kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Perpaduan kunci kita terus aman, makmur

Pergolakan negara lain jadikan iktibar elak tempias berlaku di Malaysia

“Kejutan (Peristiwa 13 Mei) telah membangkitkan kesedaran kepada kita terhadap perlunya untuk melihat kembali kepada pedoman Yang Maha Kuasa, untuk menghormati antara satu sama lain dengan pandangan yang tulus ikhlas dan teruskan kehidupan, dengan kejujuran dan penuh dedikasi serta pengorbanan peribadi untuk membentuk negara ini sebagai miniatur Bangsa-Bangsa Bersatu. Malaysia mampu menunjukkan kepada dunia bahawa masyarakat pelbagai kaum akan berusaha dan mereka daripada berlainan asal-usul berbeza agama dan budaya mampu hidup bersama dalam aman dan harmoni,” kata Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

Petikan ini diambil daripada sebuah buku bertajuk Enduring Truth from Statements and Words of Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Malaysia and Our Beloved Founder of Our Nation yang dikirimkan kepada penulis oleh Pengerusi Majlis Perundingan Muhibah Negeri Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yusoff Latiff.


Membaca keseluruhan buku itu yang mengandungi pelbagai petikan kata-kata Perdana Menteri pertama dan koleksi temu bual dengan pelbagai pihak mengingatkan penulis kepada perasaan tidak senang sesetengah pihak apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengingatkan mengenai kemungkinan berulangnya tragedi buruk jika kita tidak mengambil langkah pencegahan dari awal.

Perpaduan kaum

Peringatan sedemikian, seperti juga pandangan Bapa Kemerdekaan negara perpaduan antara pelbagai kaum amat wajar dan tidak boleh diambil mudah walaupun kadar toleransi kita amat tinggi sekarang ini, tidak mudah mengambil tindakan membuta tuli dan bertindak dengan emosi.

Namun banyak peristiwa yang berlaku kebelakangan ini semakin menggores perasaan pelbagai pihak. Apatah lagi apabila setiap kali bercakap mengenai orang Melayu dan perhubungan dengan kaum lain dianggap sebagai rasis sebaliknya tidak pula sedemikian apabila bercakap mengenai tuntutan kaum lain.

Banyak pula kata-kata menyakitkan hati yang menjadi provokasi dan mencabar kesabaran pelbagai pihak. Malah sesetengahnya menggunakan kedudukan dan hak istimewa untuk menghalalkan segala maki hamun, ungkitan dan cacian. Hal ini menular dalam media sosial dan saling mempertahankan apa yang dipercayainya. Kebebasan ditafsir mengikut perasaan sendiri, demi kemenangan kumpulan yang diingini.

Menghina orang lain, dengan sengaja menyentuh pelbagai isu sensitif termasuk kepercayaan agama, bangsa dan budaya, penyebaran video atau apa saja bahan yang boleh menyakitkan hati orang lain dan banyak lagi yang menggambarkan kedangkalan pemikiran dan perpaduan kaum yang seakan-akan agak goyah dan sengaja digunakan untuk kepentingan pihak tertentu bagi melaga-lagakan kita.

Agenda, pemikiran dan perbuatan sedemikian amat berbahaya. Semakin ramai seolah-olah naïf dan buta budaya – apatah lagi buta sejarah. Semua pihak perlu melihatnya dengan objektif dan menghentikan segera tindakan, cacian, cabaran malah juga provokasi yang boleh mengancam kesejahteraan dalam jangka panjang.

Malah ingatan yang dilontarkan oleh Timbalan Perdana Menteri sewajarnya dilihat secara positif dan membuat muhasabah. Jika kita tidak lakukan apa-apa yang salah mengapa bimbang dengan teguran ini. Jika sayangkan negara mengapa tidak ambilnya dengan positif.

Perpaduan adalah kunci untuk negara terus aman dan makmur. Perpaduan juga adalah teras untuk setiap pihak memainkan peranan memelihara dan menjaga apa yang ada. Malah dalam banyak keadaan, masyarakat hidup pelbagai kaum, agama, bangsa, budaya dan bahasa tanpa sebarang masalah, hanya kebelakangan ini nampaknya semakin galak digunakan oleh mereka yang muflis idea.

Ada yang terus menerus merosakkan hubungan baik yang ada. Mereka terus menerus menggunakan apa saja isu yang menguntungkan agenda peribadi dan politiknya untuk terus mengocak kedamaian dan kesejahteraan rakyat seluruhnya.

Hakikatnya selama ini kita bersatu dalam kepelbagaian yang saling hormat menghormati dan berbaik sangka. Tentunya tidak salah untuk setiap kaum menyatakan apa yang diinginkan sesuai dengan keperluannya, namun sewajarnya dalam lingkungan adab dan kesantunan tanpa menyentuh hal yang telah lama diselesaikan dan dipersetujui bersama.

Selagi ada usaha oleh mereka yang tidak jemu mengganggu-gugat masyarakat yang selama ini aman apatah lagi dalam kalangan sesama kita, maka ia tetap dan akan terus menjadi ancaman kepada negara. Belajarlah dari sejarah. Belajar juga dari apa yang berlaku di banyak negara lain. Tatkala kita berdoa untuk rakyat Palestin, jangan lupa membuat muhasabah agar melestarikan perpaduan dan keharmonian negara.

Majlis Perundingan Muhibah Negeri Pulau Pinang perlu sebar luaskan buku yang diterbitnya dan pemimpin negara perlu terus mengingatkan rakyat nilai sebuah kemerdekaan, erti perpaduan dan keharmonian dan harga satu kemusnahan apabila semua ini diabaikan. Tidak salah untuk terus mengingatkan. Mohamad Abdullah ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia Berita Harian Kolumnis 2014/07/17 - 02:48:12 AM
Tags: perpaduan
Subscribe

  • Rokok elektronik wajar dibenarkan semula

    Fenomena vape pernah menjadi tumpuan pelbagai pihak terutamanya Kementerian Kesihatan yang menentang keras aktivitinya sekitar penghujung tahun…

  • Rahsia panjang umur

    Kathmandu: Seorang wanita berusia 112 tahun mendakwa umurnya panjang kerana dia menghisap rokok. Batuli Lamichhane yang dilahirkan pada Mac 1903…

  • Dapatkan kaunseling berhenti merokok

    Asalnya dia seorang perokok tegar dan bagi menghentikan ketagihannya terhadap rokok selain tidak mahu mengikut jejak bapanya yang mati kerana kanser…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments