PROGRAM Bicarawara Global@1 di TV1 yang mengangkat isu nasib wartawan dan nilai perjuangan golongan itu harus diketengahkan. Hal ini kerana, wartawan sering terkena tempias dan menanggung akibat jika melibatkan isu-isu sensitif khususnya politik, ekonomi, sosial dan hiburan.
Macam-macam dugaan dan cabaran diharungi oleh wartawan yang bertugas untuk mendapat berita dan membuat liputan.
Tugas dan komitmen wartawan sangat berat terutama melibatkan soal kebenaran yang perlu diketengahkan untuk masyarakat.
Media sering dijadikan alat propaganda untuk individu, kelompok dan kepimpinan sesebuah negara dan berlakulah dilema wartawan yang menjalankan tugas untuk organisasinya.
Kerjaya wartawan amat mencabar untuk mencari bahan, menulis dan menerbitkan berita yang tepat dan pantas seiring dengan jualan akhbar yang laris seperti pisang goreng panas.
Menurut Prof. Dr. Azmi Hassan, geostragis di Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), wartawan harus dihargai jasa mereka. Wartawan adalah ikon negara kerana perjuangan mereka tiada nilainya.
Pembunuhan seorang wartawan Li Xiang dengan tragis apabila berjaya membongkar skandal minyak masak buangan dikitar semula dan menyelamatkan rakyat daripada bahaya penyakit kanser usus, amat menyedihkan. Di manakah hak wartawan itu yang menjadi hero membantu rakyatnya tetapi dibunuh dengan kejam?
Keberanian dan pengorbanan wartawan disokong oleh Prof. Dr. Azizah Hamzah, Ketua Jabatan Pengajian Media di Universiti Malaya (UM) yang menyatakan wartawan berjuang mengharungi risiko-risiko yang tiada sempadan.
Hak wartawan semasa membuat liputan dan menjalankan tugas sebenarnya dikawal dan termaktub dalam Konvensyen Geneva.
Isu Al Jazeera menjadi panas semula apabila timbul bermacam-macam dakwaan. Kedutaan Mesir akan menuduh 20 wartawan stesen televisyen itu termasuk empat warga asing kerana didakwa menyiarkan berita palsu selain tuduhan menyokong Ikhwanul Muslimin.
Wartawan yang bekerja di negara bergolak menghadapi risiko dipukul, diculik, ditangkap, dipenjara dan apa-apa sahaja.
Langkah-langkah yang lebih kritikal perlu untuk diambil oleh wartawan yang menjalankan tugas di luar negara antaranya memakai baju kalis peluru sepanjang masa.
Risiko tetap risiko walaupun di negara tidak bergolak seperti Amerika Syarikat. Hakikatnya wartawan di mana-mana pun menghadapi risiko, bergantung kepada persepsi sesebuah negara.
Wartawan-wartawan juga terpaksa menghadapi segala kemungkinan semasa mencari berita dan setelah melaporkan berita juga mereka sering dikecam dan diancam keselamatan jika ada yang tidak boleh menerima kritikan, tidak kiralah berita itu benar atau tidak.
Kita sering bercakap berkaitan Kebebasan Media yang lebih bersifat terminologi. Namun setakat manakah Kebebasan Media atau Freedom of Press yang sering dilaungkan?
Indeks kebebasan media yang paling tinggi ialah di Finland, Denmark dan Norway. Negara-negara yang tercorot ialah di Korea Utara dan Turkmenistan. Adakah indeks ini benar-benar penting untuk menilai kebebasan media sesebuah negara? Falsafah lain dan senario yang berbeza di setiap negara juga tidak adil untuk menilai sesuatu isu.
Wartawan kini juga diduga dengan pengaruh media sosial yang semakin meluas. Kita sebagai rakyat Malaysia perlu celik media dan menerima semua bahan informasi dengan positif dan menilai sendiri yang manakah yang telus dan yang manakah hanya momokan berita sahaja.
Penilaian perlu adil dan kita perlu buat analisis dan jangan menghukum mana-mana pihak dengan hanya membaca dan menerima berita seratus peratus.
Tahniah kepada wartawan Utusan Malaysia, Azrai Mohammad yang dinobatkan Wartawan Terbaik Kelab Wartawan Kebangsaan (NPC) dan wartawan KiniBiz Chan Quan Min sebagai Wartawan Atas Talian Terbaik. Anugerah sebegini akan menyuntik semangat wartawan yang rasa dihargai pengorbanan mereka terutama yang masih muda.
Anugerah sebegini perlu diteruskan dan ditambah untuk menghargai pengorbanan wartawan yang bekerja tanpa mengira waktu dan lokasi.
Namun, kita jangan lupa jasa dan pengorbanan wartawan senior yang masih berkhidmat. Jangan juga terlupa menyingkap kembali wartawan-wartawan hebat yang sudah bersara kerana merekalah yang banyak menabur bakti kepada negara.
Hargailah mereka. Salam Ramadan dan Salam 1Hati. essica Ong Hai Liaw ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Utusan/Rencana/20140708