kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Edaran akhbar bercetak turun, versi digital naik di AS

Penurunan edaran akhbar bercetak membimbangkan banyak syarikat akhbar di Amerika Syarikat (AS). Penurunan yang konsisten tentu sahaja bukan disebabkan oleh mutu isi kandungan tetapi faktor lain antaranya fenomena akhbar dalam bentuk digital. Peralihan kepada digital berlaku dengan pantas dan syarikat akhbar terpaksa memotong belanja penerbitan akhbar bercetak. Antaranya mengecilkan jumlah pulangan (return) akhbar yang tidak dapat dijual.



Setiap naskhah akhbar bercetak adalah wang. Banyak pulangan bermakna banyak wang yang dicurahkan ke longkang kerana susut nilainya begitu ketara. Mengecilkan jumlah pulangan dengan mengawal print order bukan sahaja langkah penjimatan malah di situlah keuntungan kepada syarikat. Syarikat yang membiarkan pulangan mencapai hingga 30 peratus misalnya adalah yang tidak cekap kerana berjuta-juta dolar mengalir ke longkang padahal itu boleh dialih menjadi keuntungan.

Syarikat media di AS sudah lama bergelut dalam isu penurunan edaran akhbar. Ini adalah fenomena global malah ada syarikat gergasi yang terpaksa gulung tikar kerana tidak bersedia dengan tuntutan versi digital yang menjadi satu budaya baharu dalam industri media di AS. Padahal versi digital dapat mengurangkan belanja dari segi cetak yang melibatkan kertas, dakwat dan tenaga kerja.

Kita boleh mengambil contoh akhbar The Washington Post yang ditubuhkan pada 1877, menjadi satu-satunya akhbar tertua yang masih diterbitkan dalam bentuk bercetak. Akhbar Amerika ini mengharungi perjalanan yang panjang, mengalami jatuh bangun dalam industri media tetapi terbukti mempunyai wibawa yang tinggi. Mencatatkan sejarah cemerlang apabila memenangi 47 Hadiah Pulitzer termasuk enam yang dimenangi tahun 2008. Selain itu akhbar ini turut memenangi 18 Nieman Fellowship.

Tetapi kecemerlangan masa lalu bukan lagi menjadi penentu masa depan dalam industri persuratkhabaran. Kemunculan era digital awal dekad 1990-an secara drastik telah mengubah model perniagaan dalam industri media. Akhbar yang masih mempertahankan nostalgia dalam bentuk bercetak telah ditinggalkan oleh pembaca, The Washington Post adalah salah satu daripadanya.

The Washington Post bagai bernafas dalam lumpur apabila mengalami kerugian selama tujuh tahun berturut-turut dan tahun ini sahaja sudah mencatat kerugian AS$40 juta. Akhbar yang dimiliki oleh keluarga Donald E. Graham realistik dengan fenomena global era digital tetapi tidak mampu mengalih haluan kerana mengalami kerugian yang teruk.

Pemilik Amazon.Com, Jeff Bezos bersetuju membeli The Washington Post dengan harga AS$250 juta. Usahawan yang digelar ultimate disper oleh majalah Fortune tahun lalu menceburi perniagaan secara maya sejak 1994 apabila menubuhkan Amazon.com yang memasarkan isi kandungan audio, visual dan buku secara dalam talian. Jeff Bezos menemui model baharu perniagaan apabila memanfaatkan kadar penembusan Internet yang semakin tinggi di seluruh dunia.

Digital

Ini bersandarkan kepada kejayaan Jeff Bezos mengubah budaya membeli daripada fizikal kepada digital menerusi Amazon.com.

Walaupun The Washington Post menjadi entiti yang berasingan daripada Amazon.com tetapi 40 juta pelanggan Amazon.com tentu dimanfaatkan untuk memasarkan The Washington Post. Dalam kalangan pengamal media, penjualan akhbar ini kepada pengasas penjualan secara digital memberikan satu dimensi baharu kepada industri.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Alliance for Audited Media (AAM) tahun lalu, semua akhbar utama di AS mencatatkan penurunan kecuali The Wall Street Journal dan New York Times. Bayangkan hanya dua akhbar, selebihnya tidak mampu mengekalkan kedudukan. The Wall Street Journal kekal sebagai akhbar paling laris di AS dengan edaran mencecah 2.4 juta naskhah sehari iaitu meningkat 12 peratus berbanding tahun lalu. Sementara New York Times pula mencatatkan edaran 1.9 juta naskhah sehari meningkat 18 peratus dan edisi mingguan meningkat 16 peratus menjadikan edaran 2.3 juta naskhah.

Statistik AAM menunjukkan beratus-ratus akhbar di AS tidak mampu mengekang penurunan edaran. Ini termasuklah The Washington Post, sebuah akhbar berpengaruh dan mempunyai sejarah yang panjang. Analisis AAM menunjukkan kadar langganan akhbar digital di AS adalah 19 peratus daripada jualan versi cetak, meningkat daripada 14.2 peratus pada awal tahun ini. Maknanya telah berlaku 'perpindahan' daripada cetak kepada digital secara konsisten. Faktor ini menyumbang kepada penurunan akhbar bercetak.

Akhbar The New York Times mengikut statistik terbaru AAM mencatatkan edaran versi bercetak sehingga Jun lalu sebanyak 731, 395 naskhah sehari berbanding 1.1 juta edisi digital iaitu 61 peratus daripada edaran akhbar ini. Sementara akhbar USA Today pada Oktober hingga Mac tahun ini mencatatkan edaran bercetak 1.8 juta naskhah dan edisi digital 1.4 juta langganan. Kesimpulannya kejatuhan jumlah edaran akhbar bercetak adalah suatu yang tidak mungkin dapat dihalang. Akhbar-akhbar sensasi di AS juga kehilangan pembeli tegarya, apa lagi akhbar yang isi kandungan yang lebih serius.

Kalau kita berpegang kepada statistik AAM tentang The New York Times dan USA Today yang terbaru, sudah terbukti akhbar digital akan menjadi arus utama dalam industri media di peringkat global. Tidak memberi tumpuan kepada akhbar digital tentunya satu langkah yang tidak tepat dalam berhadapan dengan penurunan akhbar bercetak.   Ku Seman Ku Hussain Utusan/Rencana/20140713

Tags: akhbar, media
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments