kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Generasi muda karut-marut ejaan Melayu

Pencemaran merebak dalam tugasan pelajar IPT

Guru bahasa Melayu di sekolah selalu mengingatkan pelajar mereka agar menggunakan bahasa Melayu yang betul. Antaranya ialah betul tatabahasanya, betul pemilihan perkataan untuk sesuatu frasa dan betul ejaannya. Tetapi, di luar bilik darjah, pelajar terdedah kepada pelbagai pencemaran bahasa, dan gejala ini menyukarkan penggunaan bahasa Melayu yang baik.

Pencemaran bahasa Melayu datang dari pelbagai punca. Antaranya termasuklah penggunaan khidmat pesanan ringkas di telefon bimbit, teks dalam media sosial serta perbualan yang menggunakan bahasa rojak sama ada dalam kalangan rakan sebaya atau dicontohi daripada dialog dalam lakonan televi-syen dan filem yang tidak bermutu.


Dapatan baru-baru ini menunjukkan gejala pencemaran bahasa Melayu sedang menular dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT). Sebahagian pelajar ini bolehlah dikatakan sebagai mereka yang tercemar minda serta hilang sensitiviti untuk belajar memperbaiki kelemahan penguasaan bahasa Melayu mereka sendiri.

Tidak peduli peraturan

Mereka ini tidak peduli lagi kepada peraturan penggunaan huruf besar pada awal nama khas, atau huruf perkataan pertama dalam sesuatu ayat. Akibatnya, dikesan nama khas seperti ‘kuala lumpur’ atau ‘khatijah’ dieja secara sesuka hati tanpa menggunakan huruf besar. Di samping itu ada juga huruf perkataan pertama dalam sesuatu ayat tidak ditulis dengan huruf besar.

Bagi guru atau pensyarah yang menerima tugasan pelajar yang mengandungi kesalahan seperti itu, segera terfikir dua kemungkinan yang dilakukan oleh pelajar. Pertama, pelajar tidak endah terhadap peraturan penulisan bahasa Melayu. Kedua, pelajar tiada usaha untuk menyemak dan menyunting tugasan mereka sebelum diserahkan kepada guru atau pensyarah. Walaupun mereka tahu tugasan itu membabitkan pemarkahan, mereka tidak peduli untuk menyemaknya sebelum penyerahan.

Akan tetapi pelajar seperti itu juga tidak berjinak-jinak menggunakan kamus, terutama apabila membabitkan ejaan imbuhan. Entri kamus bukan sahaja menghuraikan makna perkataan, malah menurunkan ejaan yang betul bagi bentuk terbitannya, ataupun yang menjadi kata terbitan. Apabila pelajar malas merujuk kamus, berlakulah kesilapan ejaan bentuk terbitan seperti mendudukki (menduduki), perlantikan (pelantikan), memperbaikki, (memperbaiki) dan sebagainya.

Lebih malang, apabila sesuatu perkataan dieja berdasarkan budaya dengar. Kalau yang didengar daripada sebutan yang tidak baku itu, sebagai contoh, ‘talipon’ maka ejaan yang betul bagi ‘telefon’ diubah menjadi ‘talipon’. Pelajar seperti ini, sekali lagi, tidak mahu berusaha sedikit lebih untuk merujuk entri kamus.

Banyak sekali ejaan perkataan Melayu telah dirosakkan oleh nafsu memindahkan daripada yang didengar kepada penulisan. Sebagai contoh abis (habis), ade (ada), amik (ambil) dan ape (apa). Pelajar seperti ini bukan sahaja lemah penguasaan bahasa Melayunya, malah tidak tahu bahawa dialog watak wajar ditulis dengan ejaan yang betul.

Lalu muncullah kesalahan ejaan yang menyakitkan mata dan hati: cam (macam), cikit (sikit/sedikit), citer (cerita), cube (cuba), da (dah/sudah), de (ada), tak delah (tak adalah), die (dia), g/gi/gie (pergi), gak (juga), jap (sekejap/sebentar), je (saja), kalo (kalau), keje (kerja), ko (kau/engkau), kol (pukul), la (lah), lak (pula), leh (boleh), len (lain), lom (belum), mcm (macam) dan banyak lagi yang karut-marut.

Senarai karut-marut ejaan itu termasuklah juga dorang/diorang yang sama sekali tidak boleh terima, kerana lebih baik gunakan perkataan ‘mereka’; kitorang (kita/kami), pehal? (apa hal?), pekabo? (apa khabar?), sume (semua), yeke? (ya kah?), yele (ya lah) dan nape? (kenapa?). Simbol angka daripada bahasa Inggeris (2 = two) juga telah diMelayukan menjadi tu (itu) bagi ejaan karut-marut mcm 2 (macam itu).

Gejala di atas menunjukkan betapa generasi muda kita begitu terdedah kepada penggunaan bahasa Melayu yang dipermudah dan salah. Dan segelintir daripada mereka menggunakannya semula dalam tugasan, tanpa rasa bersalah. Malah, ada penerbit media elektronik, atau penerbit buku indie dan popular, merelakan kesalahan itu bermaharajalela dalam penerbitan mereka.

Memperkenalkan dan membudayakan penggunaan bahasa Melayu yang betul bukanlah tugas guru dan pensyarah semata-mata. Ia menjadi tugas serta tanggungjawab bersama, terutama ibu-bapa, rakan sebaya, serta media cetak dan media elektronik.

Jika semua pihak sedar akan tanggungjawab membudayakan penggunaan bahasa Melayu yang betul, kesalahan yang dilakukan oleh segelintir anak muda itu boleh diminimumkan atau dihapuskan. Kita semua wajar menggunakan bahasa Melayu yang betul, yang jelas maknanya dan yang berkesan. Dr Anwar Ridhwan ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA Berita Harian Kolumnis 2014/07/08 - 02:26:50 AM
Tags: bahasa, melayu
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments