kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sumbangan YP kepada pendidikan

DENGAN perbelanjaan hampir mencecah RM1 bilion yang dimanfaati oleh lebih 900,000 pelajar sehingga kini, menjadi gambaran kasar mengenai peranan dan sumbangan besar Yayasan Pahang (YP) dalam mengembangkan pendidikan dan modal insan di negara ini.

Melihatkan bangunannya yang tersergam gah dan indah di Tanjung Lumpur dekat sini sahajapun sudah mendatangkan kepercayaan utuh tentang peranan dan sumbangan besarnya itu.

Sementelah pula bangunan enam tingkat berharga cuma RM35 juta (termasuk kos pembinaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) bersebelahan) yang siap dan mula beroperasi pada 2007, dibiayai sepenuh dengan wangnya sendiri.

Apatah lagi dengan pembinaan kampus tetap Kolej Antarabangsa IKIP miliknya, di kawasan bersebelahan yang dijangka dapat menampung hingga 2,000 pelajar dan siap pada 2017 dengan kos RM106 juta yang turut ditanggung sepenuhnya.

Kisah-kisah kejayaan ini menurut bekas Pengurus Besarnya, Datuk Saariah Saad pada satu temu bual, banyak disandarkan kepada kepimpinan tertinggi YP khususnya Pengerusi-pengerusinya.

Bermula dengan Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Besar ketika itu (1982-1986) disusuli Tun Mohd. Khalil Yaakob (1986 - 1999) dan kini Datuk Seri Adnan Yaakob (sejak Mei 1999).

Semasa era Najiblah, idea penubuhan Yayasan Pahang (YP) dicetuskan, kemudian diwujud dan dirasmikan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 29 September 1983.

"Fokus utama beliau pada ketika itu menjurus kepada memastikan anak-anak negeri mendapatkan akses pendidikan yang sempurna dan memberi perhatian langsung kepada anak-anak pelajar dari keluarga yang kurang kemampuan kewangannya dan dari sekolah-sekolah luar bandar," kata Saariah mengenai YP di bawah Najib.

Selaku pencetus dan penggerak, tidak hairanlah, pada lawatan rasmi pertama Najib ke negeri ini selaku Perdana Menteri pada 18 April 2007 - seperti masih ada sentimental attachment pada YP, beliau turut menyebut mengenainya dalam ucapan luar teksnya;

"Kalau Yayasan Pahang perlu suntikan, saya bersedia memberi peruntukan tambahan kepada Yayasan Pahang kerana saya yakin bahawa usaha-usaha seperti ini akan memberi kesan yang amat besar kepada rakyat Pahang".

Di bawah kepimpinan Mohd. Khalil pula menurut Saariah, fungsi YP dimantapkan lagi dengan memberi perhatian yang sama berat kepada memenuhi tanggungjawab sosialnya khususnya dalam bidang pendidikan, dengan ekonomi.

Sehubungan itu, pada 1992, IKIP Education Sdn. Bhd. diwujudkan yang kemudiannya menubuh dan mengendalikan Institut Kemahiran Ikhtisas Pahang (IKIP) yang kini dikenali Kolej Antarabangsa IKIP.

Penubuhan ini menurut Saariah lagi, dengan yuran pengajian tahunan yang berpatutan, ialah bagi menambah luas peluang mendapat pendidikan tinggi dan memberi alternatif pendidikan swasta kepada anak-anak Pahang daripada pelbagai latar ekonomi.

Sehinggalah ke era Adnan - seorang bekas guru, yang telah menambah baik lagi peranan dengan memperkenalkan lebih banyak produk-produk bantuan pendidikan serta memperbanyakkan program-program kemasyarakatannya.

Dan, tingginya passion beliau terhadap YP dan bidang pendidikan yang dimainkan, terserlah bukan sahaja pada segala usaha tersebut tetapi juga pada ucapannya ketika pembentangan Bajet Negeri 2006 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri, 15 November 2005.

Ini khususnya ketika menyentuh soal pendidikan, yang dengan nada sebak beliau menyebut; "Kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang akan meneruskan program bantuan pendidikan untuk memastikan setiap pelajar yang layak tidak tercicir, tidak tertinggal, mencapai tahap pendidikan setinggi yang mungkin.

"Kita tidak akan membiarkan kemiskinan dan ketidakmampuan sesebuah keluarga menyebabkan seseorang pelajar tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat setinggi-tingginya".

Semasa era Adnanlah, dari segi pembangunan fizikal, YP memiliki bangunannya sendiri - Kompleks Yayasan Pahang di Tanjung Lumpur, serta MTNP iaitu institusi bagi melahirkan dua dalam satu - hafiz dan hafizah serta seorang profesional; dibangunkan bersebelahan.

Bangunan-bangunan ini dirasmikan oleh Sultan Pahang pada 20 Jun 2007, iaitu selepas baginda jugalah yang merasmikan penubuhan YP, kira-kira 24 tahun sebelumnya.

Banyak produk bantuan pendidikan yang dianjurkan oleh YP selepas lebih tiga dekad kewujudannya. Begitulah banyak sehingga meliputi bukan sahaja yang berkenaan dengan pelajar-pelajar cemerlang seperti adanya Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) dan Projek Intervensi Semua A (PiSSA); yang lemah dan sederhana juga diberi peluang untuk memperbaiki pencapaian akademik mereka.

"Antaranya, Program Puncak Jaya (PPJ) dan Program Semarak Usaha dan Impian Ke Universiti (PrSUIT). Program-program ini membantu golongan pelajar sederhana atau yang biasa kita sebut 'GALUS' - sekali gagal, sekali lulus, yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Ia bagi membolehkan mereka mendapat kelayakan memasuki universiti-universiti tempatan," kata Pengurus, Bantuan Pendidikan YP, Airulamri Amran.

Seperti mana kedua-dua program itu, begitu juga dengan beberapa lagi produk bantuan pendidikannya yang turut tertumpu kepada pelajar yang sama seperti program Permata Hati Anak Yatim (PERHATI) dan Program Perancangan Harus Lulus (PERHALUS).

YP turut menubuhkan IKIP Advanced Skills Centre - sebuah institusi pendidikan kemahiran yang dijuruskan kepada pelajar yang kurang menyerlah dalam akademik maka kursus-kursus seperti dalam bidang komputer, automotif, perhotelan dan fesyen ditawarkan.YOPE KEY-DARE Utusan/Rencana/20140709/

Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Manusia Tanpa Kemanusiaan

    Manusia dan kemanusiaan harusnya seiring. Kata orang lama di tempat saya , manusia tanpa kemanusiaan umpama haiwan atau binatang. Sejak kecil…

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments