Dalam keseronokan menyaksikan banyak jaringan gol disumbat pada temasya kali ini, kita juga kena banyak belajar supaya pasukan Malaysia berjaya masuk dalam kelompok bertaraf Piala Dunia suatu masa nanti.
Kalau diperhatikan taraf liga Malaysia sekarang ia kembali menyerlah setelah kehadiran semula pemain import.
Banyak juga pasukan tempatan bersaing satu sama lain untuk mendapatkan pemain tempatan terbaik dengan tawaran gaji lumayan. Nampaknya tak kalah juga pasukan negeri dan kelab di Malaysia, macam kelab-kelab Eropah memancing pemain.
Kalau dahulu gaji pemain setakat RM10,000 tapi kini sudah berganda-ganda gaji mereka dalam sebulan. Memang gaji pemain tempatan sudah menyamai atau melebihi gaji pemain import. Gaji setakat RM60,000 - RM80,000 sebulan bukan memeranjatkan. Gaji mereka sudah sama taraf dengan CEO syarikat korporat.
Siapa jangka, walaupun kedudukan rangking pasukan kebangsaan Malaysia masih sekitar 140-150 dunia, gaji pemain benar-benar bertaraf gaji pemain profesional.
Hebat! Gaji pemain kita juga boleh dikatakan lebih tinggi daripada gaji pemain yang mewakili negaranya di Piala Dunia, mungkin mengatasi gaji pemain Honduras, Ecuador atau Ghana.
Ini Malaysia, kita boleh sama taraf dengan negara maju lain. Jangan lupa bahawa dahulu Malaysia ialah gergasi bola sepak Asia. Taraf bola sepak Malaysia cukup hebat hinggakan pasukan Jepun, Korea Selatan, Iraq, Arab Saudi, Kuwait, Ghana, malah kelab utama Liga Inggeris Chelsea, Swansea serta Boca Juniors dari Argentina pun berbangga dapat menyertai Pesta Bolasepak Merdeka. Tapi semua kegemilangan itu sudah pupus ditelan masa.
Menyokong
Bola sepak selalu dianggap sukan nombor satu rakyat Malaysia. Kalau dilihat sebelum bermula Piala Dunia Brazil, kebanyakan rakyat Malaysia menyokong pasukan dalam liga Eropah daripada menyokong Liga Super tempatan.
Bila Piala Dunia bermula, keghairahan memuncak dalam kalangan peminat bola sepak tempatan kepada pasukan negara yang bertanding pula.
Kekecewaan mereka dapat dilihat apabila pasukan negara yang mereka sokong tewas. Hairan, mereka nampak lebih kecewa apabila pasukan bukan negara mereka sendiri yang kalah. Hakikatnya kita hanya menumpang keghairahan kepada pasukan negara orang.
Lihatlah jutawan Malaysia pun tak berminat hendak menyuntik dana dalam pasukan liga tempatan. Vincent Tan dan Tony Fernandez masing-masing menjadi pemilik kelab Cardiff City dan Queens Park Rangers di England.
Betulkah kelab dan pasukan negeri dalam Liga Super tak ada kelas? Hal ini tak boleh diterima sebab banyak pemain tempatan sekarang dibayar gaji lumayan. Bila dibayar mahal, tentu mutu permainannya hebat. Kalau hebat tentu banyak kelab luar mahu membeli mereka.
Namun hakikatnya bukan tak ada kelab luar negara menawarkan tempat bermain, tapi pemain kita tak mampu untuk bersaing dengan pemain luar. Cuba ingat berapa ramai yang sebelum pergi ke kelab luar negara cukup dibangga-banggakan tetapi berakhir dengan kekecewaan.
Belum setahun sudah tak tahan hidup di perantauan. Liga tempatan juga yang dikejar mereka. Gaji pun dah mahal tak payah susah-susahkan diri cari pengalaman luar. Bagi pemain tempatan, Liga Super kendalian FAM yang terhebat.
Cuba kita lihat bagaimana pemain dari benua Afrika baik Cameroon dan Ivory Coast berlumba-lumba mahu bermain dengan kelab Eropah. Akhirnya mereka juga dapat membantu mutu bola sepak negara masing-masing hingga layak ke Piala Dunia. Bagaimana dengan sikap pemain Malaysia?
Melihat kepada sikap dan tawaran gaji lumayan di negara ini hanya akan mengkhayalkan mereka dalam dunia glamor bola sepak. Mereka mementingkan diri dan kantung duit daripada pembentukan pasukan Harimau Malaya yang benar-benar digeruni. Tak salah kalau saya kata, nampak sangat pemain-pemain kita sendiri tak mahu bermain di Piala Dunia.
Jika beginilah sikap pemain, jangan kita haraplah Malaysia dapat layak ke Piala Dunia. AZMAN ANUAR Utusan/Rencana/20140713