kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Manfaatkan peralatan terkini

Kali pertama penulis mengenali pro­ses pembelajaran menggunakan soko­ngan teknologi ialah pada 1993.

Ketika itu buat pertama kalinya penulis dan rakan seangkatan memegang komputer sehingga ada dalam kalangan kami dihimpit pelbagai perasaan.

Ada yang kelihatan cukup teruja malah ada yang kelihatan takut-takut. Pendek kata, pembelajaran menggunakan sokongan alat pembelajaran berteknologi ketika itu memang janggal.

Namun, dunia pembelajaran pelajar kini berubah dengan penggunaan teknologi seperti komputer, Internet dan pelbagai medium alam maya lain.

Bukan saja pelajar yang baru berusia setahun jagung menjadi pakar, malah sekolah tidak ketinggalan menikmati pel­bagai kemudahan bagi melancarkan proses pembelajaran sedia ada.


TIADA siapa dapat menafikan proses pembelajaran yang dilakukan dengan sokongan teknologi sangat menyeronokkan tetapi ia memerlukan komitmen daripada semua pihak agar kemudahan sedia ada mencapai objektifnya. - Gambar hiasan


Walaupun pengenalan teknologi dalam sistem pendidikan negara memberi pelbagai kebaikan, namun faktor lain tidak boleh diketepikan.


Ketaasuban pelajar misalnya boleh menyebab­kan terhakisnya konteks hubungan sosial dengan persekitaran secara tidak langsung.

Malah, ada pelajar ketagih sehingga tidak menghiraukan kepentingan lain yang perlu ­dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Justeru, apa­kah lang­kah wajar bo­leh diambil bagi memastikan penggunaan teknologi dalam kehidupan pelajar mampu dimanfaat­kan de­ngan sewajarnya dan tidak memberi impak negatif dalam jangka panjang?

Pengarah Institut Global dan Pendidikan Dalam Talian, Kolej Pendidikan University of Oregon, Amerika Syarikat, Dr Yong Zhao berkata, masyarakat perlu mengakui penggunaan teknologi dalam dunia pembelajaran antara kepentingan utama hari ini.

Beliau berkata, ia perlu dilaksanakan dalam bentuk pengawalan bagi mengelak pelajar dimanipulasi teknologi hingga menyebabkan mereka menjadi antisosial dan mengganggu pola sistem hidup bermasyarakat.

“Ada pelbagai impak akibat penggunaan teknologi dalam dunia pendidikan hari ini yang boleh memberi pelbagai kemungkinan.

“Ada kemungkinan positif seperti mereka (pelajar) akan celik teknologi dan rasa seronok belajar.

“Tapi, ada juga kemung­kinan negatif kerana sifat teknologi yang sangat pantas berkembang mampu mempengaruhi aspek kehidupan manusia hingga melupakan keperluan persekitaran,” katanya.

Beliau berkata, usaha semua pihak di seluruh dunia memperkasakan penggunaan teknologi dalam sistem atau silibus pendidikan mereka sangat dialu-alukan.

“Ia adalah usaha proaktif bagi melonjakkan lagi pengaksesan maklumat tanpa sempadan kepada pelajar agar mereka dapat melihat dunia baru.

“Namun, jika ia dilakukan tanpa kawalan tertentu, apa yang diperoleh itu boleh menjadi ‘bencana’ kepada sistem sosial sedia ada.

“Sedangkan sistem sosial, pendidikan, budaya dan apa juga yang ada perlu berlangsung seiring dan seimbang bagi menjamin kelangsungan manusia berada tetap pada landasan sebenar,” katanya ketika berkongsi pendapat pada seminar The Digital Education Show Asia di ibu kota, baru-baru ini.


SISTEM pendidikan yang dilaksanakan menggunakan sokongan teknologi mempunyai pelbagai kemungkinan sama ada memberi impak positif atau negatif kepada pelajar, justeru pengawalan secara berterusan sangat diperlukan. - Gambar Google


Menurutnya, teknologi maklumat yang digunakan tanpa pengawalan atau susun atur yang betul boleh memberikan impak sosial dalam jangka panjang terhadap pembangunan minda dan emosi generasi muda.

“Generasi muda itu pula sebahagian besarnya adalah pelajar. Justeru, pengawalan tanpa bimbingan dikhuatiri boleh melahirkan golongan pasif serta kurang peka.

“Sememangnya, kita tidak boleh menolak kepentingan teknologi itu. Ia (bagus) dalam memberikan kemudahan untuk proses pembelajaran.

“Namun, jika terlalu taasub pula akan mengakibatkan mereka menjadi terlalu lemah dengan diri sendiri. Mereka mungkin hebat menggunakan komputer tapi kebarangkalian untuk menjadi antisosial dengan persekitaran tetap ada,” katanya.

Beliau tetap beranggapan, penggunaan keterlaluan boleh mendatangkan kesan buruk biarpun tujuannya baik.

“Apa yang penting ialah tahap kesedaran dan pe­ngawalan penggunaan teknologi itu dalam sistem pendidikan sedia ada juga sistem lain yang berkaitan.

“Tidak salah jika kita membenarkan pelajar atau guru meneroka segala maklumat atau cara penggunaan. Buatlah asalkan ia baik dan bermanfaat.

“Namun jangan lupakan juga kepentingan lain seperti nilai pemantapan akhlak ­sebagai manusia kerana proses pembelajaran turut merangkumi aspek ini,” katanya.

Pakar neurologi, psikologi dan psikiatri yang juga Pengarah Pusat Neurosains, University of California, San Francisco, Profesor Madya Dr Adam Gazzaley berkata, walaupun teknologi seperti komputer mampu membuat segala kerja, namun ia ha­nyalah sebuah mesin yang diprogramkan.

Menurutnya, keupayaan mesin tertakluk kepada apa yang sudah diprogramkan dan ia tidak mampu ‘berfikir’ sebagai manusia.

“Sedangkan sekolah atau institusi adalah tempat untuk memberi dan mencari ilmu secara menyeluruh. Di sini, pelajar dididik untuk menjadi manusia, bukan robot.

“Dari sudut psikologi, nilai kemanusiaan perlu diserapkan dengan sentuhan emosi dan kata-kata dari­pada manusia, bukan mesin.

“Proses pembelajaran yang bergantung secara ­keterlaluan pada sokongan teknologi dan mengetepikan elemen psikologi manusia sangat berbahaya,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyeru kepada ibu bapa agar sama-sama memantau ketaasuban anak terhadap penggunaan teknologi.

Menurutnya, adalah sa­ngat menyedihkan apabila sistem interaksi terganggu kerana masing-masing lebih mementingkan interaksi bersama alam maya.

“Saya tidak kata kita perlu menghalang proses pembelajaran atau penerokaan cara ini, tapi pada masa sama perlu mengutamakan keperluan lain juga.

“Ibu bapa perlu tegas bukan saja pada anak tapi diri sendiri agar tidak terlalu fokus atau fanatik dengan tarikan teknologi.

“Berinteraksi sebagai manusia yang hidup dan jangan asyik melayan interaksi sosial yang kaku. Ia seolah-olah menafikan keistimewaan kita yang mempunyai pelbagai emosi serta perkara menarik yang boleh dilakukan,” katanya. myMetro Bestari 30/06/2014

Tags: ict
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments