BELUM pun reda kes remaja Orang Kurang Upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 15, kini timbul pula isu baru yang menarik perhatian rakyat iaitu kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) berkaitan membasmi gelandangan dan pengemis.
Menurut kenyataan itu yang dilaporkan media, pihaknya akan mengenakan denda RM150 terhadap sesiapa yang memberi sedekah kepada golongan pengemis malah pusat yang memberi makan kepada golongan gelandangan tidak lagi dibenarkan beroperasi di dalam lingkungan dua kilometer dari kompleks beli-belah Lot 10 di Jalan Bukit Bintang.
Saya percaya Ku Nan atau pihaknya bertindak sedemikian bukanlah untuk suka-suka, sebaliknya bertujuan menyelesaikan isu gelandangan atau pengemis yang semakin lama semakin menjadi-jadi.
ROHANI Abdul Karim bertanyakan sesuatu kepada pengemis yang ditahan di dalam operasi menyelamatkan pengemis di sekitar ibu kota pada 7 April lalu. |
Walaupun kenyataan tersebut mendatangkan pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak, saya yakin Ku Nan tahu apa yang dibuat oleh pihaknya.
Bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), pendekatan yang diambil ialah dengan menyelamatkan semua gelandangan dan pengemis ini untuk ditempatkan di institusi kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Tindakan ini tidak hanya dilaksanakan di Kuala Lumpur bahkan di seluruh negara.
Untuk mencapai matlamat tersebut, menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim telah mengumumkan pelaksanaan Ops Qaseh.
Ops Qaseh merupakan operasi menyelamat yang dilaksanakan mengikut Akta Orang Papa (AOP) 1977 di bawah Seksyen 3(2) yang memberi kuasa kepada Pegawai JKM dan PBT untuk menyelamat orang yang mengemis atau merayau-rayau. Orang papa yang diselamatkan perlu dibawa ke mahkamah dalam tempoh 24 jam bagi mendapat perintah tahanan sementara iaitu tidak melebihi 30 hari untuk tujuan siasatan.
Mereka yang diselamatkan sewaktu Ops Qaseh akan melalui proses saringan oleh pegawai JKM dan pegawai-pegawai daripada agensi penguatkuasaan untuk diambil tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Tindakan oleh JKM setelah membuat proses saringan adalah seperti berikut:
a) Bagi yang mempunyai keluarga dan sanggup memberi jagaan terhadap mereka akan dikembalikan kepada keluarga;
b) Bagi yang berumur 60 tahun ke atas, sekiranya didapati memang benar-benar miskin, daif dan tiada keluarga akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan (RSK);
c) Bagi yang benar-benar mengemis dan berumur 18-59 tahun akan dihantar ke Desa Bina Diri (DBD) untuk diberi perlindungan dan menjalani pemulihan untuk tempoh tiga tahun mengikut Seksyen 3(4) AOP.
Di DBD dan RSK, mereka akan menjalani pemulihan, perlindungan dan latihan kerjaya dalam bidang vokasional, pertanian dan kraftangan. Pendidikan kerohanian dan rekreasi, rawatan perubatan dan penjagaan kesihatan juga disediakan.
Bagi mereka yang sihat serta mempunyai keupayaan dan kemahiran tertentu akan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan terutamanya bagi memenuhi kekosongan jawatan di pasar raya besar di seluruh negara.
Bagi pengemis warga asing pula, mereka yang ditahan semasa operasi menyelamat akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya. Begitu juga sekiranya ada dalam kalangan pengemis yang ditahan itu terlibat dengan pengambilan dadah, maka AADK akan membantu menguruskan mereka.
Dengan melaksanakan Ops Qaseh ini, ia diharapkan dapat mencapai objektif iaitu:
a) Memastikan negara bersih dan bebas gelandangan dan pengemis menjelang 2020;
b) Meningkatkan kesedaran masyarakat untuk bersama-sama membantu inisiatif kerajaan membendung masalah gelandangan dan pengemisan;
c) Memberi perlindungan, penjagaan dan kehidupan yang kondusif kepada gelandangan dan pengemis dalam arus pembangunan negara.
Menjawab dakwaan yang mengatakan bahawa menteri mahupun pihak JKM tidak pernah turun padang untuk melihat sendiri keadaan golongan ini di jalanan dan hanya sekarang berbuat demikian, itu tidak benar.
Sebenarnya menteri telah mengadakan operasi turun padang untuk menyelamat dan mendapatkan gambaran lebih dekat serta mendalami tentang golongan ini. Pihak JKM pula telah mewujudkan operasi sedemikian sejak dulu lagi.
Di sini saya kongsikan maklumat statistik.
Pada 2013, sebanyak 2,039 operasi telah dijalankan di seluruh negara dengan seramai 1,048 orang pengemis diselamatkan berbanding 2010 sebanyak 1,434 diselamatkan.
Pada tahun ini sehingga April sahaja sebanyak 17 operasi dijalankan di Kuala Lumpur dengan 120 orang diselamatkan. Di Johor Bahru pula sebanyak tujuh operasi dijalankan dan 18 orang diselamatkan.
Dalam operasi ini kementerian turut bekerjasama dengan agensi lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, PDRM, AADK, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan lain-lain agensi penguatkuasaan.
Mengenai persoalan kenapa tidak berbincang dan bekerjasama dengan pihak NGO yang selama ini bertungkus-lumus memberi makan minum atau dalam erti kata lain membantu golongan tersebut sejak sekian lama, sebenarnya pada 9 Mei lalu, satu perjumpaan di antara menteri, Rohani dan pegawai kanan kementerian telah diadakan dengan NGO-NGO penyumbang makanan kepada gelandangan dan pengemis di sekitar Kuala Lumpur.
Pertemuan itu dihadiri oleh lapan wakil NGO, tujuh wakil agensi penguatkuasaan dan pegawai-pegawai kanan kementerian. Dalam sesi tersebut, kementerian menegaskan amalan menyedia dan memberi makanan kepada gelandangan dan pengemis perlu diperbetulkan dan disalurkan ke institusi kebajikan yang berdaftar dengan JKM seperti di DBD dan bukannya di jalanan.
Dengan memberi makanan kepada mereka di jalanan akan menggalakkan mereka hidup bergelandangan. Sebab mereka merasakan akan ada sahaja orang yang akan bantu mereka hidup sebegitu.
Sampai bila kita mahu melihat golongan ini yang berkeliaran di jalanan dengan keadaan hidup tidak terurus dan tidur di kaki lima bangunan, di bawah jambatan dan tempat-tempat kemudahan awam sehingga menjejaskan imej ibu kota di mata pelancong. Sampai bila?
Saya berharap masyarakat di luar sana memahami inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan ini. Kerajaan tidak menghalang mana-mana individu atau badan atau pertubuhan yang ingin membantu gelandangan atau pengemis ini.
Salurkan segala sumbangan dan bakti anda ke tempat yang betul. Terdapat 13 buah institusi kebajikan di bawah JKM di samping empat buah DBD di Malaysia yang terletak di Mersing, Jerantut, Kota Kinabalu dan Pusat Sehenti Bina Diri, Sungai Buloh. Satu lagi akan diwujudkan di kawasan Lembah Klang dalam tempoh terdekat.
Marilah kita bekerjasama dengan kerajaan melalui JKM dalam membantu masyarakat gelandangan ini. Janganlah biarkan mereka terus hidup bergelandangan atau mengemis.
Percayalah kerajaan amat serius dalam hal ini dan dengan cara berhenti memberi di jalanan akan membantu menyelesaikan isu tersebut sekali gus membantu komuniti berkenaan untuk terus hidup maju ke hadapan.
Kepada NGO atau individu di luar sana, ingatlah pihak kerajaan bukan melarang anda memberi sumbangan atau membantu golongan berkenaan tetapi bukan di jalanan tetapi salurkan ke tempat yang betul. Dengan itu, sasaran untuk mencapai sifar gelandangan dan aktiviti mengemis pada 2020 akan tercapai.
SHAHREN YUSRI ialah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Sebarang pertanyaan boleh hubungi Twitter: @ShahrenYusri , www.jkm.gov.my atau talian Nur 15999. Utusan/Rencana/20140708