Tindakan Israel ini sebenarnya bertujuan untuk memecah-belahkan penduduk dan kepemimpinan Palestin. Kini terdapat penyatuan yang telah bermula di antara kumpulan Hamas dan Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abas untuk mewujudkan kerajaan gabungan. Penyatuan ini dilihat sebagai ancaman kepada Israel kerana ia melabel Hamas sebagai organisasi pengganas. Matlamat penubuhan negara Palestin dan hak untuk pulang penduduk Palestin ke tanah air mereka terus menjadi duri dalam daging Israel yang meneruskan agenda perluasan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin.
Konflik Israel-Palestin ini menyaksikan paling banyak pencabulan hak asasi manusia dan menjadi punca kepada konflik dunia yang berlaku, terutama di Asia Barat. Pada tahun 2000, pejuang Palestin melancarkan gerakan Intifada kedua sebagai tindak balas kepada keganasan berterusan tentera Israel terhadap penduduk Arab-Palestin terutama di wilayah Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.
Konvensyen Geneva
Kerajaan Israel dan media Amerika sering menganggap gerakan Intifada kedua sebagai mengancam kepada proses keamanan. Namun sebenarnya penentangan Palestin daripada pencerobohan adalah satu hak yang dilindungi oleh undang-undang antarabangsa. Selama Israel menjalankan pentadbiran tentera di Tebing Barat, Semenanjung Gaza, dan Baitulmaqdis Timur, kejadian keganasan dan pembunuhan penduduk Palestin adalah berleluasa yang telah membawa kepada kemarahan majoriti masyarakat antarabangsa. Kemarahan masyarakat antarabangsa disuarakan melalui Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Sebenarnya PBB sudah mengeluarkan Resolusi 242 dan 338 serta mengesahkan tanggungjawab Israel untuk keluar daripada wilayah Palestin yang dikuasai sejak Perang 6 Hari pada tahun 1967. Di samping itu, Israel juga harus mematuhi Konvensyen Geneva Keempat bagi Perlindungan Penduduk Awam Ketika Perang (12 Ogos 1949). Sebagai negara penakluk dan harus melindungi status quo, hak asasi manusia dan prospek penentuan diri sendiri rakyat negara yang ditakluk dan mematuhi semua perkara yang ditandatangani mengenai konvensyen tadi untuk mengelakkan berlaku pencabulan kemanusiaan dan jenayah pembunuhan. Yang pasti Israel tidak mematuhi undang-undang antarabangsa, malah menempatkan kedudukan ketenteraan, mengenakan perintah berkabung, menyekat jalan, dan membentuk zon keselamatan di wilayah Palestin yang sekali gus membataskan hak dan kebebasan rakyat Palestin.
Banyak undang-undang antarabangsa yang dicabuli Israel. Pertama Resolusi 181 (II) Perhimpunan Agung PBB mengenai Masa Hadapan Kerajaan Palestin (29 November 1947) yang membentuk persamaan antara dua masyarakat yang menghormati hak membentuk negara di atas mandat kawasan Palestin, dan kewajipan kedua-dua negara menghormati pihak minoriti dan status istimewa Jerusalem (Baitulmaqdis).
Kedua, Resolusi 194 (III) Perhimpunan Agung PBB (11 Disember 1948) yang memberikan hak kepada penduduk Palestin untuk pulang ke rumah dan tanah mereka, serta menerima ganti rugi bagi sebarang kehilangan yang wujud, termasuklah hak penempatan baharu kepada pelarian warga Palestin yang tidak mahu pulang, dan ganti rugi pada kehilangan harta benda.
Israel tentang konvensyen
Ketiga, Resolusi 242 dan 338 Majlis Keselamatan PBB (22 November 1967 dan 22 Oktober 1973) mengehendaki Israel keluar daripada wilayah yang didudukinya ketika perang tahun 1967 dan 1973, dan meminta ‘penyelesaian secara adil bagi masalah pelarian’. Keempat, Resolusi 34/70 Perhimpunan Agung PBB (6 Disember 1979) bertegas mengenai keperluan bagi sebarang penyelesaian konflik haruslah berasaskan hak penentuan diri sendiri, mengenepikan apa yang mungkin dirundingi oleh pihak bertelagah.
Kelima, Resolusi 43/177 Perhimpunan Agung PBB (15 Disember 1988) mengenal pasti tuntutan pihak Palestin (1988) untuk mewujudkan negara Palestin seperti yang termaktub pada Resolusi 181. Keenam, Resolusi 476, 480 dan 1322 Majlis Keselamatan (30 Jun 1980, 12 November 1980, dan 7 Oktober 2000) mengesahkan semula prinsip asas undang-undang antarabangsa dan PBB bahawa tidak boleh diterima perolehan wilayah secara kekerasan atau penaklukan, termasuklah pelanggaran ke atas Konvensyen Geneva Keempat terhadap populasi awam di dalam wilayah yang diduduki.
Sepanjang pendudukan Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, pihak Israel harus mematuhi Perkara 47-78 Konvensyen Geneva Keempat yakni melindungi penduduk awam Palestin daripada sebarang tindakan kekerasan dan kekejaman.
Walau bagaimanapun, pihak Israel menentang Konvensyen Geneva itu kerana status wilayah penduduk Palestin belum lagi jelas, maka pihak Israel tidak boleh dianggap sebagai penakluk atau penjajah dan mereka tidak harus menuruti undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Ini jelas dengan serangan terhadap penduduk awam Palestin menjadikan Israel sebagai negara pengganas sebenar yang menjalankan dasar aparteid terhadap penduduk Palestin.
Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Berita Harian Rencana 2014/07/14 - 17:34:47 PM