kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Propaganda Great Leap

Menjelang awal 1959, keadaan di seluruh China sangat jelas menunjukkan dasar Great Leap Forward mendatangkan kesan-kesan buruk terhadap ekonomi dan keadaan hidup rakyat China. Ini telah saya ceritakan dalam beberapa coretan sebelum ini. Patut juga disebut, dasar ‘gila’ Mao Tse-tung itu dilancarkan serentak dengan Rancangan Lima Tahun Kedua negara China yang dilaksanakan mulai tahun 1958 dan berakhir pada tahun 1963.

Seperti saya katakan juga, tujuan utama Great Leap Forward ialah membangunkan secara serentak sektor pertanian dan perindustrian China. Asas perkiraan Mao ialah meningkatkan penghasilan sektor industri menerusi penggunaan tenaga manusia yang melimpah dan murah di China, tanpa perlu mengimport mesin-mesin berat. Itulah salah satu aspek pemikiran Mao yang menjadi pegangan Parti Komunis Malaya (PKM) seperti saya kisahkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 9 Mac 2014. Perlembagaan PKM menetapkan ideologi parti ialah Marxisme - Leninisme - Pemikiran Mao Tse-tung. Saya tidak nampak bagaimana pihak-pihak yang menyokong perjuangan PKM - semasa dahulu ataupun sekarang atas apa sebab sekalipun - boleh menafikan bahawa pemikiran Mao yang mahu dipraktikkan melalui dasar Great Leap Forward itu telah terbukti sebagai pemikiran karut, sekarut-karutnya.

Walaupun dalam beberapa coretan lalu saya ada menyentuh sedikit tentang kehidupan rakyat China di bawah sistem People’s Communes, saya berhasrat menambah lagi cerita tentang sistem ini kerana People’s Communes sebetul-betulnya adalah contoh praktikal kehidupan masyarakat komunis di China yang dipaksakan oleh Mao ke atas rakyat China.

Dalam tempoh sepuluh tahun selepas tertubuhnya negara komunis di China, rakyat masih dibolehkan memiliki tanah-tanah persendirian sama ada melalui usaha sendiri atau bergabung melalui koperasi kecil dan besar. Tetapi tanah masih dimiliki rakyat. Mulai awal 1958, pemilikan tanah secara peribadi - walau seinci pun - telah diharamkan di seluruh China. Serentak dengan itu, semua keluarga (households) di seluruh China telah dipaksa memasuki sistem kehidupan komunis yang dinamakan People’s Communes. People’s Communes dikait rapat dengan Communal Kitchens - atau dapur corak komunis - sebagai pelengkap kepada sistem People’s Communes. Parti komunis juga menggerakkan beberapa perubahan sosial yang besar temasuk mengharamkan semua institusi agama dan amalan-amalan mistik, dan menggantikannya dengan perjumpaan atau syarahan-syarahan politik bersifat propaganda.

Ada berbagai saiz sesebuah People’s Communes, tetapi kebanyakannya dianggotai 5,000 keluarga, dalam satu commune. Sesuai dengan ajaran komunis yang menidakkan private ownership (milik persendirian), penghuni-penghuni People’s Communes dipaksa melepaskan segala milik peribadi mereka. Ini temasuk barang-barang seperti periuk-belanga, pinggan-mangkuk, alat-alat pertanian, penternakan seperti ayam, babi, kerbau dan itik - semuanya diserahkan kepada People’s Communes yang dikendalikan oleh ahli dan kader-kader parti komunis. Boleh saya katakan, kesan ‘bersihnya’ ialah rakyat di bawah naungan Communes, hidup-mati untuk Commune, bukan untuk diri mereka.

Kehidupan seseorang manusia dikongkong dan diaturkan oleh Commune - dan oleh parti komunis. Sekolah-sekolah dan pusat jagaan anak-anak diadakan agar orang dewasa boleh diperah untuk bekerja baik diladang atau kilang. Orang-orang tua diletakkan di pusat-pusat jagaan agar tidak membebankan anak-anak mereka yang dikerah bekerja.

Menarik juga saya sebut sistem mengatur kerja dalam People’s Communes. Selain askar yang ditugaskan untuk mengawal ketenteraman, penduduk di sesebuah Communes ‘dipecahkan’ menjadi kumpulan-kumpulan kecil (sub-divisions) yang dinamakan Pasukan Kerja (Work Team). Sebuah Pasukan Kerja menggabung dua belas keluarga (kanak-kanak berumur tiga belas tahun ke atas dianggap menjadi tenaga kerja dalam kehidupan Communes). Dua belas Work Teams digabung menjadi pula satu Briged Kerja (Work Briged).

Di atas kepercayaan yang membuta tuli bahawa perangai manusia boleh dibentuk menerusi dakyah atau propaganda ideologi yang bertalu-talu, kader-kader parti komunis yang radikal yang diberi tugas menguruskan People’s Communes yakin sepenuhnya bahawa dengan meletakkan politics in command dalam sistem Communes, semua rintangan bersifat kemanusiaan dengan mudah dapat di atasi. Politik, menurut mereka, boleh membina will power manusia untuk menjayakan tujuan penubuhan Communes. Maka untuk itulah, semasa pelaksanaan Great Leap Forward (1958-1963) itu, parti komunis menggerakkan kempen propaganda siang dan malam di semua Communes, sampai ada ahli sejarah menyimpulkan "…the depth and breath of which had hitherto not been seen."

Oleh sebab People’s Communes membabitkan penghapusan sistem kehidupan berkeluarga, saya terpanggil mencatatkan dalam coretan ini pandangan-pandangan Mao Tse-tung tentang erti hidup berkeluarga seperti yang tercatat dalam buku karangan Yang Jisheng "Tombstone, The Untold Story of Mao’s Great Famine." Di halaman 174 buku itu, Jisheng berkata Mao, walaupun sedar bahawa famili adalah asas sebuah masyarakat, dia juga menganggap "the family as the social foundation of the private ownership system and a major impediment to communism… and advocated eliminating the family."

Jelas daripada petikan-petikan di atas, pembasmian konsep dan amalan hidup manusia berasaskan keluarga menjadi salah satu aspek pemikiran Mao yang termaktub dalam Perlembagaan Parti Komunis Malaya. Adalah juga menjadi pegangan Mao, tugas kaum wanita tidak lagi di dapur. Konsep famili Mao membebaskan wanita daripada beban turun-temurun ini.

Tetapi menjelang awal 1959, yakni tidak berapa bulan selepas Great Leap Forward dilancarkan, tanda-tanda menunjukkan "things were running out of hand". Realiti keadaan di bawah di seluruh China tidak menunjukkan kemakmuran seperti yang dilaporkan oleh jentera-jentera parti kepada kepimpinan pusat PKC. Beberapa orang pemimpin kanan seperti Chen Yun dan Peng De-huai mula menyatakan secara terbuka tentangan mereka terhadap dasar Great Leap Forward itu.

Kegelisahan mereka memuncak semasa persidangan plenum PKC di Lushan pada Julai 1959. Peng De-huai ialah Menteri Pertahanan China, satu jawatan yang diamanahkan oleh parti kerana mengenang jasanya semasa Long March. Menjelang pertemuan di Lushan, Peng telah memberi sepucuk surat panjang lebar kepada Mao, meluahkan bantahan terhadap dasar Great Leap. Tetapi Mao menganggap surat itu satu kutukan peribadi oleh Peng terhadap dirinya.

Mao mengedarkan salinan surat itu kepada pemimpin-pemimpin parti yang hadir di persidangan itu. Di bawah telunjuk Mao, mesyuarat plenum itu memutuskan Peng ditamatkan daripada jawatan Menteri Pertahanan, dan serentak itu melantik Lin Biau sebagai pengganti Peng bagi jawatan itu. Bagi Lin Biau, ini saat yang ditunggu-tunggunya.

Apakah strategi Mao dalam mendepani pihak-pihak yang tidak sehaluan dengan dasar-dasarnya? Mao, seperti biasa mundur selangkah dua ke belakang untuk kemudiannya bergerak melompat beberapa langkah ke hadapan. Dia sangat bijak dalam taktik dan siasah ini. Dia mempergunakan pihak-pihak yang disebutkan di atas untuk merancang tindakan balasnya menerusi langkah yang bakal dinamakan Cultural Revolution (Revolusi Kebudayaan). Di sanalah nanti, Lin Biau, Chiang Ching dan Kang Sheng berada di kemuncak kekuasaan atas usaha Mao, untuk melumpuhkan pihak-pihak yang menentangnya.   ABDUL RAHIM NOOR: Utusan/Rencana/20140706

Tags: komunis, pkm
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments