kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pulangnya biduanita sepanjang zaman

RADIO kecil berwarna biru itu berada di atas rak paling hampir dengan dapur tanah di rumah usang kami. Dengan bunyi ‘kriuk-kriuk’ kecil yang selalu terbit dek frekuensi yang terganggu kala butang ‘on’ dimainkan, itulah peneman sunyi kami anak-beranak, selain sebuah televisyen hitam putih 14 inci.

Ketika itu, awal tahun 1980-an, kami tinggal di tepi Sungai Dungun, Terengganu. Saya masih kecil tetapi sangat berminat dengan radio kerana sering menghidangkan irama-irama yang mampu membuatkan seorang anak kecil seperti saya melekat di dapur bersama arwah ibu.

Seringkali juga sedang asyik bersembang, ibu menyuruh kami adik-beradik diam, tiba-tiba. "Syhhhh, Seri Dewi Malam sudah datang, " kata arwah ibu yang sekali gus jari jemarinya memperkuatkan lagi bunyi yang teralun dari radio. Nah, alunan Seri Dewi Malam lebih mantap, mudah menyerap dan ketika itu jugalah, saya melihat wajah ibu memerah. Dalam senyum yang santun, ibu benar-benar terhibur dengan alunan suara emas penyanyinya bersenandung. Kami melihat wajah ibu seperti melur di pagi hari, kembang senyumnya penuh seri.

Kata arwah ibu, Sharifah Aini inilah pengganti Saloma, isteri P. Ramlee. Selepas Saloma tiada, ibu tidak punya artis lain yang dinanti-nantikan suaranya di radio, sehinggalah munculnya Sharifah Aini dengan kelas kesenimanan yang cukup tinggi. Kata ibu saya juga, Sharifah Aini pandai mengaji, sebab itu suaranya begitu merdu kala menyanyi.

Demikianlah seorang Sharifah Aini, membeli jiwa, memberi mimpi untuk kaum wanita berdiri, termasuk ibu saya ketika itu. Gaya, keterampilan, cara bersopan manja dia bercakap dan sudah pasti suara lemak merdu yang menjadi pembawaan adalah ciri-ciri wanita yang cukup sempurna di mata penggemar.

Selepas saya dewasa dan mengenalinya secara peribadi, penilaian saya terhadap Sharifah Aini jauh lebih tinggi berbanding zaman di mana ibu saya mengenang seorang Sharifah Aini. Kata cerdik pandai, seniman yang hebat bukan saja diukur kejayaannya tetapi usia kesenimanan yang dimilikinya. Sharifah Aini yang mesra kami panggil Kak Pah, membuktikan bahawa dia berkarya sepanjang zaman, malar segar berdekad-dekad lamanya.

Anak kepada pasangan Syed Jaafar Syed Sahil dan Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas ini dilahirkan di Nee Soon, Singapura pada 2 Julai 1953. Namun sejak usia lapan bulan lagi, Sharifah dijaga serta dibesarkan oleh neneknya, Tengku Wan Mariam Tengku Wan Tahir serta datuknya, Syed Sahil Syed Ali Al-Jufry, di Majidee, Johor Bahru.

Dengan pendapatan daripada hasil memandu teksi, kehidupan mereka sekeluarga cukup sederhana sehinggalah Sharifah Aini sewaktu kecil pernah mengambil upah menggiling cili dan menjual buah nangka serta kuih muih tradisi Johor lainnya. Nasibnya mula berubah, selepas menjuarai pertandingan Bintang RTS 1968 di Singapura dengan lagu Tiga Malam. Namanya kemudian gemilang sekali apabila berkolaborasi dengan seniman Datuk Ahmad Nawab yang mencipta lagu-lagu popular untuknya seperti Seri Dewi Malam (EP 1970), Aku Kekasih Pujaan (EP 1970) dan Aku Dan Dia (EP 1971).

Beliau kemudian disunting menjadi artis rakaman EMI dan terus bertahan dengan syarikat itu selama 38 tahun. Hasilnya, nama Sharifah Aini hari ini terukir dalam The Malaysia Book of Records sebagai penyanyi paling lama dengan sesebuah syarikat rakaman dan memiliki 135 album. Pada 2006, beliau dianugerahkan dengan gelaran Biduanita Negara.

Banyaknya lagu popular beliau menjadikan Sharifah Aini muncul sebagai artis pertama negara yang digelar ‘superstar’. Antara lagu popular lain beliau ialah Hapuslah Airmatamu, Seiring Dan Sejalan (duet bersama Broery Marantika), Terbang Helang, Bunga Tanjung, Jalak Lenteng, Seribu Mawar, Kau Tinggi Di Awan Biru, Hiburkanlah Hatiku, Kau Pergi Tanpa Pesan dan Kau Racun Hidupku.

Saya melihat dia sebagai pejuang yang berjuang sehingga ke penghujung hayat. Dua kali gagal dalam perkahwinan bukan penamat perjuangan untuk bahagia dengan percaturan diri.

Sedang satu-satu anak tunggalnya, Aliff Omar masih meneruskan pengajian di tanah Arab, Sharifah Aini hanya punya beberapa pembantu mendiami rumah bernilai jutaan ringgit itu. Lalu saya bertanya, "Rumah bagai istana raja, Kak Pah sendiri, apakah tidak sunyi?"

Jawabnya ringkas, "Barangkali sudah ditakdirkan Allah, hidup sendirian sehingga ke penghujung usia."

Bagi Sharifah Aini, dengan membahagiakan insan lain, itu menjadi sesuatu yang membahagiakan dirinya walaupun mungkin keseorangan melalui hidup yang bulat ini. Benarlah, sehingga saat 'kepulangannya', tidak ada yang sehebat dirinya. Proses menjadi seniman itulah yang menjadi tunggak ‘kekayaan’ seorang Sharifah Aini. Saya percaya sebahagian besar daripada kita sangat terhutang kepadanya.

Hari ini sama seperti ibu saya, mengenang biduanita yang meninggalkan sejuta kenangan di hati peminat. Sungguhpun saya bukan peminat setia Sharifah Aini (kerana saya bukan berada pada zamannya, barangkali), insan bernama Sharifah Aini itu sendiri menghantar banyak makna dalam kehidupan saya lewat perkenalan kami, kerana bidang tugas saya sebagai wartawan seni dan hiburan di Utusan. Dia antara sebahagian insan berpekerti baik dan berperibadi indah pada sudut pandang saya.

Di sebalik pentas yang gemerlapan, Sharifah Aini juga mengisi hidup dengan membuat amal kebajikan. Dia telah menjayakan hampir 1,000 persembahan amal selain memelihara banyak anak-anak yatim. Dia mendekatkan diri kepada Allah bersama rakan-rakan di luar dunia seni. Saya pasti dia menemui jalan pulang yang sebaiknya pada sisi seorang muslimah.

Sisi yang peribadi ini tidak dipertontonkan dan hanya yang rapat sahaja tahu bahawa dunia gemerlapan tidak menjauhkan dia dengan tuntutan seorang muslimah. Selepas berjaya memetik bintang dia tetap berpijak pada hakikat kehadirannya sebagai hamba Allah.

Detik 1.26 pagi Sabtu ketika Ramadan berada di pintu hari ketujuh, dia menutup usia 61 tahun di Pusat Pakar Perubatan Damansara. Sharifah Aini pergi setelah hampir dua tahun bertarung tiga penyakit serius, paru-paru dijangkiti kuman, radang paru-paru (dideritai semenjak dua tahun lalu) dan H1N1 yang (dideritai semenjak lima bulan yang lalu).

Duhai Seri Dewi Malam, selamat kembali menemui Pencipta. Segala budi baik, bakti luhur yang kau berikan tetap dikenang melangkau zaman. Al-Fatihah!     TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN   Utusan/Rencana/20140706

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments