kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Orientasi 'Alif Ba Ta' mendepani abad ke-21

Pemimpin politik kena komited pertingkat pencapaian, keupayaan komuniti Melayu

Agenda memperkasa agama, bangsa dan tanah air (Alif Ba Ta) menjadi asas kepada ideologi politik Melayu. Acuan ideologi itu mungkin berbeza mengikut parti politik, tetapi UMNO mahupun PAS berjuang berpaksikan kepada asas yang sama.

Barangkali ini juga antara sebab mengapa wujud pautan pesona yang mengimpikan kesatuan hati antara kedua-dua parti atas landasan fahaman politik serupa, meskipun tak sama.

Namun, pola politik nasional mencerminkan situasi di mana parti pembangkang lain tetap berjaya meraih sokongan rakyat termasuk kelompok Melayu, meskipun tidak mengetengahkan politik berlandaskan kepada ideologi ‘Alif Ba Ta’.

Malahan, peredaran masa dan peralihan generasi ditambah pula dengan lambakan teknologi maklumat mengubah lanskap sosiopolitik orang muda yang menuntut suara merentasi kerangka ideologi. Dalam konteks ini, mungkin ada reaksi yang mahu mencirikan perkembangan dan peralihan ini sebagai fenomena yang perlu ditentang kerana melemah jati diri Melayu. Mungkin ada yang menganggap anak muda yang tidak bersama kita telah terpesong, disesatkan oleh nilai dan budaya asing yang mencemari pegangan asli dan asal, yakni ‘Alif Ba Ta’.

Tetapi saya lebih gemar melihat perkembangan ini sebagai cabaran yang melempar beberapa persoalan kepada parti politik Melayu. Bagaimana kita menterjemah agenda agama, bangsa dan tanah air dalam bentuk selari dengan cita rasa dan kehendak generasi masa kini?

Apakah prakarsa yang perlu diambil tatkala strategi ceramah dan risalah tak lagi mampu mengolah pemikiran muda menyokong kita semata-mata atas keaslian jatidiri? Dan pada asasnya, apakah relevan gagasan ‘agama bangsa dan tanah air’ dalam konteks politik Melayu dan Malaysia abad ke-21 di mana nilai kemelayuan terpaksa bersaing dengan realiti kesejagatan?

Lafaz ‘Alif Ba Ta’ lemah daya tarikan

Bagi saya, selepas 57 tahun merdeka, lafaz ‘Alif Ba Ta’ sudah lemah daya tarikan jika masih kekal sekadar laungan dan retorik. Sebaliknya, ia harus diterjemah kepada konsep yang didukungi pengisian bermakna, sekali gus menjadi kompas perjuangan politik Melayu alaf baharu.

Pengisian ini tidak boleh terlalu jumud dan bersandarkan kepada nostalgia simbolisme semata-mata – sebaliknya harus merentasi perubahan masa dan selari dengan paradigma politik kontemporari.

Inilah sebenarnya penghijrahan tasawur yang dibawa Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang saban tahun menerusi Ucapan Dasar Perhimpunan Agung UMNO menekankan kesedaran tentang maqasid (matlamat) dan manhaj (pendekatan) perjuangan.

Dalam konteks ini, seandainya ‘Alif Ba Ta’ adalah maqasid perjuangan politik Melayu yang ingin kita perjuangkan, kita harus ambil manhaj yang menekankan tentang pencapaian bangsa Melayu iaitu pencapaian sebenar yang boleh diukur kira.

Saya mengajak kita mengimbas lalu ‘kad laporan’ pencapaian Melayu. Meskipun kita memiliki kelebihan majoriti dari segi bilangan penduduk, bangsa Melayu masih jauh di belakang seandainya pencapaian ekonomi yang dijadikan indikator. Dasar Ekonomi Baru berusia lebih dari empat dasawarsa, namun kita masih gagal capai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti dalam kalangan Bumiputera. Lebih membimbangkan, meskipun saham bernilai RM54 bilion diagihkan kepada Bumiputera sejak tahun 1971, hanya RM2 bilion yang masih lagi dimiliki oleh Bumiputera.

Tambahan pula, memandangkan hampir 75 peratus pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) hanya memiliki pelaburan purata sekadar RM611 seorang, mampukah kaum Bumiputera mengambil manfaat daripada pelancaran 10 bilion unit ASB2 baru-baru ini? Pendapatan isi rumah bulanan RM4,500 dalam kalangan Bumiputera lebih rendah dari kaum Cina dan India.

Contoh ini memberi gambaran bahawa jika kita mahu memastikan ‘Alif Ba Ta’ kekal relevan dalam pentas politik tanah air, maka pemimpin politik segenap lapisan perlu mengorientasikan gagasan keramat itu ke arah meningkatkan pencapaian dan keupayaan komuniti Melayu. Suka atau tidak, sorak tempik yang mungkin menampakkan kegagahan dan kejantanan mempertahankan simbolisme semata-mata akhirnya belum mencapai maqasid yang hakiki.

Perlu tindakan drastik

Maka, dalam mengorak gerak kerja, ideologi politik Melayu hari ini perlu berasaskan perhitungan seperti berikut: Apa langkah kita bagi meningkatkan produktiviti Melayu? Apa tindakan kita memastikan Melayu boleh bersaing dengan mana-mana bangsa lain seantero dunia? Apa usaha kita memastikan dalam 10 tahun lagi lebih ramai nama Melayu dalam senarai 10 individu terkaya dalam negara?

Untuk survival politik dan ekonomi Melayu, orientasi baru gagasan ‘Alif Ba Ta’ pada hari ini mesti mencakupi agenda Melayu yang lebih luas. Jangan cepat menuding jari kepada kaum lain seandainya kita sendiri gagal menggalas tanggungjawab ini. Jangan lekas mempersenda pihak lain seandainya masyarakat tidak mempercayai parti Melayu dalam melaksanakan amanah ini. Shahril Hamdan adalah Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Pengerusi Biro Profesional Muda   Berita Harian Kolumnis 2014/07/16 - 02:52:03 AM
Tags: politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments