kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Melayu! bukalah matamu ...

ORANG Melayu patut buka mata luas-luas. Kalau nak tersentak, tersentap atau apa sahaja perasaan haru-biru sekarang, dipersilakan.

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim beberapa hari lalu di Dewan Negara bahawa kaum Melayu dan bumiputera adalah yang paling sedikit mendaftar sebagai pengundi patut menyedarkan orang Melayu.

Orang Melayu tidak sampai 50 peratus pun mendaftar diri meskipun komposisi kaum itu sebanyak 67 peratus. Ini, kata Shahidan, berbeza dengan kaum Cina - golongan paling aktif mendaftar sebagai pengundi. Lebih 30 peratus daripada mereka yang berumur 21 tahun ke atas telah mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meskipun komposisi kaum itu di Malaysia hanya 23 peratus.

Sudahlah `kalah' dengan kaum Cina, dengan kaum India yang komposisinya cuma tujuh peratus di negara ini pun, kaum Melayu `tewas' juga dalam arena pendaftaran ini. Paling sedikit.

Kenyataan Shahidan ini bukan auta tetapi fakta. Di Kuala Lumpur, masyarakat Cina hanya 43.2% tetapi peratus pemilih kaum Cina adalah 52.15%. Di Pulau Pinang, masyarakat Cina hanya 45.6% tetapi peratus pemilih kaum Cina adalah 53.38%.

Di negeri-negeri lain, komposisi masyarakat Cina berbanding pemilih sangat berbeza. Mengapa ini terjadi? Masyarakat Melayu harus tanya diri sendiri. Sudahkah mereka atau keluarga yang telah cukup umur mendaftar sebagai pengundi?

Orang Cina yang muda apabila cukup umur 21 tahun, terus mendaftar diri mengundi. Cuba lihat setiap kali pilihan raya, tidak kiralah kecil atau besar (umum), golongan tua mereka, yang sudah uzur dan bongkok pun masih bersemangat mengundi. Mereka tahu tanggungjawab sebagai warganegara dan menjaga hak kaum mereka.

Malangnya anak muda zaman sekarang terutama Melayu, malas berfikir tentang sejarah Semenanjung Tanah Melayu yang telah bertukar nama kepada Malaysia. Golongan pertengahan pula, mendengar sesuatu maklumat tanpa berfikir secara logik dan cepat percaya - walaupun kemudahan Internet sudah ada.

Tidak ada gunanya jika orang Melayu merungut bahawa mereka semakin hilang kuasa di tanah air sendiri jika mereka sendiri malas hendak mendaftar sebagai pengundi.

Di Pulau Pinang, pernah mengikut perangkaan Jabatan Statistik pada 2010, bilangan Melayu 676,900 orang (42%) manakala Cina 658,700 (41%). Tetapi mengikut SPR, jumlah pengundi Melayu hanya 33.63% sedangkan Cina 55.05%. Itu angka empat tahun lalu, sekarang peningkatan kaum berkenaan pasti mendadak.

Sepatutnya apabila kita gagal, kita perlu salahkan diri sendiri sebelum salahkan orang lain.

Memang faktanya, DAP menang besar pada pilihan raya umum tahun lalu kerana kaum Cina adalah kaum yang begitu rajin mendaftar sebagai pengundi. Lebih-lebih lagi orang Cina di Selangor. Malangnya, orang Melayu tidak begitu rajin untuk mendaftar. Menyedihkan sama sekali.

Malahan ada orang Melayu yang bekerja di dalam kerajaan sendiri tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi. Inilah sikap orang Melayu yang suka sambil lewa.

Dalam aspek ini, ahli UMNO terutama pemimpin peringkat bahagian perlu ambil iktibar.

Pada PRU-13 lalu terdapat 119 daerah Melayu tetapi hanya 20 dianggap bandar. BN menyapu 78 daripada 99 kerusi Melayu luar bandar tetapi di bandar, BN hanya terdaya meraih lima daripada 20 kerusi bandar.

Orang UMNO kena diingatkan, sokongan orang Melayu luar bandar kepada BN meningkat secara besar di kawasan luar bandar. Dan sokongan orang Melayu bandar kepada BN menurun secara besar di kawasan bandar. Contohnya Selangor.

Jadi, faktor pendaftaran pengundi ini penting. Pernah terjadi dalam satu pilihan raya umum beberapa tahun lalu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Hitam, Kedah, UMNO kalah 506 undi kepada calon Pas hanya kerana 1,400 ahli UMNO tidak mendaftar sebagai pemilih.

Di kerusi DUN Pantai Merdeka, calon UMNO turut tewas dengan 305 undi kepada Pas kerana 1,160 ahli parti itu tidak mendaftar sebagai pemilih.

Jika seluruh orang Melayu mendaftar dan keluar mengundi dalam jumlah yang besar, kuasa pengundi Melayu akan menjadi sangat kuat sehingga pihak lain tidak mampu berkata apa-apa lagi.

Apabila SPR menyatakan "kami mempunyai 80% pengundi yang keluar mengundi", mereka tidak merujuk kepada bilangan penduduk Malaysia. Sebaliknya, SPR merujuk kepada bilangan pengundi yang berdaftar sahaja!

Kita dapat melihat bahawa PKR dan Pas telah kehilangan sokongan daripada orang Melayu berbanding pada 2008. Ini adalah berita yang mengejutkan bagi semua kerana pandangan umum orang Cina adalah orang Melayu juga tidak akan berpihak kepada BN. Dengan ini sebenarnya orang Cina telah mendapat pengesahan bahawa tanpa sokongan dan persetujuan daripada orang Melayu, slogan dan konsep 'UBAH' tidak dapat dibuat.

Kemenangan UMNO sebenarnya hasil sokongan pengundi luar bandar. Mereka merupakan jentera kukuh BN. Pengundi di bandar barangkali sudah menunjukkan penolakan secara besar-besaran terhadap BN hasil gegaran maklumat Red Bean Army.

Melayu telah pecah tiga - UMNO, Pas dan PKR manakala kaum Cina tetap solid satu, DAP.

Apakah orang Melayu akan menjadi minoriti pada PRU-14 apabila pihak lain menjadi dominan di kertas-kertas undi? Barangkali benarlah pepatah menang sorak kampung tergadai.

Namun, masih sempat lagi sebelum PRU-14 untuk mengubah tanggapan dan nasib malang yang berkemungkinan tiba.

Jawapannya, orang Melayu mesti mendaftar sebagai pengundi! Zulkifli Jalil Utusan/Rencana/20140708

Tags: melayu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments