kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tanggungjawab berbahasa Melayu setelah berhak berbahasa ibunda

Kebelakangan ini apabila persoalan perpaduan kaum yang kurang utuh ditimbulkan dalam pertemuan rasmi, ramai pihak cuba mengaitkannya dengan sistem pendidikan kita. Mereka ini berpendapat bahawa masalah yang memperlihat gejala polarisasi kaum di sekolah, universiti dan tempat kerja, disebabkan oleh sistem persekolahan yang diamalkan.

Sehubungan ini, ramai pihak yang mahu sistem persekolahan kita bersifat satu aliran saja, yakni menggunakan hanya satu bahasa pengantar. Namun, ada juga pihak yang mempertahan sistem persekolahan sedia ada, yang membenarkan penggunaan lebih daripada satu bahasa pengantar.

Pihak yang mempertahan sistem yang sedia ada, berhujah bahawa sistem persekolahan satu aliran itu tidak semestinya ditakrifkan sebagai menggunakan satu bahasa pengantar saja. Ia boleh juga merujuk kepada satu arus utama, iaitu sekolah kerajaan, yang merangkumi Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan.


Dukung falsafah sama

Dengan ini, mereka berhujah bahawa dua sekolah ini mendukung falsafah pendidikan yang sama, selain mengikuti kurikulum dan sukatan pelajaran yang serupa. Oleh itu, Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan berada dalam satu arus nasional, yang hanya berbeza dari segi penggunaan bahasa pengantar.

Cara berhujah begini mungkin dianggap mempunyai logik tinggi dalam kalangan pihak yang tidak mahu menerima sistem persekolahan satu aliran, dalam pengertian penggunaan hanya satu bahasa pengantar. Namun, ia sebaliknya bukan saja memperlihat pemikiran yang tidak rasional.

Ia boleh juga ditafsirkan sebagai keengganan pihak ini untuk menerima sistem persekolahan yang unggul sifatnya, dalam membina negara bangsa yang bersatu padu. Oleh sebab asas pembentukan negara ini ialah kemajmukan etnik, sistem persekolahan sedia ada dilihat sebagai satu hak oleh pihak ini.

Kalau itulah cara pemikirannya, hak ini sebetulnya perlu ditimbalkan dengan tanggungjawab. Dengan ini, menjadi kewajipan pihak ini untuk memastikan pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu selaku bahasa negara, dalam kalangan kaum Cina misalnya, adalah rata-ratanya baik.

Sehubungan ini, langkah untuk menyelaraskan sukatan pelajaran bahasa Melayu antara yang di Sekolah Kebangsaan dengan yang di Sekolah Jenis Kebangsaan, tidak boleh terus-terusan ditolak oleh pihak ini. Ini kerana, bahasa Melayu sebagai bahasa negara perlu diketahui dan dikuasai dengan baik oleh semua warganegara Malaysia.

Salah satu caranya ialah dengan tidak terus mempelajarinya pada tahap rendah, yang didapati tidak boleh pun memandaikan anak bangsa dari kelompok bukan Melayu, untuk berbahasa Melayu dengan baik dan betul.


Tambah waktu pendidikan

Langkah untuk menambahkan waktu pendidikan bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan juga perlu diterima sepenuhnya. Tujuannya jelas, iaitu untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu. Ini penting agar lepasan Sekolah Jenis Kebangsaan tidak menghadapi masalah apabila ke Sekolah Menengah Kebangsaan nanti.

Inilah tanggungjawab yang perlu disalingkan dengan hak menggunakan bahasa ibunda di negara ini. Tanpa kewajipan ini ditunaikan sepenuhnya, hak yang diberikan itu adalah satu pencabulan.

Dengan tertunai kewajipan ini sepenuhnya, sekolah vernakular walaupun berstatus separa nasional, sempena dengan nama jenis kebangsaan padanya, boleh mula dianggap sebagai nasional.

Dalam hal ini, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina misalnya, walaupun menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar utama, perlu memperlihat kesanggupan ikhlas mendidik muridnya untuk mempunyai kefasihan yang tinggi dalam bahasa Melayu.


Tingkat kefahaman

Untuk ini, bagasi budaya, yakni kepercayaan dan sikap kaum Cina terhadap bahasa Melayu, perlu ikut diatasi sepenuhnya. Ini penting bukan saja agar pandangan dan penilaian kaum Cina terhadap bahasa Melayu, sentiasa positif.

Jauh lebih penting lagi ialah kefahaman mendalam mereka bahawa bahasa Melayu adalah penanda penting kepada nasionaliti Malaysia yang ada pada mereka.

Sehubungan ini, kaum Cina juga perlu berkongsi wawasan sama dengan kaum Melayu selaku kaum dominan dan penduduk asal, bahawa bahasa Melayu adalah jiwa bangsa dan negara Malaysia.

Selain ini, wawasan bahawa bahasa Melayu adalah teras jati diri kebangsaan, perlu juga dikongsi oleh semua pihak, khususnya bukan Melayu.

Hanya bahasa Melayu dapat menghubungkan semua warga negara Malaysia dengan tanah air mereka, dengan jelas sekali dan langsung pula, berbanding dengan bahasa lain dalam profil linguistik negara ini. Teo Kok Seong ialah Profesional Berita Harian Kolumnis Bahasa Melayu 2014/07/10 - 09:27:25 AM
Tags: bahasa, melayu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments