kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Rasuah sistemik gugat keselamatan

BAHAGIAN AKHIR


ARTIKEL ini menghuraikan bagaimana pemerintah Malaysia perlu mengklasifikasikan rasuah sebagai ancaman bukan tradisional yang berpotensi menggugat kesejahteraan, keselamatan dan kelangsungan negara yang terdedah kepada pelbagai bahaya konflik dalaman serta bahaya maipulasi oleh kuasa-kuasa luaran.

Ini kerana rasuah pada hari ini boleh menyebabkan sesebuah negara yang stabil menjadi kucar-kacir, sesebuah negara kuat menjadi lemah dan sesebuah negara lemah menjadi renyah (fragile) atau gagal.

Dari sudut makro, rasuah berpotensi menggugat kesejahteraan sosioekonomi, pemeliharaan nilai-nilai teras, pembinaan negara-bangsa, pemuliharaan keselamatan dan pengukuhan kelangsungan nasional di sesebuah negara.

Dari perspektif mikro dan akademik, rasuah boleh menggugat sektor keselamatan ketenteraan, keselamatan politik, keselamatan ekonomi, keselamatan masyarakat dan keselamatan alam sekitar yang didefinisikan dalam tulisan Barry Buzan (1982) dan diperincikan dalam tulisan Barry Buzan, Ole Waever dan Jaap de Wilde (1992).

Pemerintah Malaysia perlu mengklasifikasikan rasuah sebagai ancaman keselamatan kerana rasuah di Malaysia kini berada di tahap yang sistemik, bersindiket, terancang, mempunyai jaringan pengangkara yang rapi dan diamalkan menerusi modus operandi yang canggih.

Konsep rasuah sistemik yang diperkenalkan oleh Ethan Nadelman (1993) lazimnya dikaitkan dengan jenayah terancang dan jenayah rentas sempadan.

Ini sebabnya rasuah sistemik dianalisis oleh beberapa sarjana antarabangsa mulai awal 1990-an, selaras dengan proses globalisasi serta ledakan teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT yang memudahkan jenayah berkenaan. Ini juga sebabnya rasuah sistemik didayausahakan oleh kumpulan penjenayah atau 'usahawan haram'.


Para pegawai agensi penguatkuasaan Pulau Pinang melafazkan Ikrar Integriti Perkhidmatan Awam
pada majlis pelancaran Kempen Bersama Lakukan Perubahan Perangi Rasuah
di Kompleks SPRM Pulau Pinang, baru-baru ini. - UTUSAN/Zhafaran Nasib

Rasuah ini disasarkan kepada penggubal dasar, birokrat, penguatkuasa undang-undang, dan anggota kehakiman di sesebuah negara bagi melicinkan operasi jenayah terancang di peringkat domestik, serantau atau sejagat.

Amalan rasuah sistemik berleluasa di beberapa negara Amerika Latin. Namun konsep rasuah sistemik kini digunakan bebas daripada huraian Nadelman dan lazimnya dirujuk kepada gejala rasuah dalam kerajaan dan sektor awam.

Hakikat di atas mendorong sekumpulan sarjana kini mengkategorikan rasuah sistemik sebagai ancaman keselamatan bukan tradisional yang boleh menggugat kesejahteraan, keselamatan dan kelangsungan nasional sesebuah negara.

Ini kerana jenayah terancang dan jenayah rentas sempadan antaranya, membabitkan pemindahan wang secara haram, penyeludupan dadah dan senjata termasuk senjata pemusnah (WMD), penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Rasuah sistemik dan jenayah rentas sempadan juga kini bersinergi dengan kegiatan terorisme antarabangsa 'sebagai instrumen yang memudahkan pelaksanaan jenayah rentas sempadan' (Williams 2007).

Berdasarkan huraian di atas, rasuah sistemik memang mula bertapak di Malaysia pada hari ini. Berikut antara beberapa kes yang memanifestasikan kewujudan rasuah kategori ini.

Pertama, sempena Tahun Melawat Malaysia 2007, terdapat seramai 26,252 pelancong yang menggunakan Visa Ketibaan (VOA) menghilangkan diri sebaik sahaja tempoh sebulan lawatan mereka tamat (www.carigold.com 10 November 2007).

Persoalannya, bagaimanakah pelancong berkenaan boleh menghilangkan diri, sejauhmanakah fenomena ini melibatkan penjenayah rentas sempadan dan bagaimanakah fenomena ini berkait dengan amalan rasuah sistemik?

Kedua, kes pembongkaran SPRM pada 2011 bahawa wang kira-kira RM108 bilion yang sepatutnya menjadi pendapatan negara setiap tahun lesap dan lebih RM10 bilion lagi dipindahkan secara haram ke luar negara (Thomas Chong, Utusan Malaysia 2 April 2011).

"Kerugian itu dikesan hasil siasatan SPRM ke atas kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di seluruh negara" (ibid).

"Akibat tindakan 'tangan-tangan kotor' ini, negara mengalami kerugian apabila hasil pendapatan lesap manakala wang rasuah yang diperolehi mereka dipindahkan secara haram ke luar negara" (ibid).

Persoalannya, bagaimanakah fenomena ini boleh berlaku, bagaimanakah fenomena ini tidak diklasifikasikan sebagai ancaman keselamatan dan sejauhmanakah ia melibatkan penjenayah bersindiket atau penjenayah rentas sempadan?

Ketiga, berikutan pembongkaran di atas, SPRM menahan seramai 62 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram serta pelbagai kesalahan lain dalam 'Operasi 3b' (Anon, Utusan Malaysia 2 April 2011).

Penahanan tersebut membolehkan SPRM membongkar pelbagai aktiviti mencurigakan membabitkan pegawai pasukan penguat kuasa itu. Antaranya terdapat pegawai yang memiliki kereta mewah, jam tangan buatan emas, jongkong emas serta menyimpan wang tunai yang banyak (ibid).

"Seorang pegawai kanan berpangkat pengarah memiliki wang tunai RM65,000 yang ditemui berselerakan dalam rumahnya dan memiliki RM2.1 juta dan RM500,000 dalam dua akaun berasingan" (ibid).

Persoalannya, kenapakah pembongkaran ini tidak mendorong pemerintah Malaysia mensekuritisasikan rasuah sistemik sebagai ancaman keselamatan dan bagaimanakah ciri-ciri rasuah sistemik ini dihapuskan oleh SPRM?

Keempat, adalah kes penyeludupan diesel bersubsidi yang melibatkan sekumpulan pegawai penguat kuasa Malaysia yang dirisik dan dibongkar oleh SPRM mulai tahun 2011.

Dalam konteks ini, kenyataan media SPRM (http://www.sprm.gov.my yang diakses pada 5 Julai 20140, mengakui kewujudan sindiket, rasuah, dan 'tahap ketirisan diesel bersubsidi ini kini berada pada tahap yang membimbangkan.'

Kelima dan terbaru sekali, adalah kes penyeludupan diesel bersubsidi yang terbongkar baru-baru ini. Dalam konteks ini, didedahkan kepada umum bahawa sejumlah RM1.2 bilion kerugian terpaksa ditanggung negara akibat sindiket penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi (Zulkifli Jalil, Utusan Malaysia 8 April 2014).

Kes-kes di atas memanifestasikan tiga penemuan dan realiti. Pertama, rasuah sistemik yang bersindiket, terancang, melibatkan penjenayah rentas sempadan dan canggih modus operandinya, memang sudah wujud di Malaysia mutakhir ini.

Kedua, skop dan dimensi rasuah sistemik di Malaysia memang membawa impak kepada kesejahteraan rakyat, keselamatan ekonomi, keselamatan nasional dan kelangsungan negara.

Ketiga, pembanterasan rasuah sistemik di Malaysia perlu melibatkan tenaga profesional pelbagai disiplin dan kepakaran, yang beroperasi secara bersepadu, dan menggunakan strategi undang-undang yang komprehensif, terancang, proaktif, tegas, berterusan dan berkesan.

Dengan ini, pemerintah Malaysia perlu mengkategorikan atau mensekuritisasikan rasuah secara umum, dan rasuah sistemik secara khusus, sebagai ancaman kepada kesejahteraan, keselamatan dan kelangsungan nasional.

Berikutnya, rasuah perlu dibanteras menerusi strategi undang-undang keselamatan yang komprehensif, tegas, drastic da berkesan seperti undang-undang anti-dadah yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Pembanterasan rasuah di Malaysia berasaskan klasifikasi baru ini pula wajar dilaksanakan oleh tenaga profesional yang menguasai pelbagai disiplin serta kepakaran yang mencakupi pelbagai aspek melibatkan rasuah sistemik.

Kesimpulannya, pemerintah Malaysia perlu mensekuritisasikan seluruh kategori rasuah sebagai ancaman keselamatan. Pemberi dan penerima rasuah sistemik pula perlu dikenakan hukuman gantung sampai mati, seperti penjenayah dadah.

Akhir sekali, pembanterasan rasuah di Malaysia mutakhir ini wajar dilaksanakan menerusi operasi bersepadu dan melibatkan tenaga professional yang menguasai pelbagai disiplin serta kepakaran.

Datuk Ruhanie Ahmad ialah bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor dan kini penuntut Ph.D di Universiti Kebangsaan Malaysia. Utusan/Rencana/20140708

Tags: rasuah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments