kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Nasib berbeza Neymar, Muhammad Hafis, Tareq Abu Khudair

NEYMAR da Silva Santos Júnior baru berusia 22 tahun namun namanya sudah gah di seluruh dunia. Sesiapa yang tidak kenal Neymar walaupun bukan penyokong Brazil, tidak layak dianggap peminat bolasepak.

Ketika ini ramai para peminat bersedih dengan nasib Neymar yang terpaksa melupakan aksi dalam Piala Dunia FIFA 2014 akibat kecederaan tulang belakang gara-gara lutut pemain Colombia, Juan Zuniga.

Video insiden tersebut dapat disaksikan di pelbagai laman web dan blog. Dari saat Zuniga menerpa, menghentak lutut ke belakang Neymar, menolak belakang tengkuknya sebelum 'close up' wajah bintang muda Brazil itu mengerang kesakitan.

Diagnosis perubatan - tulang belakangnya retak dan dia terlepas peluang beraksi membantu pasukannya pada separuh akhir Piala Dunia FIFA 2014 menentang pasukan Jerman.



Para peminat bola sepak Brazil bertunggu tangga di pekarangan hospital Sao Carlos menantikan berita keadaan Neymar di Fortaleza pada 5 Julai lalu. Bintang Brazil itu terpaksa melupakan aksi Piala Dunia FIFA 2014 selepas mengalami kecederaan tulang belakang ketika pasukannya menang 2-1 ke atas Colombia dalam perlawanan separuh akhir. - AFP

Namun Neymar tidak perlu menjalani pembedahan. Dia hanya perlu berehat sehingga kecederaan tulang belakangnya sembuh untuk kembali beraksi bersama kelabnya, Barcelona.

Dan besar kemungkinan kembali beraksi pada Piala Dunia FIFA empat tahun lagi di Rusia.

Kes kedua;

Muhammad Hafis Abd. Ghani pula baru berusia 17 tahun.

Namanya tidak segah Neymar, namun setidak-tidaknya seluruh Alor Gajah tempat tinggalnya, bahkan semua orang Melaka dan sesiapa sahaja rakyat Malaysia yang membaca akhbar dan menonton siaran berita sudah mengetahui nasib remaja yang tidak sempat menginjak dewasa ini.

Remaja ini menemui ajal dengan cukup tragis - iaitu di tangan bapanya sendiri - apabila dikatakan mengalami kecederaan dalaman akibat dipukul dengan sebatang kayu, hanya kerana menyatakan hasratnya untuk mencari kerja bagi membantu meringankan beban keluarga.

Difahamkan bapanya naik angin lalu membelasah Muhammad Hafis apabila remaja yang tidak lagi bersekolah itu memberitahu mahu mencari wang kerana kasihan melihat sembilan adiknya hanya mencicip bubur, pisang goreng dan air kosong setiap kali berbuka puasa.

Diagnosis - Mangsa mengalami kecederaan dalaman akibat dipukul dengan objek keras dan terlepas peluang untuk mencari kerja bagi membantu keluarga buat selama-lamanya.

Kes ketiga;

Tareq Abu Khudair pula hanya berusia 15 tahun. Wajahnya kini menghiasi dada-dada akhbar di seluruh dunia.

Tareq dibelasah teruk oleh tentera rejim Zionis hanya kerana menyertai bantahan atas kematian sepupunya, Mohammed Abu Khudair yang dibunuh dan dibakar oleh pelampau Yahudi, beberapa hari sebelumnya.

Seperti video Neymar yang 'diterkam' pemain Colombia, rakaman video Tareq yang masih 'budak' dipukul dengan kejam oleh sekumpulan askar Israel juga tersebar luas di internet.

Diagnosis - Muka Tareq cedera teruk akibat dibelasah tentera Israel. Walaupun dia tidak berbahaya, tidak memegang pistol mahupun batu untuk dilontarkan ke arah tentera Israel, dia tetap dibelasah tanpa perikemanusiaan.

Nasib masa depan Tareq masih belum pasti kerana penindasan rejim Israel ke atas rakyat Palestin sepertinya semakin berleluasa sedangkan masyarakat dunia terutama kuasa besar hanya menutup sebelah mata.

Dan negara kecil seperti Malaysia yang bersimpati dengan nasib Tareq dan penduduk Palestin lainnya tidak mampu berbuat apa-apa.

Neymar, Muhammad Hafis dan Tareq adalah cebisan kisah remaja atau pemuda yang berbeza nasib mereka.

Jika diselak lembaran akhbar atau melayari berita di alam siber, kita akan menemui banyak kisah suka-duka remaja di seluruh dunia. Dan kita akan sedari betapa nasib setiap daripada remaja ini tidak sama.

Sementara bukan semua remaja di Brazil, yang digelar 'negara bola sepak' itu secerah nasib Neymar yang berjaya mencapai cita-cita beraksi di padang Piala Dunia FIFA, setidak-tidaknya mereka masih mampu menyimpan impian untuk ke sana.

Seperti yang dipaparkan dalam dokumentari sepanjang berlangsungnya Piala Dunia FIFA 2014 ini, kebanyakan remaja Brazil sanggup berlatih bola sepak di jalanan demi mengejar cita-cita bergelar bintang seperti Neymar.

Di Gaza pula, bukan semua remaja bernasib baik seperti Tareq apabila hanya mengalami lebam dan bengkak-bengkak dibelasah tentera Israel. Kerana ramai remaja Palestin sebayanya yang maut di hujung senjata atau bedilan mortar sebelum sempat pun mengenal dunia.

Sementara kita bersyukur nasib Tareq tidak menimpa anak-anak kita di Malaysia, harapan kita jangan ada lagi kisah sedih seperti Muhammad Hafis.

Impiannya bukan pun untuk bergelar bintang ternama seperti Neymar. Impian kecil remaja ini sekadar mencari kerja bagi 'menghidangkan juadah yang lebih sedikit untuk keluarga'. Itupun tidak mampu dicapainya.

Siapa yang bersalah? Adakah salah bapanya 100 peratus? Buruh kasar berusia 52 tahun yang mempunyai 10 mulut untuk disuap?

Adakah salah pihak berkuasa tidak menyalur bantuan kepada yang selayaknya. Atau salah kita masyarakat yang tidak cukup prihatin, tidak membuka mata melihat kepayahan orang lain?

Tepuk dada, jawablah sendiri. Coretan Marhaen Utusan/Rencana/20140708/

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments