kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Berjimat? Berapa ramai yang ambil serius

SUNGGUH, sejak beberapa hari sebelum Ramadan lagi sehingga sekarang, saya cukup mengelak untuk masuk ke bandar raya Kuala Lumpur.

Sebabnya, jalan raya sesak di sana sini terutamanya jalan yang menuju ke pusat membeli-belah. Ini kerana orang ramai begitu sibuk membuat persediaan untuk menyambut Aidilfitri.

Yang datang berbelanja di sini bukan saja warga Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang, ramai juga rakyat dari negeri lain yang mengambil cuti semata-mata untuk membeli-belah di ibu kota ini. Memang meriah sungguh. Maka bertambah sesaklah jalan raya.

Bukan setakat Kuala Lumpur, di Shah Alam dan juga mungkin di bandar-bandar lain pun begitu.

Bayangkan, walaupun hanya mahu membeli bawang yang kehabisan di rumah yang terpaksa saya dapatkannya di sebuah pasar raya dalam pusat membeli-belah di Seksyen 9, Shah Alam kerana kedai runcit berhampiran tidak menjualnya, saya kena pusing beberapa kali untuk mencari tempat letak kereta!

SUASANA di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dipenuhi dengan orang ramai yang
membeli-belah untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri, pada Sabtu lalu. - Utusan/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

Pagi-pagi lagi pusat membeli-belah itu sudah penuh, walhal pada hari biasa. Bukan hujung minggu. Tidak tahu bila masa pulalah pengunjung-pengunjung yang asyik berbelanja ini bekerja.

Begitulah setiap tahun, dalam kita heboh bercakap harga barang naik, harga minyak naik, boikot barang itu ini, mengeluh gaji tidak naik-naik dan kos sara hidup semakin tinggi, namun kebanyakan daripada kita masih mampu berbelanja besar walaupun sebenarnya menghadapi kekangan kewangan.

Apa yang penting, bagi mereka Hari Raya mesti diraikan dengan berhabis-habisan. Tidak lengkap kalau semuanya biasa-biasa saja. Mesti mahu yang luar biasa.

Memanglah, semuanya ini tidak dirasakan ketika berbelanja, tetapi apabila Aidilfitri sudah masuk seminggu, ramai yang mula pening kepala.

Mulalah susah hendak tersenyum. Kalau tersenyum pun tidak seceria senyuman di pagi Syawal ketika mengenakan pakaian baru dan melihat suasana di rumah yang serba baru.

Dan dalam membandingkan persiapan raya di negara kita dengan negara-negara Islam bergolak, yang hendak berbuka puasa pun tidak ada makanan yang hendak dimakan, kita pun jadi sebak, kasihan dan insaf.

Maka kita pun bersyukur dan membanding-bandingkan penduduk negara berkenaan dengan negara ini. Betul, betapa bertuahnya kehidupan kita di sini.

Tetapi selalunya keinsafan itu datang sekejap-sekejap sajalah. Bila tiba waktu untuk membeli-belah, membeli persiapan raya atau membeli makanan di bazar Ramadan, ramai yang mengikut nafsu. Bila berbuka puasa, semua makanan mahu dibeli, akhirnya tiga atau empat hari disimpan di dalam peti sejuk dan kemudian dibuang. Diberi pada kucing di rumah, kucing pun tidak mahu makan.

Memang sudah banyak pihak menekankan tentang peri pentingnya kita berbelanja secara berhemah apabila tiba musim perayaan ini.

Setiap tahun banyak saranan dibuat bukan saja oleh pemimpin negara, masyarkat, pihak persatuan pengguna tetapi juga para ulamak mengenai perkara ini. Agama kita juga melarang kepada pembaziran dan berlebih-lebihan.

Tetapi begitulah juga. Selepas Hari Raya pasti ada kedengaran banyak keluhan dan rintihan disuarakan oleh rakan-rakan di tempat kerja.

Ada yang tidak membayar lagi bil-bil asas tetapi wang sudah dihabiskan untuk persiapan Hari Raya. Maka bil-bil yang sepatutnya dilangsaikan terus bertunggak. Ada kemudahan yang terpaksa dipotong seperti telefon, Astro atau mungkin juga bekalan air atau elektrik.

Justeru, beringatlah. Tidak salah berbelanja lebih sekiranya memang kita berkemampuan berbuat begitu. Tetapi bagi yang kurang berkemampuan dan sentiasa mengadu gaji tidak mencukupi, lebih baiklah bersederhana. Jangan saja-saja cari penyakit selepas Hari Raya nanti. Fauziah Arof: Utusan/Rencana/20140716

Tags: jimat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments