kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Isu-Isu Akhbar Cina

MCA BUNGA HIASAN DALAM PASU

AKHBAR China Press bertarikh 3 Julai 2014 mendakwa masyarakat Cina di negara ini memperlekehkan kemasukan semula MCA ke dalam Kabinet dengan menganggap parti itu telah melanggar janji-janji yang dilafazkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Artikel bertajuk, 'MCA masuk Kabinet seperti bunga hiasan dalam pasu', merupakan pandangan Choon Kok Boon yang disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15.

Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon ditegur kerana terlalu ghairah dan bergembira dengan jawatan-jawatan yang diberikan itu sehingga memuat naik status dalam laman sosial, Facebook, "kembali semula ke Kabinet, tawan kembali kawasan lama yang hilang".

Akhbar itu turut meragui kenyataan presiden parti, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang kononnya MCA menyertai semula Kabinet kerana mahu memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat Cina, seolah-olah menunjukkan bahawa setiap ahli parti yang diketuainya itu amat setia dan prihatin terhadap segala kebajikan kaum berkenaan.

Semasa kegemilangan MCA antara 2004 dan 2008, iaitu mempunyai empat jawatan menteri dan sembilan jawatan timbalan menteri (4+9) yang membawa maksud mereka lebih berkuasa dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada Cina tetapi masih tetap ditolak sepenuhnya oleh kaum itu dalam PRU-12, inikan pula jika dibandingkan dengan situasi terkini (2+3).

Penulis mengandaikan tindakan MCA menyertai Kabinet itu seperti orang tua yang terlalu uzur, tanpa sebatang gigi pun, berjalan begitu lemah dengan bertongkat dalam perjalanan ratusan kilometer hanya untuk mempertahankan sebuah tanah perkuburan Cina.

Mungkin MCA akan bangkit berkuasa selepas menyertai Kabinet, namun segalanya bergantung kepada keberkesanan gandingan menteri dan timbalan itu dalam mempengaruhi polisi dan dasar kerajaan yang secara realitinya mustahil untuk dilakukan oleh mereka.

Tiong Lai diberi jawatan Menteri Pengangkutan, tetapi sebenarnya hal ehwal pengangkutan telah dikawal dan dikuasai sepenuhnya oleh jawatankuasa pengangkutan darat yang ditubuhkan. Rahsia bahawa beliau Menteri Pengangkutan tetapi tidak berkuasa sepenuhnya telah diketahui umum.

Semuanya, bermula dengan perancangan pengangkutan awam hingga kelulusan pengeluaran lesen kenderaan perdagangan bukan dalam bidang kuasanya, namun terdapat satu perkara yang dikuasai oleh Tiong Lai iaitu keputusan mengenai tender pengeluaran nombor plat kenderaan.

Kelak apabila sesiapa mahu mengambil tender nombor plat, Tiong Lai boleh melakukan dengan tangannya sendiri, tanpa perlu minta pihak lain membantu, umpama dari tangan kiri campak ke tangan kanan.

Bagaimanapun, nasib Tiong Lai lebih baik daripada timbalannya, Datuk Dr. Wee Ka Siong yang sehingga kini masih belum mengetahui portfolio dan bidang kuasanya, lebih teruk lagi kerana Pejabat Perdana Menteri yang sesak, menyebabkannya buat sementara waktu terpaksa ke pejabat lama Kementerian Pembangunan Usahawan.

Dalam masa beberapa hari ini, MCA cuba berlagak seperti pahlawan bangsa apabila membangkitkan isu guru-guru di bahagian pendidikan Cina dengan mengasak Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching. Mereka terlupa bahawa orang paling berkuasa di kementerian itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sekali lagi terlupa bahawa sebelum ini MCA dipertanggungjawabkan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan bagi menjaga kebajikan guru-guru Cina.

MB SELANGOR DI HUJUNG TANDUK?

Isu jawatan Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim seperti berada di hujung tanduk, dijangkakan dalam persidangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Ogos ini bakal menamatkan perjalanan politiknya, sama ada secara sukarela atau dipaksa, turut diulas oleh akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 7 Julai 2014.

Artikel yang merupakan pendapat Datuk Dr. Cheah See Kian bertajuk, 'Jawatan Khalid Ibrahim di ambang penghujung?' disiarkan dalam ruangan Pendapat Yan Lun halaman W3.

Walaupun menerima pelbagai tekanan tetapi Khalid tetap tidak akan berundur walau setapak dan akan menentang habis-habisan segala ancaman, namun realitinya, beliau telah kehilangan segala kekuatan yang diperlukan itu.

Sebelum menjadi MB, beliau ialah pengerusi jawatankuasa PKR negeri, tetapi selepas dilantik memegang jawatan nombor satu itu pada 2008, beliau tumpukan sepenuh masa dengan tugas-tugas menteri besar, sekali gus mengabaikan kerja-kerja parti hingga menyebabkan kehilangan pengaruh dalam PKR.

Menyertai PKR pada 1999, tokoh korporat ini pernah menjadi calon Pilihan Raya Kecil DUN Ijok pada 2007 tetapi tewas. Dalam PRU-12, bertanding di Parlimen dan DUN, sekali gus menang besar dan mendapat persetujuan semua rakan dalam pembangkang untuk menjadi MB.

Kerana kejayaan cemerlang pembangkang di Selangor dalam PRU-13, Khalid dikekalkan memimpin Selangor dan langkah ini menimbulkan perasaan tidak puas hati orang nombor dua dalam PKR, Azmin Ali yang kemudiannya memberi tekanan demi tekanan terhadap Khalid.

Politik Selangor pasca PRU-13 sedikit bercelaru. Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dan meredakan keadaan tetapi hanya seketika dan pada awal tahun ini Khalid dan Azmin kembali bertembung secara terang-terangan.

Anwar kemudiannya menimbulkan inisiatif Langkah Kajang bagi menyelesaikan 'kepanasan' dan bakal melantik dirinya sendiri sebagai menteri besar bagi menyelamatkan persengketaan parti.

Walaupun selepas PRK Kajang, Khalid secara selamba enggan melepaskan jawatan dan terlihat seolah-olah dari kaca mata Khalid, Anwar langsung tidak mempunyai sebarang alasan untuk memintanya berundur.

Pada masa sama Khalid melakukan beberapa tindakan luar jangka umpamanya menandatangani perjanjian bekalan air negeri dengan Pusat.

Selepas Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang menggantikan suaminya memenangi PRK Kajang enggan merebut jawatan MB, Khalid berasa lega dan tidak lagi menganggap suami isteri itu sebagai musuh yang mampu memberi ancaman.

Seterusnya, misi Khalid ialah mempertahankan jawatan dalam parti bagi menghapuskan ancaman Azmin. Namun keadaan sebaliknya berlaku apabila Azmin dilihat mendahului persaingan, nasib Khalid semakin meruncing yang semestinya bakal digunakan sebaik mungkin oleh Azmin bagi mengetepikannya.

Lain pula dengan DAP, pada Mei menyokong Khalid untuk kekal sebagai MB namun berubah pada Jun apabila mengeluarkan kritikan terbuka terhadap kredibiliti Khalid, memberi isyarat bakal menyokong pengganti beliau. Utusan/Rencana/20140710

Tags: politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments