kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

LHDN benteng negara

KHAMIS lalu di Ibu Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Cyberjaya, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar, 59, berkongsi pengalaman serta misi LHDN yang sasaran kutipan cukai untuk tahun ini mencecah RM140 bilion berbanding RM109.6 bilion dua tahun lalu.

Beliau berbicara secara santai dalam merungkai data percukaian negara. Sesekali diselangi analogi, falsafah serta elemen berpaksikan kenegaraan daripadanya.

Mohd Shukor memberitahu:

"Saya praktiskan Strategi Perang Sun Tzu. Kalau mahu menang perang, menangi dulu hati askar anda. Kalau staf anda gembira, mereka akan lebih produktif.

"Seperti Internet, tidak salah digunakan kerana ia teknologi, tetapi apabila orang salah gunanya untuk tujuan lain telah menyebabkan teknologi itu salah," katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan SOFIAN BAHAROM penuh makna.

Dan tidak hairanlah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini angkat topi kepada LHDN dengan memperakui peningkatan kutipan cukai luar biasa oleh LHDN telah menjadi piawaian dan bukti jelas Malaysia bebas daripada isu integriti dan rasuah.

Mingguan: Imej LHDN kebelakangan ini tampak positif di sebalik pihak yang memperkatakan perkara negatif berkenaan cukai?

MOHD. SHUKOR: Percukaian adalah satu fungsi yang wujud sejak sekian lama. Tetapi kebelakangan ini, orang nampak cukai ini membebankan dan sebaliknya. Di sini saya berpendapat, kita perlu membuat satu anjakan paradigma berhubung persepsi masyarakat terhadap kita.

Kalau zaman dahulu, yang kenakan cukai adalah orang luar terutama golongan pedagang. Kalau kita baca sejarah-sejarah percukaian di Malaysia bermula daripada pedagang dan selepas itu sehingga kini, ia berubah kepada peniaga tempatan. Itu evolusinya.

Jadi apabila kita hendak mengubah perspektif daripada sebuah agensi penguatkuasaan semata-mata, tidak semua boleh memahaminya. Perkara ini menunjukkan segelintir daripada kita menganggap percukaian sebagai beban kerana mereka bertanya: "Kenapa kita perlu bayar?"

Kalau dilihat tiada satu negara pun yang tidak mengenakan cukai, hatta Brunei sekalipun mengenakan 30 peratus cukai import. Apa sebabnya rakyat perlu bayar cukai?

MOHD. SHUKOR: Negara ini sama seperti kita, individu.Jika kita fahami, individu memerlukan pendapatan untuk memulakan kehidupan. Jadi, negara perlukan pendapatan atau hasil masyhul. Kalau contohnya hasil bagi negara kita kata pertanian, tetapi jika sektor itu tidak diusahakan, tiadalah hasil itu datang.

Hasil itu bukan dalam bentuk pertanian sahaja tetapi bentuk kewangan yang lebih menjurus kepada pendapatan sesebuah negara kerana untuk negara ini menjalankan pembangunan, ia memerlukan kos. Jadi kos itu akan ditanggung oleh pendapatan yang didapati oleh negara tersebut.

Sebab itulah kita lihat bahawa pendapatan negara mesti selaras dengan pembangunan yang akan dijalankan. Kalau tidak selaras, ia akan menyebabkan pendapatan berkurangan berbanding dengan kos pembangunan. Ini menjadikan negara itu terpaksa meminjam.

Apabila negara itu meminjam, ia akan memberi kesan berantai kepada generasi akan datang pula kerana kos pinjaman tersebut. Seperti baru-baru ini, kita dengar bagaimana negara menempuh krisis tahun 1997 sebelum ini yang menyebabkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) datang membawa penyelesaiannya.

Kita tolak pada masa tersebut sebab kita ada kaedah kita sendiri. Sehingga sekarang, kita berjaya. Tetapi kepada negara yang menggunakan pinjaman kos yang tinggi tersebut, apa jadi pada mereka? Dan dalam tiga, empat tahun sebelum ini kita lihat di Greece dan Sepanyol iaitu satu negara yang hebat sebelum ini tetapi kerana pendapatannya kurang, menjadikan mereka terpaksa meminjam.

Akhirnya, institusi negara itu didapati runtuh. Saya rasa juga Arab Spring itu adalah salah satu faktor kerana pengagihan pendapatan itu tidak begitu baik. Percukaian ini juga dilihat sebagai pengagihan kekayaan.

Pada yang berumur, mereka ada skim pencen manakala yang miskin ada setem makanan. Semua itu dilakukan kerana mahu ekonomi bergerak. Negara akan ada pendapatan.

Dalam bahasa mudah, kalau saya ke hospital kerajaan, dikenakan caj RM3. Caj murah ini hasil dari kutipan cukai termasuklah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Baucar Buku 1Malaysia. Benarkah begitu?

MOHD. SHUKOR: Ya. Dalam konteks Malaysia, kita ambil skop infrastruktur. Kalau misalnya kerajaan tidak mempunyai hasil untuk membangunkan jalan raya, saya rasa jalan raya tidak seperti begini. Salah satu cara untuk memperbaikinya adalah dengan jalan bertol. Kita sanggup menyediakan pendapatan negara dan pada masa sama kita dapat menikmati jalan yang singkat dan baik.

Begitu juga dengan hospital tadi. Kenapa kerajaan boleh mewujudkan hospital secara percuma kepada rakyat kita? Kerana kalau tidak, tahap kesihatan akan terganggu, berapa ramai orang mampu ke hospital swasta?

Sama seperti sekolah-sekolah dan sebagainya. Sebab itu ada negara sebagai contoh di Mongolia, mereka menggunakan sistem cukai seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terhadap institusi swasta dengan harga yang sangat tinggi. Ini kerana pada mereka, yang menggunakan institusi tersebut terdiri daripada mereka yang kaya.

Jadi, mereka gunakan GST untuk menampung pendidikan masyarakat. Ini kerana duit yang datang bukan dari langit ataupun harta karun tetapi kita kena mengusahakannya. Dalam konteks kita, sumber pendapatan selalunya perniagaan yang akan menjana ekonomi.

Dengan tiga tahun LHDN mengutip cukai melangkaui jangkaan, maka kerajaan dengan ini boleh melaksanakan rasionalisasi subsidi dengan menarik subsidi dari 10 sen atau 20 sen subsidi minyak. Langkah itu membolehkan pemberian BR1M. BR1M ini sekarang sudah 7.2 juta rakyat Malaysia terlibat berbanding tahun pertama, hanya 4 juta.

LHDN pada 2011 mencapai kutipan RM109.6 bilion, yang tertinggi dalam sejarah percukaian negara. Apa rahsia kejayaan ini?

MOHD. SHUKOR: Kebetulan itu merupakan tahun pertama saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif meskipun telah bersama lembaga dan jabatan ini sejak 1979, jadi. saya memahami budaya kerja kita.

Saya berpendapat pada ketika itu, kerana kita selesa sekitar zon dua digit bilion, saya kata kita tidak bolehlah selepas 15 tahun dilembagakan, pada takuk lama sahaja. Langkah ke hadapan itu kita kena pastikan kutipan mapan.

Saya buat satu strategi dalaman. Kita perlu melonjakkan diri kepada satu kelas lebih tinggi. Saya lihat pengalaman kita pada 2008, kutipan tertinggilah ketika itu, dengan RM90 bilion. Tetapi pada 2009, dapat RM88 bilion, 2010 RM86 bilion. Jadi kita petakan trendnya, ia menurun.

Ini juga mungkin ada persamaan dengan sejarah Jepun yang dilanda bom atom. Andaian saya begitu. Dua tempoh yang menurun itu saya anggap seperti Hiroshima dan Nagasaki. Kemudian Jepun bangkit semula dengan cara pengurusan kualiti keseluruhan.

Dua pakar dari Amerika Syarikat (AS) datang ke Jepun dan menukarkan cara bekerja orang Jepun iaitu Joseph M. Juran dan W. Edwards Deming. Jadi saya menganggap saya mempelajari sesuatu. Kalau Jepun boleh naik dalam masa singkat, kenapa tidak LHDN?

Saya percaya mungkin dua tahun sebelum ini cara bekerja tidak menepati suasana. Suasana berubah tetapi cara bekerja tetap sama. Jadi, saya tukar cara bekerja, imej berbeza, kita perlu dilihat mesra. Dalaman kita tukar strategi.

Alhamdulillah, ia berkesan. Tiba-tiba pada 2011, daripada terus mendapat RM109.6 bilion, meningkat RM23 bilion. Tidak pernah berlaku dalam sejarah. Sedangkan pada masa tersebut, ekonomi tidak berapa baik. Saya rasakan bahawa mungkin dua tahun sebelum itu, kita tidak sampai tahap optimum.

Apabila strategi diperbetulkan, kita dapat. Pada masa sama, saya memperkenalkan roadmap. Tahun pertama kita melangkah transformasi. Saya menitikberatkan transformasi iaitu minda termasuk cara kita berfikir, cara kita bekerja dan kita beritahu bahawa cukai adalah aset kepada masyarakat.

Bermaksud, daripada masyarakat, kita mengutip cukai mewakili semua rakyat serta serahkan kepada kerajaan dan kerajaan pula memberikan semula kepada masyarakat dalam bentuk pembangunan. Jadi, kita kata ini satu kitaran aset masyarakat.

Sebab itu dalam peperangan bukan bergantung kepada senjata apa yang kita gunakan, tetapi strategi.

Walaupun rakyat perlu membayar cukai, LHDN sendiri ada menyediakan pelepasan kepada golongan tertentu. Apa antara pelepasan itu?

MOHD. SHUKOR: LHDN bertindak sebagai ejen. Pelepasan cukai yang diberi memang banyak. Dalam negara kita, kalau individu, maksimum pelepasan ada 17 termasuk pelepasan diri, pelepasan belian buku dan sebagainya. Kenapa? Sebab kerajaan melihat negara kita tadi adalah negara penyayang.

Ketika kerajaan ingin mewujudkan masyarakat berilmu, kerajaan membenarkan tolakan sebanyak RM1,000 kepada pembelian buku. Percukaian itu digunakan kerajaan untuk menunjukkan projek-projek pembangunan itu dikembalikan kepada rakyat serta sokongan kepada dasar kerajaan lain. Macam pernah 20 tahun lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad ingin mencapai populasi 70 juta rakyat, selepas itu kerajaan memberi pelepasan kepada sehingga lima orang anak.

Jadi, pelepasan diperkenalkan kerajaan bergantung kepada suasana polisi yang diperkenalkan ketika itu. Kita sebagai pentadbir akta cukai berkenaan akan memastikan perkara tadi berjalan dengan baik.

Bagaimana lonjakan RM23 bilion itu dicapai pada 2011? Adakah daripada syarikat yang liat membayar?

MOHD SHUKOR: Kita dapati kutipan pada setiap tahun memang ada segmentasi pembayar cukai. Segmen mana yang memberi pendapatan paling banyak kepada kita? Itu kena beri perhatian. Maka kita dapati sektor peniagaan termasuk individu dan syarikat.

Apabila kita katakan sektor perniagaan memberi sumbangan terbesar, kerana sektor itu pendapatan mereka lebih mencerminkan ekonomi. Pada 2011 ekonomi tidak negatif, Keluaran Negara Kasar (GDP) kita positif.

Yang kedua, bagi peniaga tadi, mereka melaporkan perniagaan mereka berdasarkan pengiraan mereka sendiri. Sebab itu akaun untung dan rugi mereka disediakan mereka sendiri. Kalau kita yang makan gaji, majikan yang sediakan.

Jadi, berapa kita dapat, kita cuma tengok. Tetapi seperti peniaga, apa yang mereka dapat mencerminkan akaun mereka. Kita dapati terdapat trend bahawa peniaga-peniaga ini mempunyai kecenderungan untuk memanipulasi akaun atau perakaunan kreatif.

Jadi, kita di situ memberi tumpuan kepada perakaunan kreatif itu dan bagaimana perkara tadi tidak boleh berterusan. Oleh itu kita lihat, susun strategi dan mewujudkan kepakaran dalaman di mana kita perkukuhkan kemahiran kita.

Daripada itulah, kita dapati bahawa ia berkesan. Di situ kita akan membina fakta dan kita dapati, benar, terdapat ruang-ruang yang sebelum ini tidak digunakan tetapi sekarang orang sudah pandai gunakan. Kita tutuplah, mengecilkan jalan-jalan tikus ini.   Utusan/Rencana/20140713

Tags: lhdn
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments