kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

LHDN tegas bukan kejam

UTUSAN: Jadi inilah resipi kejayaan LHDN selama ini?

MOHD. SHUKOR: Ya. Daripada pengalaman kita, dalam sistem taksir sendiri yang diperkenalkan pada 2001 kepada syarikat korporat dan 2004 kepada syarikat individu, kalau tengok kepada sistem sudah hampir 13 tahun. Sepatutnya semua sudah faham tetapi kita tidak boleh berkata begitu kerana pemahaman dalam cukai pendapatan adalah berbeza-beza.

Perkara ini kerana pindaan akta cukai dilakukan setiap tahun. Kedua, sebagai peniaga, mereka tidak mahir dari segi perundangan. Jadi menyebabkan peniaga tadi berbelanja dahulu. Apabila akaun sudah disiapkan, baru mereka cakap baru tahu ia tidak dibenarkan untuk sebab-sebab percukaian.



MOHD. Shukor Mahfar (dua dari kiri) menandatangani plak khas sebagai tanda merasmikan Pejabat Pengarah Negeri Kedah/Perlis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Menara Bina Darul Aman (BDB) di Alor Setar, Mac lalu. - Utusan/Ismail Kamadin


Inilah masalahnya. Kita dapati bahawa ini cara orang buat perakaunan kreatif. Kita jalankan kerjasama kita dengan pihak antarabangsa dan pentadbir cukai antarabangsa melalui pertukaran maklumat. Jadi, sebagai contoh, saya nak beritahu tentang Amerika Syarikat (AS). Negara itu telah mengeluarkan arahan kepada seluruh dunia yang dipanggil Foreign Account Tax Compliance Act (FATCA). Yang mana AS menganggap rakyatnya walau berada di luar negara, mereka mengarahkan kepada seluruh dunia kalau ada maklumat terhadap rakyatnya yang menyimpan duit dekat kita, kena laporkan kepada Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) AS.

Kegagalan melaporkan akan menyebabkan negara kita terpaksa membayar cukai itu kepada mereka. Ini menunjukkan perkara ini serius dan AS adalah sebuah negara maju.

Di United Kingdom (UK) diperkenalkan satu undang-undang yang mana pemungut cukai berkuasa memegang terus akaun anda. Ini menunjukkan pentadbir cukai antarabangsa telah menyedari bahawa pengelakan cukai adalah perkara serius. Sebab itu mereka memanggil jenayah percukaian. Kalau terlibat, anda akan dilayan seperti penjenayah. Sehingga sebegitu serius.

Pada saya di Malaysia ini, kita lakukan supaya orang kita tidak terperanjat apabila kita kuatkuasakan undang-undang.

Sedihnya, LHDN dikatakan kejam. Di Twitter, ada minta kami berhenti kerja kerana katanya haram, masuk neraka. Pada saya, kenapa begitu dangkal sedangkan Islam tidak melarang dari segi konsep cukai. Cuma konsep dalam Islam itu dipanggil zakat.

Maknanya di sebalik sikap agresif LHDN, pada masa sama tidaklah 'kejam'?

Saya tidak mahu menggunakan terma agresif. Tetapi macam ini, penguatkuasaan perlu dilihat efisien. Kalau agensi penguatkuasaan dilihat lembik, orang tidak akan hormat.

Anda naik kapal terbang, anda lihat bagaimana kru kabin mereka berpakaian? Kerana mereka akan membawa anda terbang ke udara. Di sini, agensi penguatkuasaan perlu dilihat efisien. Jadi, dalam hal ini, kita buat kerja kita perlu dilihat tidak takut. Jadi tidak timbul masalah pilih bulu.

Kemudian, semasa kita menguatkuasakan undang-undang, kita mesti waras dan rasional. Kita tidak gunakan cara zaman dahulu yang mana kita gunakan pedang. Cara kita kena tunjukkan kita tegas dan mesra. Kita ambil tindakan tanpa takut.

Boleh Tan Sri ulas tentang dakwaan bahawa LHDN memberi layanan istimewa kepada syarikat korporat besar?

Begini, apabila berlaku kes audit, kes siasatan dan kes pentaksiran cukai, pembayar cukai ada hak merayu.

Dalam hak merayu itu, kita akan tengok, angka ini tuan kena bayar banyak ini berdasarkan pengiraan kita. Kalau didapati maklumat itu boleh dipertikaikan, contohnya seperti orang berniaga, boleh tuntut pelbagai perkara tetapi sama ada kita benarkan atau tidak itu adalah berdasarkan peraturan.

Dalam hal seperti ini, contohnya audit, anda sudah isytiharkan begitu tetapi kita datang, minta audit dan dapati bahawa sebahagian tuntutan itu tidak dibenarkan, kita akan campur serta tarik semula menyebabkan cukai kita bertambah.

Apabila cukai bertambah, kita kata mengikut undang-undang kita kena bayar dalam masa 30 hari contohnya, tentu ada sebahagian kita mungkin tidak mampu membayar secara keseluruhannya. Maka anda akan minta dalam bentuk bayaran ansuran. Apabila ansuran, kita juga tidak sewenang-wenangnya beri kebenaran.

Kita akan tengok berapa lama bayaran dijanjikan dan apakah bukti yang menyebabkan anda tidak membayar secara keseluruhan. Itu kita perlukan bukti seperti penyata bank dan sebagainya.

Jadi di sini, mungkin syarikat A kita benarkan atas alasan tertentu tadi katakan bayaran ansuran selama enam bulan, mungkin syarikat B, atas alasan tertentu kita tengok alasan tadi maka perlu dipanjangkan kepada 24 bulan.

Adakah kita pilih bulu? Kita bukan pilih bulu tetapi atas dasar merit sesuatu kes. Kita juga tidak membandingkan A dan B. A adalah atas asas A, B atas asas B. Berbeza latar belakang syarikat, masalah yang dihadapi dan jumlah cukai terlibat.

Ini bererti, layanan berbeza adalah benar tetapi bukan layanan istimewa. Kita terpaksa membezakan. Kita tidak boleh gunakan satu alatan untuk kesemua orang. Kalau saya guna begitu, anda pasti kata zalim.

Kita tidak hendak percukaian menyebabkan peniaga gulung tikar walaupun kita ada kuasa dalam akta.

Bagaimana seorang ahli sukan yang kaya-raya dapat dikesan lari daripada cukai?

Kalau bola sepak, mereka mendapat kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jadi maklumat itu kita dapat berhubung kontrak dan sebagainya. Kena isytiharkan.

Seperti pemain badminton, Datuk Lee Chong Wei, beliau dapat hadiah. Bagi orang biasa, mendapat hadiah itu bukan pendapatan kerana tiba-tiba dia menang seperti cabutan bertuah. Tetapi apabila dia menang secara konsisten, ia sudah menjadi sebahagian daripada pendapatannya. Ini tertakluk kepada cukai.

Kita ada sumber-sumber yang kita kumpulkan melalui berita, akhbar dan pemberi maklumat. Sebenarnya, persekitaran kita akan memberitahu untuk menyiasat. Lagi satu cara, apabila ada duit, akan beli rumah, perjanjian jual dan beli serta duti setem. Kita akan tahu.

Dengan suasana global dan kepesatan teknologi yang begitu sofistikated masa kini, apa cabaran dan kekangan yang perlu didepani LHDN dalam memastikan kelancaran kutipan cukai langsung ini?

Cabaran itu pastinya daripada kelibat perakaunan kreatif. Perkara ini boleh diketahui cepat, ubah akaunnya. Sebab itu di LHDN kita ada makmal forensik. Apabila kita rasakan bahawa ada manipulasi dalam akaun, kita akan gunakan alatan forensik untuk menyiasat.

Kedua, dalam era IT, perniagaan dalam internet, kalau kita tidak cepat jejak orang, dia akan terlepas. Sebab itu kita kena pantas dan selangkah ke hadapan daripada pembayar cukai. Sebab itu orang cakap kita cepat. Benar kita pantas. Lebih lama kita tunggu, lebih habis duit anda.

Kita hendak cukai itu ketika anda masih ada duit. Sebab itu kita beritahu tentang gaya hidup anda. Maklumat kita tengok dalam borang bertulis contohnya gaji anda RM5,000 sebulan tetapi maklumat yang kita peroleh mengatakan anda membeli Porsche. Kita tertarik dengan sumber pendapatan.

Anda isytihar RM60,000 sahaja pendapatan setahun, mana ada ruang beli kereta itu. Contohnya kata anda beli Porsche itu semua pinjaman bank, bayar setiap bulan RM5,000. Jadi, anda makan pasir sahajakah? Ada yang tersembunyi di sana sini. Itulah cabarannya. Utusan/Rencana/20140714

Tags: lhdn
Subscribe

  • Pertahankan kedudukan Melayu di KL

    LANGIT bandar raya Kuala Lumpur (KL) pada malam kelmarin bergemerlapan dengan percikan bunga api yang besar dan kecil. Berdentum-dentam bunyi…

  • Green in the city

    KUALA Lumpur may be better known for its tall buildings and traffic jams, but nestled in this bustling city are swathes of green that break the…

  • A kaleidoscope of culture

    AS you walk down some streets in Kuala Lumpur, it almost seems as if you have been transported to another country. The sights, sounds, and smells…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments