kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Suami rimas isteri hipokrit

"JIKA orang lelaki kecewa dalam rumah tangga, dia tidak akan membebel macam orang perempuan, bercerita sana sini hingga memalukan suaminya sendiri. Kami rata-rata kalaupun bercerita dengan lelaki tetapi ia tidak berpanjangan, kami minta nasihat dan terus bertindak setelah berfikir panjang.

"Macam saya nasihat kawan, jika isteri terlalu kawal suami biarkan aja, sebaliknya buatlah apa yang kita rasa kita layak lakukan. Jadi itulah saya lakukan, saya cari wanita lain yang sesuai dengan hati saya,’’ itu cerita Hazrul dalam e-melnya.

"Saya rasa dengan mempunyai teman wanita yang rapat maka kita boleh berbincang dan paling tidak menyejukkan hati yang terluka. Tetapi perangai buruk saya ini terbawa-bawa sampai pulang ke rumah. Isteri mula syak saya buat hubungan dengan wanita lain.

"Punca saya mengambil keputusan mencari teman wanita adalah kerana perangai dan kelakuan isteri saya sendiri, Zamila. Dah puas saya nasihat dia supaya menghormati saya dan ibu saya, tetapi semuanya tidak dipedulikan. Dia masih degil dengan caranya.

"Setiap bulan dia akan bertanya mana duit saya pergi, apa saya buat dengan duit saya dan berapa banyak saya beri pada emak saya. Saya sedar emak saya bukan orang senang, jadi saya kena bantu. Dulu tugas itu dilakukan oleh abang dan kakak saya. Mereka beri duit pada ibu secara tidak langsung telah membantu memudahkan saya belajar dari sekolah menengah hingga ke kolej. Kini setelah bekerja, maka sudah sampai masanya saya ganti tugas dan tanggungjawab mereka.

"Pertama sebab kakak dan abang saya ada anak-anak yang sudah meningkat remaja yang lebih memerlukan bantuan untuk terus belajar. Saya rasa sudah sampai masanya saya ambil alih tugas abang dan kakak saya untuk membantu ibu saya pula. Saya mahu lihat ibu bahagia dan gembira di akhir-akhir usianya.

"Bila saya terus terang dengan Zamila, dia mula naik angin. Katanya seseorang lelaki itu apabila dia telah berkahwin, maka dia mesti meletakkan seluruh jiwa raga, dan tanggungjawabnya kepada keluarganya sendiri khususnya anak-anak. Menjadi tanggung jawab ibu bapa beri pelajaran kepada anak-anaknya seperti yang diamanahkan Allah. Jadi si suami mesti beri sepenuh perhatian kepada keluarganya bukan ibu bapanya lagi.

"Sebaliknya, dia berkeras kalau saya beri perhatian dan memberi kebajikan kepada emak saya, maka saya juga mesti membuat benda yang sama kepada ibunya. Saya jelaskan, saya hormat ibunya, kerana dia mertua saya. Tetapi mertua saya ada anak-anak lelaki, maka dialah yang mesti beri perhatian kepada ibunya. Tetapi Zamilah tidak dapat terima.

"Peliknya depan ibu saya dia bercakap lemah lembut, konon dia sukakan ibu saya, dan rasa kesal tak dapat menjemput ibu saya tidur di rumah saya sebelum balik kampung, tetapi kenyataannya, bila balik rumah dia akan tarik mula masam - bertanya berapa banyak duit yang saya berikan kepada ibu saya.

"Saya cukup hairan mengapa dia boleh hidup berpura-pura seperti itu, sedangkan dalam hatinya dia tak sukakan ibu saya. Kerana sikap berpura-pura itulah juga ibu saya sayangkan dia kalau dia beri alasan apa pun tentang kesibukan dan banyak kerja luar, ibu saya akan percaya.

"Saya cukup sedih, ibu saya begitu sayangkan dia, tetapi dia punyalah meluat dengan ibu saya, serba tak kena pada matanya. Katanya, ibu saya buat baik tu kerana nak minta duit lebih banyak daripada saya. Kerana sakit hati, saya sering berbalah semuanya kerana saya rasa benci dengan sikap hipokritnya.

"Katanya, ibu (mertua saya) ada pengalaman pahit dengan neneknya sebab neneknya setiap bulan suka minta duit daripada anaknya (ayahnya). Lepas tu dia gunakan untuk bantu anak-anaknya yang hidup susah dan tak ada kerja di kampung yang sering menyusahkan hidup ayahnya. Bila tak ada duit nenek akan minta pada ayahnya.

"Sebab itulah juga ibu mertua saya menasihatkan Zamilah supaya berhati-hati dengan mertua yang suka minta duit. Dia tak mahu bila saya tak ada duit maka saya akan minta duit Zamilah untuk diberikan kepada ibu saya. Sebab itu rasa benci Zamilah pada ibu saya menjadi-jadi.

"Saya tak nafikan perbuatan ayahnya, kerana itulah juga yang dilakukan oleh abang dan kakak saya sering beri duit pada ibu saya, dan ibu saya gunakan buat belanja saya dan adik untuk ke sekolah dan seterusnya ke kolej. Kalau nak ikutkan itu adalah tanggungjawab adik-beradik saling membantu. Tapi kepada Zamilah itu bukan tanggungjawab anak sebaliknya ibu bapa. Macam mana kalau ibu bapa miskin dan duduk di kampung?

"Kerana itulah juga saya tidak pernah beri apa-apa hadiah kepada ibu saya walaupun sehelai kain batik, ataupun sagu hati kepada anak-anak abang dan kakak saya jika mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke kolej, sebab Zamilah tak izinkan.

"Kerana rasa bosan inilah juga saya berjaya mendapatkan ketenangan dengan Farisha, wanita yang menjadi teman baik saya. Pada saya Zamilah sukar dibentuk dan tidak makan nasihat, dia terdidik dengan cara yang salah.

"Berbanding Zamilah, Farisha setelah saya siasat budi pekertinya menghormati orang tua, terutama ibu mertua. Kalau dulu Farisha bersifat kawan baik, kini sedikit demi sedikit dia telah berjaya menawan hati saya. Ini yang membuat saya serba salah. Tapi kata kawan kalau isteri sudah tidak boleh dinasihat dan dibentuk, maka lebih baik cari pengganti.

"Tapi kawan lain menasihati berkahwin dua bukan mudah, silap langkah hidup lebih merana. Kecuali si lelaki itu seorang yang teguh dan kuat pendiriannya, macam saya dia suruh fikir sepuluh kali sebab dia takut saya akan buat isteri baharu hidup merana. Kerana sedangkan masalah hormati ibu pun saya tak boleh kawal perangai isteri sendiri, inikan pula masalah apabila beristeri baru. Akhirnya saya akan buat hidup bakal isteri baharu hancur.

"Inilah dilema yang sedang saya hadapi. Saya sudah dapat orang yang memahami jiwa saya dan sayangkan ibu saya, tetapi saya tidak dapat mengawal isteri yang tidak berbudi dan tidak berdisiplin. Patutkah saya kahwin lagi atau ceraikan isteri sekarang?

"Semua masalah ini adalah berpunca daripada sikap isteri yang tidak menghormati ibu saya. Saya amat sayangkan ibu saya dan adik-beradik saya, kerana tanpa bantuan mereka, saya yakin hidup saya tidak seperti sekarang dan pasti saya tidak kenal siapa Zamilah, ini yang Zamilah patut ingat.’’ Demikian cerita Hazrul tentang dilema yang dihadapinya. tusan/Keluarga/20140713

Tags: hipokrit, isteri, suami
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments