kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kenapa tak memberontak?

Sebelum saya menceritakan kisah Cultural Revolution (Revolusi Kebudayaan) yang dimulakan Mao Tse-tung mulai penghujung tahun 1965, anda mungkin bertanya: Melihat kepada kesengsaraan yang ditimpakan ke atas rakyat China, kenapa mereka tidak bangkit memberontak terhadap pemerintahan Mao dan Parti Komunis China (PKC)? Jawapan bagi soalan ini banyak dikisahkan di dalam Bab 13 buku Yang Jisheng yang judulnya telah saya catatkan dalam coretan-coretan yang lalu. Saya bercadang untuk mengulasnya di dalam coretan ini.

Menurut Jisheng, sebaik-baik saja parti komunis memerintah China, kerajaan telah mengeluarkan arahan - kemudiannya dijadikan undang-undang - iaitu untuk mengharamkan semua kegiatan counterrevolutionary (tentangan terhadap revolusi komunis). Ini segera disusuli dengan tangkapan sejumlah 2.62 juta orang di mana sebanyak 712,000 orang dikenakan hukuman mati dan seramai 1.29 juta orang dihukum penjara manakala selebihnya dibebaskan setelah menjalani pemulihan. Beberapa dekri kerajaan kemudiannya telah dikeluarkan sehingga pertengahan tahun 1950-an untuk tujuan sama. Setiap kali dekri baharu dikeluarkan, ia disusuli dengan tindakan-tindakan terhadap mereka yang dianggap counterrevolutionaries.

Menurut Jisheng, kempen-kempen counterrevolutionaries yang tidak berkesudahan dalam tahun 1950-an itu melumpuhkan sepenuhnya tentangan terhadap pemerintahan komunis. Tiada siapa pun berani tampil mengetuai bantahan terhadap dasar Mao. Kata Jisheng, contohnya di provinsi Jilin, bahagian timur laut China, pihak berkuasa melaporkan : "The enormous achievements of the struggle to suppress counterrevolutionaries in recent year (1950’s), coupled with the work by political organs at all levels under the leadership of the party committees have dealt a succession of blows to the enemy (counterrevolutionaries)…..(halaman 476)."

Apabila dasar Great Leap Forward dimulakan, jabatan atau agensi kerajaan melancarkan pula pelan Great Leap masing-masing. Pelan mereka membabitkan nama orang-orang yang dianggap memusuhi dasar kerajaan. Mereka bakal ditentang dengan "utmost severity." Setiap lapisan jabatan kerajaan menetapkan juga kuota-kuota tangkapan dan bilangan tangkapan semakin bertambah "…as they (quotas) passed down each rung of government…" Sebagai contoh, di provinsi Anhui, di sebelah barat Shanghai, sebanyak 8,000 tangkapan dibuat pada 1954. Namun, apabila kerajaan pusat (Beijing) menetapkan kuota 45,000 tangkapan bagi Anhui untuk tahun 1958, wilayah itu menghasilkan 101,000 tangkapan untuk tahun tersebut. Sepanjang 1958 hingga 1960, provinsi ini membuat 173,000 tangkapan dan sepertiga daripada jumlah individu yang ditahan itu mati dalam tahanan.

Dikongkong

Sebaik-baik sahaja berkuasa, parti komunis telah mewujudkan sistem kawalan masyarakat yang sangat ketat (ironclad system of social control). Ini termasuk pendaftaran keluarga yang diwajibkan, catuan makanan dan kawalan pergerakan penduduk (controls on population movement). Kuasa politik dan ekonomi dikongkong sepenuhnya oleh parti (semasa Great Leap dilancarkan, PKC mempunyai lima belas juta ahli di seluruh China). Di bawah peraturan disiplin parti, setiap ahli dimestikan tunduk kepada kehendak parti dan memacu pelaksanaan dasar parti ke atas rakyat. Pengaruh dan kuasa parti menyusup masuk ke setiap kampung, kilang, sekolah dan kedai malah ke setiap unit tentera. Parti komunis juga memimpin organisasi-organisasi massa seperti Young Pioneers, Communist Youth League, Kesatuan Pekerja dan pertubuhan-pertubuhan wanita.

Menurut Jisheng: "In China, virtually every individual worked, studied and learned within an organization controlled by CCP (Chinese Communist Party). Each relied on the party for all means of livelihood and information. Every individual’s behavior and thinking was under organizational control. Only a tiny minority ever expressed views at variance with those of the Government, and opposition was considered exceptional and extreme behavior (halaman 479)."

Menurut Jisheng lagi, di China, "Loss of control over a floating population easily led to social turmoil." Oleh sebab itu, sebaik saja kerajaan komunis China ditubuhkan, langkah ketat telah diambil untuk mengawal pembelian dan pemasaran barang-barang asas keperluan rakyat seperti gandum, jagung dan minyak sejak tahun 1953. Serentak dengan itu, kerajaan memperkenalkan sistem kupon. Rakyat boleh menukar kupon untuk mendapatkan barang keperluan di tempat yang dikhususkan di kawasan masing-masing sahaja. Penduduk kampung ‘terikat’ kepada tanah. Mereka tidak dibenarkan untuk meninggalkan kampung mereka bagi mencari pekerjaan lain (yang bukan pertanian) kecuali setelah mendapat kebenaran Work Team (Pasukan Kerja) mereka. Kesannya, negara China tidak lagi menghadapi gejala floating populations seperti yang disasarkan oleh parti.

Untuk menimbulkan kesan mencegah, kata Jisheng, Kementerian Keselamatan Awam China, telah mengarahkan tiap-tiap bandar besar di China memilih kes-kes berprofil ‘tinggi’ untuk melaksanakan hukuman mati di khalayak ramai. Rapat umum secara besar-besaran diadakan di mana seorang pembesar kerajaan akan membuat ucapan untuk mencela pesalah kemudian diumumkan hukuman mati terhadapnya. Hukuman mati dilaksanakan di situ juga. Sebelum itu, rapat umum itu dihebahkan menerusi penampalan notis-notis di seluruh bandar agar "…the death of one would serve to warn the multitudes." Arahan sama juga diberi kepada bandar-bandar kecil dan kampung bagi kes-kes setempat.

Menurut Jisheng lagi, semasa penubuhan negara komunis itu, sebahagian besar rakyat China menaruh kepercayaan kepada parti komunis untuk masa depan yang gemilang. Mereka rela berkorban nyawa untuk mencapai cita-cita itu. Akhbar-akhbar, persidangan-persidangan, bilik-bilik darjah dan forum-forum awam semuanya bersatu menyebarkan dasar-dasar kerajaan di bawah telunjuk parti. Jentera propaganda parti membentuk pemikiran dan tindakan rakyat ke arah satu tujuan yang sama. Dalam keadaan beginilah maka Jisheng telah merumuskan: "This massive ideological effort made people docile, and the closing off of information sources kept them in ignorance. The Xinyang incident in which more than a million people starved to death, and the Tougwei Incident, in which a third of the population died, were unknown (even) to neighbouring regions at that time, and remained closely guarded secrets for decades…..(halaman 481)."

Melenyapkan

Dalam sejarah China, memang wujud keadaan di mana rakyat yang tertindas bangkit memberontak menentang pihak yang berkuasa. Mao Tse-tung pun semasa mudanya pernah menubuhkan apa yang dinamakannya ‘pangkalan revolusi’ untuk menentang pihak berkuasa. Tetapi keadaan itu tidak wujud lagi setelah parti komunis memerintah China. Pertamanya, kebangkitan petani masa silam adalah dengan sokongan pihak-pihak tempatan yang kuat dan berpengaruh seperti landlords. Ini tidak wujud lagi kerana tindakan komunis terhadap mereka sejak 1949 telah melenyapkan golongan ini dalam kalangan masyarakat Cina.

Rakyat yang tertindas juga tidak berupaya bangkit menentang kerajaan kerana ketiadaan sumber kewangan. Sebelum parti komunis memerintah China, pemberontakan di sekitar negara itu sering mendapat bantuan kewangan daripada orang-orang berada dan berpengaruh. Setelah pemerintahan komunis ditubuhkan, boleh dikatakan keseluruhan sumber kewangan dikawal oleh negara.

Kesulitan juga timbul kerana di bawah sistem komunis, rakyat tiada kebebasan untuk menubuhkan kumpulan atau persatuan bercorak politik - selain daripada parti komunis - dan sesiapa jua yang menubuhkannya akan mudah dikesan dan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa. Setakat tahun 1962, China memiliki sejumlah empat juta bala tentera yang diberi nama People’s Liberation Army (Tentera Pembebasan Rakyat). Tugasnya bukan sahaja dari segi pertahanan negara iaitu melindungi China daripada serangan luar tetapi juga menangani masalah-masalah keselamatan dalam negeri seperti rusuhan dan pemberontakan di mana-mana juga di negara berkenaan. Adalah mustahil bagi mereka yang berasa ditindas oleh Mao untuk bangkit menentang pihak yang berkuasa.

Jadi, saya menyimpulkan, rakyat China hanya boleh mengharapkan adanya perubahan dalaman pucuk kepimpinan PKC untuk memperbaiki keadaan nasib mereka. Kehidupan mereka yang melarat dan menderita di bawah pemerintahan komunis yang bertunjangkan kepada pemikiran Mao Tse-tung yang kolot dan songsang itu hanya boleh dipulihkan menerusi sumber dalaman parti komunis sendiri.   Utusan/Rencana/20140713

Tags: komunis, mao, pkm
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Benci dan kebencian!

    Artikel Steven tegur Pas isu Timah: ‘Anda tanam kebencian, dapatlah kebencian’ Oktober 19, 2021 menarik perhatian pembaca mungkin.…

  • Berjalan kaki tingkatkan mood

    Kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada Keluarga Malaysia yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri…

  • Bersikap Berani Menjadikan Hidup Kita Bernilai?

    Kegelisahan dan kesukaran adalah sebahagian daripada kehidupan. Cara anda mengatasi dua perkara ini dan menjalani kehidupan yang ceria adalah…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments