kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Penjenamaan politik 360° Modi

KEMENANGAN Narendra Modi dan Parti Bharatiya Janata (BJP) pada Pilihan Raya India baru-baru ini telah mencetuskan satu fenomena baru.

Kajian Irresistibility Quatient (IQ) menunjukkan bahawa jenama Modi mencecah angka hampir 100 peratus, yang dianggap sempurna di bawah penelitian ke atas penjenamaan walaupun lazimnya kajian dilakukan untuk mengetahui bagaimana sesuatu jenama memenuhi kemahuan dan keperluan pengguna yang dikenal pasti.

Modi menjadi ikon dan turutan ramai. Imej beliau dan mesej bersemuka membelakangkan kesemua jenama lain termasuk jenama parti sendiri. Mengenal pasti seorang pemimpin secara spesifik dan memobilisasi sokongan di bawah pemimpin tersebut bukan strategi politik baharu tetapi ditulis semula sebagai modal percaturan oleh Modi. Jenama Modi bukan sahaja mempengaruhi imaginasi popular tetapi juga mengatasi jenama BJP? Bagaimana ia berlaku?

Kempen Modi dilihat berjaya kerana tema, kandungan dan peluasan komunikasi di sebuah negara yang berpopulasi tinggi. Transformasi Modi daripada seorang pemimpin wilayah, ahli politik bersayap kanan kepada seorang pemimpin yang boleh membuat keputusan dengan agenda pembangunan jitu yang dianggap penting untuk masa depan India, tidak dilihat kurang daripada bersifat luar biasa.

Narendra Modi memegang simbol parti Bharatiya Janata sambil melihat bilangan undi yang diperolehi di dalam
telefonnya di Ahmadabad, India, baru-baru ini. - AGENSI


Pasukan Modi berhadapan dengan tiga cabaran utama ketika membina imej beliau iaitu;

Satu, sebagai Ketua Menteri Gujarat, jenama pemimpin wilayah mahu diangkat ke peringkat kebangsaan.

Kedua, pemimpin berumur 63 tahun ini juga perlu berinteraksi dengan pengundi muda kerana pilihan raya ketika itu mempunyai 150 juta pengundi kali pertama dan waktu yang sama perlu mendekati pengundi bandar kelas pertengahan yang mempunyai kesedaran politik yang jauh tinggi.

Ketiga, beliau membawa imej tercalar daripada insiden rusuhan anti-Muslim di Gujarat.

Kempen menyeluruh dilakukan bersifat 360 darjah; termasuk media cetak, televisyen, radio, media baharu dan program yang dikategorikan bersama akar umbi seperti perhimpunan dan mesra rakyat tidak ketinggalan yang dinamakan sebagai 'consumer points' di gerai teh tarik dan lain-lain.

Keupayaan parti BJP Modi untuk mengikat Prasoon Joshi dari Syarikat Pengiklanan McCann dan Piyush Pandey, dari Ogilvy and Mather di bawah agensi Soho Square serta Sam Balsara dari Madison World dianggap antara peneraju kejayaan jenama Modi. Komunikasi berfokus ke atas Modi sendiri yang membawa kemenangan mutlak kepada parti BJP.

Modi di samping menggunakan akhbar pelbagai bahasa serta mesej yang disebar melalui televisyen dan radio untuk sampai ke bandar besar dan kecil, turut memaksimumkan penggunaan strategi media digital termasuk Twitter kerana hampir 13.31 juta penduduk India aktif di alam maya.

Di kawasan yang terhad penggunaan media baharu, kenderaan lengkap dengan parabola termasuk video rakaman awal digunakan untuk meningkatkan tahap penerimaan ke atas kempen mereka.

Kempen 'Teh Tarik Bersama Modi' digiatkan di mana orang ramai memenuhi gerai teh tarik yang membolehkan mereka melihat atau bercakap dengan Modi di kamera web dan minum teh tarik dengan cawan kertas berlakar gambar Modi.

Modi juga dilihat berada di 150 lokasi pada waktu yang sama; penggunaan kaedah hologram 3D direkacipta untuk perhimpunan awam. Malahan, pakar animasi Manish Sherawat menggunakan tema sukan kriket yang popular di India untuk filem animasi dan iklan Modi; serta lagu dan muzik video dimuat naik menjadi popular di YouTube manakala Anuraag Khandelwal dan Satish Desa memegang peranan menghasilkan slogan utama. Kesemua mereka menjadi nadi utama di Soho Square.

Modi juga tidak ketinggalan memberi maklum balas segera ke atas sebarang isu dengan billboard dan kempen interaktif. Sebarang peluang yang cuba diambil oleh lawan diberi respons oleh Modi tanpa melengahkan sebarang tindakan.

Modi diiktiraf sebagai 'pemimpin berwawasan' oleh pengundi muda. Seorang orator hebat, beliau menampilkan isu yang dekat dengan golongan muda seperti pertumbuhan ekonomi, inflasi tinggi dan peluang pekerjaan baru. Mesej disampaikan melalui khidmat pesanan ringkas dan suara rakaman Modi. Platform Twitter, Facebook dan Youtube digunakan untuk menyalurkan mesej ini.

Impak kempen dirasai oleh kesemua kelompok kumpulan berlainan umur, geografi dan kelas dalam masyarakat. Kejayaan membawa perubahan ekonomi di Gujarat dan sokongan ahli perniagaan dan pengiktirafan ahli ekonomi melonjakkan populariti beliau. Walaupun lawannya tidak ketinggalan dalam konteks pemasaran media, namun perbezaan besar ketara apabila advokasi sokongan tokoh korporat menampakkan perubahan berpihak kepada Modi.

Ramai menjangkakan populariti Modi akan terancam disebabkan oleh peristiwa rusuhan anti-Muslim di Gujarat tetapi strategi untuk menyatakan bahawa ia telah berlaku dan perlu bergerak memikirkan masa depan serta tidak banyak bercakap mengenainya telah mengetepikan ancaman isu tersebut ke atas kempen beliau.

Jelas, pengalaman para strategis media Modi yang barangkali melihat kepada apa yang berlaku dengan jenama Cadbury, Coca-Cola dan Pepsi sebagai asas dengan dibantu oleh kelemahan kepimpinan lawan sendiri membawa kepada kejayaan Modi.

Pemetaan imej Modi menjadi tunjang kejayaan beliau. Beliau dilihat model yang ideal dengan imej 'diri sendiri yang kuat, efisien, bebas rasuah dan memberi inspirasi'.

Beliau berjaya memanipulasi imaginasi umum dengan dilabel sebagai pemimpin jujur, kredibel dan komited. Beliau mendengar dan memberikan maklum balas segera kepada pengundi, satu yang dikatakan kali pertama dilakukan oleh pemimpin dalam hubungannya dengan pengundi.

Modi menjadi lebih besar daripada imej BJP sendiri kerana pengundi mengundi Modi dan tidak semestinya untuk BJP, sebagaimana perubahan yang dilakukan oleh Apple melalui iPod dan iMac.

Barangkali, politik personaliti dengan acuan tersendiri berpihak kepada Modi. Kekuatan Modi adalah pada keupayaan orator, mandat besar, aplikasi teknologi baru dan bermula dengan keazaman kuat daripada janji yang dilontar.

Modi juga akan berhadapan dengan cabaran seperti masalah dalaman, harapan ke atas jenama beliau dan belum ada yang dilihat mewarisi kepimpinan beliau di BJP jika sesuatu berlaku. Peluang seperti pemasaran antarabangsa yang datang percuma wajar digunakan sepenuhnya dan memastikan kuasa generasi muda tidak diketepikan.

Harapan, permintaan dan mindset yang mengundi beliau amat berbeza dan unik. Modi berjaya kerana pasukan yang dibina oleh beliau memahami dan mahu memahami agenda Modi dan bukan sebaliknya. Modi sudah menjadi sejarah bahan mereka cipta penjenamaan, pengiklanan dan pemasaran politik dunia mutakhir.

Beliau juga sudah melahirkan pengikutnya dan akan menjadi imej avatar yang kebal jika kesemua yang dilontar dalam terjahan kempen pilihan raya mampu dilaksanakan dan menjadi hakikat realiti kerana masyarakat sering mahukan hasil instant dan bukan hasil jangka panjang.

Apakah akan ada hologram 3D pencapaiannya selepas ini? Masa akan menentukannya.

PROFESOR Madya Dr. Sivamurugan Pandian ialah pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia Utusan/Rencana/20140710

Tags: politik
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments