kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Menyokong Mohammad Redzuan Othman

Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman sepatutnya berasa malu. Seorang intelektual sepertinya tidak sepatutnya membiarkan reaksi keterlaluan terhadap penamatan jawatan beliau sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) dan Dekan Fakulti Sastera dan Sosial Sains UM.

Mohammad Redzuan, 59, yang akan bersara tahun depan sepatutnya berlapang dada menerima keputusan pengurusan UM sebagaimana dahulu beliau dilantik ke jawatan tersebut. Beliau bukannya dipecat tetapi diberi kebebasan untuk terus menyumbang kepakarannya selaku anggota kumpulan penyelidik Umcedel dan sebagai seorang profesor di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Yang sepatutnya lebih berasa malu ialah mereka yang memberi reaksi berlebihan daripada sepatutnya. Mereka mahukan penjelasan tetapi setelah Naib Canselor, Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaluddin menegaskan keputusan itu dibuat mengikut kepentingan universiti dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sebarang bentuk tekanan daripada pihak luar, mereka tetap bercakap sebaliknya.

Mereka tetap bercakap semua ini akibat tekanan politik. Mereka dengan pantas menyebarkan persepsi dan andaian bahawa keputusan pentadbiran UM adalah daripada arahan Putrajaya. Sekonyong-konyong para pemimpin politik pakatan pembangkang berlumba-lumba memberikan reaksi menempelak kerajaan dengan dakwaan menyekat kebebasan ahli akademik.

Seperti ada satu set reaksi digerakkan. Reaksi mereka begitu tersusun. Ada sahaja isu yang boleh dikategorikan sebagai merugikan kerajaan dan menguntungkan pakatan pembangkang, set gerakan ini akan dilancarkan. Tidakkah gerakan mereka ini diragui?

Portal propembangkang yang mula-mula menyebarkan isu tersebut sebelum disusuli dengan reaksi emosional termasuk oleh bekas timbalan menteri, Datuk Saifuddin Abdullah yang sepatutnya bersikap sederhana. Beliau mengumumkan berhenti sebagai felo penyelidik UM, sebagai solidariti bersama Mohammad Redzuan.

Gerakan seterusnya dapat dilihat sekarang. Ada demonstrasi dan bantahan daripada kumpulan pelajar. Mungkin selepas ini ada reaksi daripada pihak asing yang diundang khas oleh kumpulan ini.

Menyebelahi

Rasanya semua orang tahu siapa Mohammad Redzuan. Nama beliau popular setiap kali ada pilihan raya. Walaupun kaji selidik Umcedel selalu menyebelahi pakatan pembangkang tetapi pihak kerajaan atau parti pemerintah menanggapinya secara apa adanya.

Selain itu, kaji selidik Umcedel akan berlaku begitu sahaja sebagai sebahagian daripada konflik antara kajian ilmiah dan permainan politik.

Apa yang berlaku ke atas Mohammad Redzuan adalah satu proses biasa. Tempoh penggal perkhidmatannya akan tamat dan beliau akan bersara tahun depan. Tiada sesiapa yang memecat atau menyingkirkan beliau. Barangkali beliau sendiri yang takut kepada bayang-bayang.

Pemilihan pengarah dan dekan baharu pula dibuat secara telus, demokratik dan mengikut peraturan yang ditetapkan sebelum ini. Tiada yang luar biasa. Mereka hanya mengandaikan bahawa Mohammad Redzuan dipecat atau ada campur tangan Putrajaya. Jawatan itu pun bukanlah gah sangat. Kita pun tidak pernah mendengar ada kaji selidik Umcedel yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Malangnya, mereka bersungguh-sungguh dan sepakat mahu menyatakan semua andaian itu adalah satu kebenaran. Maka mengambil kesempatan daripada apa yang berlaku ke atas Mohammad Redzuan, diaturlah gerakan agar andaian itu dilihat benar-benar satu kenyataan. Agar nantinya Putrajaya dicap sebagai mencampuri urusan ahli akademik. Dari sini nanti, mudahlah pula gerakan seterusnya untuk memberikan gambaran buruk tentang Putrajaya terutama dalam kalangan orang muda.

Dahulu pada tahun 2011 semasa kontroversi peletakan jawatan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Datuk Dr. Rosti Saruwono tidak pula ada suara bantahan campur tangan daripada kerajaan. Kontroversi di universiti sama pada 2008 juga memperlihatkan isu yang hampir sama Razali Agus, 52, ditamatkan perkhidmatannya - campur tangan kerajaan negeri. Tetapi tiada siapa wakil daripada pakatan pembangkang mahupun NGO mereka yang peduli.

Inilah strategi politik mereka. Sesiapa juga yang menyokong atau dilihat simpati kepada pakatan pembangkang akan dibela sehabis mungkin. Lihatlah apabila ada pegawai kerajaan atau guru besar dan guru yang ditukarkan kerana isu berkaitan parti pembangkang, mereka dengan cepat melabel kerajaan tidak adil, kejam dan sebagainya. Tetapi jika sebaliknya, mereka hanya diam membisu. Inilah prinsip kebebasan, keadilan dan kesaksamaan berpilih-pilih ala pakatan pembangkang yang kesannya kini semakin memecah-belahkan masyarakat. ZULKEFLI HAMZAH Utusan/Rencana/20140706

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments