kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kurup perlu beri penjelasan

KONTROVERSI DRAF AKTA HARMONI NASIONAL: Elak kebimbangan umum, pelbagai spekulasi negatif

Penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri bahawa draf Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 belum lagi siap dan kerajaan tidak akan tergesa-gesa memperkenalkannya, melegakan beberapa pihak yang bimbang akta itu nanti gagal mencapai matlamat seperti diharapkan.

Bagaimanapun, kenyataan Nancy itu, yang dikeluarkan oleh pejabatnya sewaktu beliau menunaikan ibadat umrah minggu lalu, masih belum menghapuskan sepenuhnya kebimbangan umum, khususnya kalangan orang Melayu/Islam, khususnya kemungkinan akta baru itu nanti menjejaskan lagi kedudukan Islam dan keistimewaan pribumi negara ini, yang dilihat semakin terhakis sejak akhir-akhir ini.

Cetus pelbagai reaksi

Walaupun niat kerajaan menggantikan Akta Hasutan 1948 yang dianggap lapuk itu dengan Rang Undang-Undang Harmoni Nasional, Rang Undang-Undang Perpaduan Nasional serta Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional, bertujuan mengukuhkan perpaduan nasional dan mempertingkat kebebasan bersuara, ia mencetuskan reaksi berbeza pelbagai pihak.

Sementara pertubuhan dan golongan liberal yang memperjuangkan hak sama rata serta kebebasan bersuara ala Barat menyokong rang undang-undang baru itu, kumpulan dan tokoh yang mewakili kepentingan pribumi dan Islam, bimbang pemansuhan Akta Hasutan nanti membuka ruang lebih luas kepada pihak yang sentiasa iri terhadap kedudukan Islam dan keistimewaan pribumi seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan sekarang.

Selain itu, ada golongan yang bimbang undang-undang baru nanti membuka lagi ruang kepada kumpulan antinasional yang sentiasa mencari ruang untuk menjejaskan perpaduan dan keamanan negara seperti berlaku selepas pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri tidak lama dulu.

Ini ditambah dengan kehadiran beberapa tokoh yang dianggap ‘liberal’ dalam senarai ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN), badan yang diberi tanggungjawab membuat draf undang-undang baru itu.

MKPN yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsuddin Osman, dianggotai oleh 30 orang daripada tokoh masyarakat, ahli akademik, pemikir, wakil pertubuhan bukan kerajaan, selain ahli politik daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Beberapa kenyataan MKPN yang mencetuskan kontroversi seperti pendiriannya terhadap tindakan Jabatan Agama Islam Selangor merampas Bible versi Melayu, menyokong penghapusan ruangan ‘kaum’ dalam borang rasmi kerajaan dan komennya mengenai pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan kepentingan Melayu, tidak membantu menjernihkan keadaan.

Sebaliknya, kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad mengenai perkara ini meningkatkan kebimbangan umum mengenai kesan pemansuhan Akta Hasutan dan peranan MKPN.

Dr Mahathir melalui tulisan dalam blognya, berkata negara boleh menjadi huru-hara jika cadangan memansuhkan Akta Hasutan diteruskan kerana ia akan menghapuskan saki-baki usaha mengimbangkan ekonomi antara kaum.

Menurutnya, pelaksanaan tiga rang undang-undang itu akan menyebabkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan merapatkan jurang perbezaan antara kaum tidak lagi relevan.

Abdul Hamid pula dalam satu kenyataan minggu lalu, berkata beliau terpaksa menolak tawaran menjadi Pengerusi MKPN kerana khuatir diperalat pihak tertentu yang sentiasa mahu menghakis hak orang Melayu dan kedudukan Islam serta pribumi Sabah/Sarawak.

“Saya takut akan menjadi ‘pengkhianat’ kepada bangsa Melayu dan agama Islam,” katanya sambil menambah keputusannya adalah tepat apabila melihat komposisi MKPN sekarang, yang didakwa akan menjadi saluran kepada pihak yang mendukung program parti pembangkang.

Beliau turut mempersoalkan mengapa pembangkang, khususnya Majlis Peguam, diminta, dibenar dan dibiar menetapkan dasar dan menggubalnya sedangkan mereka mempunyai agenda sendiri. Mengikut amalan biasa, katanya, apabila kerajaan hendak membuat sesuatu undang-undang, kementerian atau jabatan terbabit terlebih dahulu membuat keputusan dasar.

Masih peringkat kajian

Bagaimanapun, tidak adil kita membuat kesimpulan awal terhadap kesan akta baru ini sedangkan seperti kata Nancy, ia masih lagi peringkat kajian. Kita percaya, setiap pandangan dan kebimbangan umum, apa lagi daripada kedua-dua tokoh tadi, pasti akan diambil kira oleh kerajaan.

Kita bersimpati dengan Nancy, kerana selaku menteri bertanggungjawab ke atas undang-undang, beliau terpaksa memberi penjelasan sedangkan tugas melantik ahli MKPN dan membuat draf rang undang-undang itu, bukan bidang kuasanya.

Setahu kita, Jawatankuasa Perundangan dan Dasar-Dasar Mempromosi Keharmonian Nasional di bawah MKPN yang menyiapkan tiga draf rang undang-undang itu di bawah pentadbiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.

Justeru, penjelasan beliau mengenai kandungan draf itu dalam waktu terdekat mampu menjernihkan keadaan, sekali gus mengurangi kebimbangan umum dan mengelak pelbagai spekulasi negatif terhadap niat kerajaan, memperkenalkan undang-undang itu.

E-mel ke rencanabh@bh.com.my Untuk berkongsi pendapat anda Manja Ismail Berita Harian Kolumnis 2014/07/08 - 02:35:40 AM
Tags: akta, harmoni
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments