf diplomatik pula. Minta maaflah kalau Kunta Kinte tanya, macam mana orang macam ini boleh anggotai ATM.

Kunta Kinte tak mahulah nak tanya apa dah jadi dengan ATM atau ungkit kontroversi yang babitkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam misteri kelepasan penerbangan MH370 atau pencerobohan bumi kita oleh pengganas dan pendatang haram.

Kena tunjuk profesionalisme

Cuma sebagai wartawan tua, Kunta Kinte nostalgia mengenai masa lalu ATM bila mana namanya cemerlang kerana tewaskan komunis dan harumkan dari Congo sampai ke merata pelosok dunia.

Mudah cakaplah, kalau Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan tak bertindak tegas dan betul dalam kes yang sangat mengaibkan ini, Kunta Kinte kata mereka pun wajib dikutuk dan dicela. Alhamdulillah mereka bertindak betul dengan hantar dia balik ke New Zealand.

Mudah cakap, Kunta Kinte kata macam inilah; menteri kita yang ramai itu tolonglah tunjuk kesungguhan dan profesionalisme bila jalankan tugas. Janganlah lembik, lembut dan apologetik tidak kena tempat. Atau hanya banyak cakap. Tunjukkanlah yang mereka ada tulang belakang dan ada iltizam pertahankan maruah dan nama negara.

Jangan biarkan satu Malaysia terpalit akibat seekor dua kerbau yang bawa lumpur. Yang ini Kunta Kinte cukup bimbang pasal makin ramai rakyat Malaysia yang terbabit dengan jenayah dan kerja kotor di negara orang.

Usah pandang ringan

Laporan Bernama pada 16 Julai 2012 kata, seramai 2,500 rakyat Malaysia ditahan di penjara luar negara atas pelbagai kesalahan dalam tempoh enam bulan pertama tahun itu.

Dewan Negara dibagitahu, antara kesalahan yang mereka buat adalah seludup dadah, bunuh, palsukan kad kredit, kesalahan komersial, mencuri, kesalahan imigresen, menipu, palsukan dokumen dan seludup manusia. Daripada bilangan itu, 1,400 adalah Cina, 700 Melayu dan 400 India.

Jadi kita janganlah pandang ringan atau ambil mudah perbuatan keji rakyat jelata kita di luar negara apatah lagi kalau yang buat kerja jahat itu anggota diplomatik dan tentera. Wallahuaklam.

E-mel ke rencanabh@bh.com.my Untuk berkongsi pendapat anda. Berita Harian Rencana 2014/07/06 - 02:33:14 AM Kunta Kinte
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments