kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

PPPM pupuk semangat jati diri kebangsaan

Golongan muda diharap dapat bersatu, faham tradisi, sejarah dan bahasa negara

Tidak dapat dinafikan kalau dibuat perbandingan tentang jati diri kebangsaan, iaitu pameran seluruh rakyat sesebuah negara tentang pengetahuan, penghargaan dan penghayatan mereka terhadap pelbagai tradisi negara berkenaan, kita boleh dikatakan amat kekurangan dalam hal ini.

Hal ini memang benar dan dapat dilihat dengan jelasnya apabila kita sebagai rakyat Malaysia tidak mempamerkan perasaan bangga, sayang dan setia, selain pemahaman baik terhadap pelbagai tradisi negara. Antaranya ialah bahasa Melayu.

Sebagai bahasa negara, bahasa Melayu sepatutnya bukan sahaja harus dihormati sepenuhnya dan disanjungi tinggi oleh setiap sektor dan lapisan rakyat Malaysia, malah ia hendaklah dilindungi habis-habisan oleh kita semua. Malangnya ini tidak berlaku.

Yang berlaku ialah keadaan sebaliknya. Perasaan positif dan pemahaman mendalam terhadapnya boleh dikatakan tiada langsung dalam kalangan kebanyakan rakyat Malaysia.

Sehubungan ini, golongan bukan Melayu rata-ratanya tidak memperlihat pengetahuan dan penguasaannya yang baik. Ia rata-ratanya diucapkan dalam bentuk jelik oleh sebahagian besarnya golongan ini. Malah ada sebilangan yang boleh dikategorikan sebagai tidak boleh berbahasa Melayu langsung.

Dalam kalangan kaum Melayu yang merupakan penutur jati, ramai yang tidak mengambil peduli langsung tentangnya, sama ada dari segi martabatnya atau lain-lain. Yang lebih menyedihkan ada segelintir yang tidak mempercayai, apatah lagi meyakini kemampuannya memajukan bangsa dan negara Malaysia.

Ideologi sivik

Di manakah ideologi sivik yang merangkumi pemahaman dan aspirasi bersama dalam kalangan golongan Melayu dan bukan Melayu sebagai satu nasionaliti? Adakah kita memupuk perasaan dan pemikiran yang menyatupadukan kita semua sebagai rakyat kepada tanah air yang sama?

Ini adalah persoalan penting tentang jati diri kebangsaan yang kurang kelihatan pada sebahagian besar rakyat Malaysia, walaupun kita pernah cuba memupuknya ketika kita mencapai kemerdekaan. Ia diharapkan terbentuk dengan mantapnya setelah negara kita kian dewasa.

Sebenarnya sebelum ini, kita tidak pernah pun cuba memupuk, apatah lagi membentuknya dengan serius, yakni melalui sistem pendidikan negara misalnya. Tetapi kini melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, jati diri kebangsaan dijadikan salah satu daripada enam aspirasi murid dan pelajar.

Dengan langkah sedemikian, golongan muda kita diharapkan dapat mempamerkan perasaan bersatu dan pemahaman bestari tentang, antaranya tradisi, sejarah selain bahasa negara. Ini penting sekali untuk mewujudkan perasaan kekitaan dan kebersamaan sebagai bangsa dan negara Malaysia, dalam kalangan semua golongan.

Kesedaran kebangsaan

Kesedaran kebangsaan selain dipupuk dan dibentuk melalui sistem pendidikan negara, boleh juga dirangsangkan serta dikembangkan oleh media massa. Dalam hal ini, radio dan televisyen misalnya, boleh mempertingkat lagi perkongsian nilai bersama dalam kehidupan seharian rakyat. Tujuannya adalah untuk melahirkan perasaan kenegaraan yang dikongsi bersama oleh semua golongan.

Dalam hal ini, subjek sejarah bukan sahaja penting. Ia perlu menekankan aspek keterangkuman yang sebelum ini banyak diabaikan. Dengan ini, pendidikan sejarah kini hendaklah bertujuan membina budaya bersama yang mementingkan perpaduan kaum dan integrasi nasional, selain mempergiat pengetahuan kemasyarakatan dan kemanusiaan tentang pelbagai peristiwa negara penting yang melibatkan semua golongan.

Sehubungan ini, diharapkan jati diri kebangsaan golongan muda kita bukan sahaja memperlihat penyatupaduan yang utuh. Yang lebih penting lagi ia diharapkan membentuk negara Malaysia yang rakyatnya dari pelbagai keturunan itu, memperlihat kebanggaan ujub, kecintaan tulen dan ketaatan tidak berbelah bahagi kepada tanah air mereka.

Selain konsep tanah air ditekan, kenangan lampau negara yang dikongsi bersama adalah juga penting dalam kurikulum subjek sejarah kini. Ia adalah untuk melahirkan golongan muda yang memiliki tanggungjawab bersama dalam mempamerkan citra negara yang ikut dibina oleh semua golongan.

Satu budaya bersama yang diamalkan oleh semua golongan, antaranya yang berkongsi satu bahasa yang sama, iaitu bahasa Melayu, adalah juga penting. Sehubungan ini, ia perlu diketahui dan dikuasai pada tahap yang baik, dan digunakan dengan bangganya oleh setiap rakyat sebagai bahasa perhubungan luas di negara ini.

Semua ini yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan diharapkan dapat membangkitkan nasionalisme, nasionaliti dan sifat nasional Malaysia yang merupakan ramuan penting untuk jati diri kebangsaan.
Teo Kok Seong ialah Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara Berita Harian Kolumnis 2014/07/17 - 02:41:40 AM
Tags: pppm
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments