kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Manifestasi Piala Dunia 2014

Piala Dunia 2014 di Brazil baru sahaja berakhir di Stadium Maracana, Rio de Jenerio dan ia telah dimenangi oleh pasukan Jerman.

Ia kejayaan ke-4 Jerman dalam merangkul piala berprestij bola sepak iaitu Piala Dunia. Jerman merupakan pasukan pertama dari benua Eropah yang berjaya melakukannya di luar bumi Amerika Selatan.

Sudah tentu ia sesuatu kejayaan yang amat manis dan cemerlang buat Jerman yang pada awal dilihat sebagai sebuah pasukan yang tidak mampu hingga ke peringkat separuh akhir.

Namun andaian itu sebenarnya meleset sama sekali. Jerman telah berjaya membuktikan akan kemampuannya yang sebenar apabila para pemainnya berjaya mempamerkan aksi hebat pada setiap perlawanan hinggalah di pertandingan akhir.

Lebih manis lagi apabila ia dapat mengalahkan Brazil 7-1 di peringkat suku akhir di hadapan ribuan para penyokong dan peminat bola sepak Brazil..

Hasrat peminat bola sepak Brazil ingin melihat pasukannya merangkul Piala Dunia buat kali ke-6 kini hancur lebur. Tidak diketahui berapa lama lagi para peminat Brazil harus menunggu dan dapat melihatnya pasukannya memenangi Piala Dunia di tempat sendiri. Ini kali kedua ia dikecewakan. Kali pertama Brazil dikecewakan ialah pada tahun 1950, apabila dikalahkan oleh pasukan Uruguay 2-1.

Piala Dunia akan menceritakan detik-detik kemenangan dan kejayaan sesebuah pasukan yang bertanding. Setiap kemenangan akan diraikan dengan sorakan dan kegembiraan oleh para peminat sendiri sementara kekalahan pula dipenuhi dengan suasana kehampaan dan kesedihan.

Ini merupakan asam garam pertandingan. Kalah menang itu perkara biasa tetapi apabila Brazil kalah kepada Jerman 1-7 di suku akhir ia memang luar biasa tapi ia boleh berlaku dalam dunia sukan. Itu semua sudah takdir Allah SWT yang pada hari itu Brazil akan kalah teruk. Kalau mengikut Murphy's Law ia menyatakan, " If it's going to happen, it's going to happen".

Di sebalik kita semua sebagai peminat bola sepak berseronok, bersorak dan bergembira menonton Piala Dunia, berapa ramai di kalangan kita benar-benar faham falsafah yang ingin dibawakan oleh Piala Dunia itu sendiri?

Kemungkinan bilangan para peminat bola sepak yang benar faham falsafah yang tersurat dan tersirat yang di bawa oleh Piala Dunia itu mungkin tidak ramai. Ramai sekadar ingin berseronok dan bergembira ketika menonton Piala Dunia yang datang setiap 4 tahun sekali.

Sebenarnya mesej mudah yang ingin dibawa oleh Piala Dunia ialah mengenai kejayaan dan bagaimana sesuatu kejayaan itu dapat dicapai. Benarlah kata pepatah,' Kalau ingin menyeluk pekasam, biarlah sampai pergelangan lengan'.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam ucapannya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Perbendaharaan Malaysia baru-baru ini telah mengingatkan dengan menjadikan kejayaan pasukan Jerman menjulang Piala Dunia sebagai contoh untuk menggalakkan penjawat awam bekerja sebagai satu pasukan.

"Apabila kita dapat mengukuhkan prestasi individu dalam konteks permuafakatan, maka pencapaian itu lebih besar daripada kekuatan perseorangan. Jika seseorang bekerja sampai peringkat luar biasa, mempunyai budaya organisasi yang kukuh dan bekerja sebagai satu pasukan, maka pencapaian itu jauh lebih baik berbanding bekerja sebagai individu,'' kata beliau.

Sukan mampu memupuk persefahaman di kalangan para pemain dalam pasukan itu sendiri dan juga dengan pemain dan pegawai dengan pasukan yang bertanding. Pertama perlu dibentuk workteam yang mantap dan kemudian barulah diberikan penekanan akan teamwork.

Dikatakan salah satu sebab kekalahan pasukan Brazil adalah kerana pemilihan para pemain yang kurang tepat dan masalah dan kelemahan struktur dalaman Persatuan Bolasepak Brazil yang turut memberi kesan kepada kegagalan pasukan Brazil. Diharap Brazil dapat bangkit dari kekecewaan ini dan membawa perkembangan positif pada siri Piala Dunia 2018 di Russia nanti.

Kejayaan pasukan Jerman itu perlu dijadikan iktibar, ikutan dan amalan terbaik semua penjawat awam setiap masa secara konsisten dalam membantu kerajaan menjadikan negara ini sebagai negara maju menjelang 2020.

Ia bukan mudah dan tidak mustahil dicapai dan sudah tentu memerlukan suatu bentuk komitmen yang tidak berbelah bagi lagi menyeluruh oleh semua pihak dan ingatlah akan kata-kata, " Rome is not built in a day" - ia suatu proses dan akan mengambil masa, tetapi janganlah biarkan masa berlalu terlalu lama kerana,' time waits for no man'. Penulis ialah Pensyarah Kanan, di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Kampus UiTM Seremban 3, Negeri Sembilan   Utusan/Rencana/20140716

Tags: bolasepak
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments