Semua orang pasti kagum dengan kebolehan berbahasa seseorang itu malah boleh menjadi satu bonus kepadanya. Dalam konteks pelajar, graduan yang memiliki kemahiran ini mempunyai peluang besar apabila memasuki alam pekerjaan kelak.
Graduan yang mendapat segulung ijazah pasti mengidamkan kerjaya yang baik untuk masa depan. Bagaimanapun, mengapa ramai graduan kita masih menganggur walaupun sudah mempunyai segulung ijazah?
Salah satu sebabnya kerana mereka tidak mempunyai kemahiran komunikasi yang baik selain perlu memperbaiki kelemahan bahasa Inggeris.
Ketua Penyelaras Unit Bahasa Arab Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohamed Ibrahim berkata, kemahiran berbahasa amat penting untuk graduan apabila berada di alam pekerjaan.
Graduan perlu belajar untuk memupuk keinginan belajar menguasai bahasa terutama bahasa Inggeris untuk memudahkan mereka memperoleh pekerjaan. Selain itu, mereka juga jika mampu perlu menguasai bahasa lain yang mungkin berguna ketika menjalankan tugas kelak.
Kemahiran berbahasa sangat penting dalam membentuk keyakinan graduan ketika menghadiri sesi temu duga.
Apabila mahir berbahasa, kita akan lebih yakin dengan pencapaian diri sendiri. Ini menjadi satu bonus bagi mereka yang mempunyai kemahiran ini dan bagi yang tiada kemahiran ini, berusahalah untuk memperbaiki diri. Apabila graduan mempunyai kemahiran ini, pasaran kerja pastinya terbuka luas buat mereka.
Graduan perlu bersiap sedia dari segala aspek untuk menempuh alam pekerjaan. Selain kelulusan cemerlang, mereka mesti ada kemahiran menguasai pelbagai bahasa bagi melonjakkan kemampuan diri di pasaran kerja.
Nor Hasaniah Muhammad Yusoff ialah siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan. Warga kampus yang ingin berkongsi penulisan mengenai isu semasa boleh menghantarnya kepada ruhaizarusmin@mediaprima.com.my atau rencana@mediaprima.com.my . myMetro Bestari 30/06/2014