kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Puaka atau poltergeist?

PERNAHKAH berlaku barang-barang di pejabat anda bergerak secara tiba-tiba? Misalnya, kertas melayang, laci dibuka dan ditutup atau meja diketuk. Atau lampu dinyala dan dipadam manakala komputer terbuka serta tertutup berulang kali. Jika pernah, siapa yang melakukannya?

Seperti yang pernah saya tulis dahulu, kejadian ini juga berlaku di pejabat Utusan Karya Sdn. Bhd. di Bangi, Selangor. Pernah seorang sahabat melihat kerusi kosong di hadapannya bergerak bagaikan ada orang duduk di atasnya, mesin fotostat berfungsi sendiri dan pintu diketuk bertalu-talu.

Gangguan di pejabat lama kami di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, Kuala Lumpur, lebih dahsyat. Hinggakan ada yang pernah melihat bilah dart melayang dengan sendiri. Kakitangan lain pula terdengar bunyi sudu dan gelas berlaga, kertas melayang jatuh dari bumbung, aroma kopi meruwap ke udara selain suara mengeluh.

Untuk pengetahuan anda, kejadian seumpama ini juga berlaku di rumah dan premis kediaman. Seorang kenalan, Shuaid Sulaiman dan isterinya, Junaidah Ku Napiah, yang tinggal di Kampung Bunga Emas Timur, Tambun Tulang, Perlis, pernah mengalaminya. Shuaid memberitahu saya, gangguan itu mula berlaku pada April 2004, selepas dia membeli sebuah rumah pusaka daripada seorang jiran.

Lewat malam, mereka terdengar bunyi batu ditabur ke lantai, kemudian dikutip, dan ditabur lagi. Persis budak sedang bermain batu seremban.

Pada malam lain, kedengaran pula bunyi bising rim basikal bergeser dengan kawat, lalu digolek ke sana dan ke mari. Bunyi-bunyi aneh itu diselang-seli pula dengan pintu dapur diketuk berulang kali, nama Shuaid dilaung dan sebagainya.

Menariknya, dalam waktu yang sama, sebuah lagi rumah di kampung itu turut mengalami gangguan yang hampir serupa. Lebih tepat lagi, ia sudah terjadi beberapa tahun sebelum itu.

Pemilik rumah tersebut, Sobri Ramli memberitahu saya, tidur mereka selalu diganggu dengan bunyi benda bergolek-golek di lantai, berguling di atas bumbung, dinding diketuk dan barang-barang di atas meja ditolak jatuh dan ditaburkan. Ada kalanya duit hilang secara tiba-tiba dan bau kemenyan memenuhi setiap inci rumah.

Kejadian di Muzium Lukut, Negeri Sembilan juga cukup membingungkan. Pernah suatu malam, pengawal keselamatan muzium itu, Mohd. Yusof terdengar bunyi bingkai-bingkai gambar jatuh ke lantai. Bunyi kaca pecah berderai begitu jelas kedengaran.

Beberapa ketika kemudian, terdengar pula bunyi kerusi dan meja pameran dihempas-hempas. Mohd. Yusof memberitahu saya, keadaan ketika itu seperti ada orang sedang mengamuk. Ruang pameran bagaikan berselerak. Bunyi menakutkan itu berlanjutan selama beberapa minit.

Kejadian ini berlaku beberapa kali. Namun anehnya, apabila muzium dibuka keesokannya, keadaannya normal. Semua barang berada di kedudukan sebenar dan dalam keadaan elok. Tiada bingkai gambar yang pecah atau kerusi dan meja patah.

Gangguan di Loji Air Temoh, Tapah, barangkali yang paling menakutkan. Kata mereka, ia bermula pada 1994, tanpa sebarang sebab, selepas tujuh tahun loji tersebut beroperasi. Tidak kira siang atau malam, mereka akan dikacau dengan bunyi nyaring seperti tiupan wisel, raungan dan tangisan.

Pernah pekerja di loji itu melihat sebiji batu sebesar bola tenis tiba-tiba bergolek di lantai dan topi keledar yang ditinggalkan di atas motosikal ditukar-tukar kedudukannya.

Sampaikan ada pekerja yang memakai topi keledar kerana terlalu kerap dibaling dengan batu. Seorang lagi pekerja memakai fon kepala kerana tidak tahan diganggu dengan suara jeritan dan tempikan.

Kejadian-kejadian pelik itu masih berterusan ketika saya mengunjungi loji tersebut pada awal 2000.

Puaka, hantu dan Domovoy

Hantu? Ya. Kalau dalam kalangan masyarakat kita, begitulah anggapannya. Rumah berhantu, saka, jin dan syaitan.

Bagi masyarakat lain, berbeza pula jawapan mereka. Misalnya di Jepun, gangguan seperti ini dikatakan dilakukan oleh hantu Mononoke. Masyarakat Slav di Eropah Timur pula percaya itu semua angkara Domovoy.

Apa itu Domovoy? Menurut mereka, Domovoy ialah makhluk ghaib bertubuh kecil dan seluruh tubuhnya dipenuhi bulu. Ada kalanya ia mempunyai ekor dan bertanduk.

Domovoy kononnya boleh dipanggil untuk menginap di sesebuah rumah dan digunakan untuk membantu melakukan kerja-kerja harian. Sebagai upah, Domovoy diberi upah makan dan minum. Konsepnya seperti hantu raya dalam masyarakat Melayu.

Bagaimanapun, apabila Domovoy rasa terancam atau diganggu, ia akan bertindak nakal. Antaranya, Domovoy akan mengganggu kuda jiran, mencuri makanannya, membuat bising, merosakkan barang-barang, menyepahkannya di lantai, memecahkan pinggan mangkuk, meninggalkan kesan tapak kaki berlumpur, meretakkan dinding rumah serta mengetuk dan menghempas periuk belanga.

Apabila berasa gembira, Domovoy membuat bising dengan mengeluarkan suara seperti ketawa"He! He! He!, Ho! Ho!,Ho!"

Poltergeist

Bagaimanapun, dalam kajian paranormal, semua gangguan ini dikatakan dilakukan oleh Poltergeist. Apa itu poltergeist? Ia berasal daripada perkataan Jerman, Polter (bising) dan Geist (hantu).

Bising di sini bukan sekadar bermaksud mengeluarkan bunyi yang menyakitkan telinga, tetapi juga membuat kacau seperti merosakkan barang-barang, menaburnya ke lantai, mengetuk dinding, menarik selimut, membuka paip, menolak dan mencakar tubuh kita serta mengeluarkan bau-bauan aneh.

Kalau entiti dan 'hantu’ sering dilihat pada waktu malam, Poltergeist hadir tanpa mengira waktu. Poltergeist juga tidak menunjukkan dirinya dalam bentuk jelmaan atau entiti.

Kes-kes Poltergeist dilaporkan berlaku di seluruh pelosok dunia. Ribuan kes direkodkan dan selalunya diklasifikasikan sebagai premis berhantu. Tetapi menariknya, sementara sebahagian daripada kes tersebut kekal misteri - seperti rumah yang direjam batu dan kejadian yang diceritakan terdahulu - terdapat juga kes yang dikesan berpunca daripada diri seseorang.

Diri seseorang? Ya... Utusan/Keluarga/20140713

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments