kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Israel langgar konvensyen antarabangsa

PBB, NGO diselar gagal hentikan kekejaman ke atas rakyat Palestin

Seorang sarjana terkemuka Eropah, Stephen Hopgood, menulis dalam karya terbarunya, The Endtimes of Human Rights (2013) tentang kegagalan sistem hak asasi manusia sejagat dalam melindungi hak negara tertindas.

Mengikut pandangan Hopgood, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia, bersifat sebagai sebuah imperialisme yang bertopengkan moralisme, pada satu masa dahulu bermula sebagai perkara baik, tetapi kini hanya menjadi satu industri. Lebih besar NGO itu, besar lagi kemungkinan ia berjinak dengan modal, ia wujud untuk mengumpul wang dan bukannya mengumpul wang untuk wujud.

Kegagalan PBB dan NGO hak asasi manusia yang digambarkan Hopgood terzahir dengan lebih jelas apabila dunia menyaksikan sendiri kekejaman Israel terhadap masyarakat awam Palestin, tanpa ada kutukan keras serta tindakan berkesan menghentikan serangan ketenteraan rejim Zionis itu.

Sehingga rencana ini ditulis, tidak kurang 1,518 kanak-kanak Palestin terkorban sejak tahun 2000 atau puratanya seorang setiap tiga hari. Israel terus menyerang penduduk awam Palestin dengan sengaja dan menyebabkan beratus kematian serta kecederaan terhadap beribu penduduk tidak berdosa. Ramai lagi penduduk yang sudah mula meninggalkan kediaman mereka untuk melarikan diri ke sempadan Mesir demi menyelamatkan nyawa.

Langgar enam artikel konvensyen PBB

Israel ternyata sudah melanggar Konvensyen Antarabangsa PBB, khususnya yang membabitkan kanak-kanak. Satu delegasi peguam kanan dari Eropah melawat Israel dan Tebing Barat serta menganalisis kesan sistem kehakiman Israel terhadap kanak-kanak Palestin. Hasil analisis itu menemukan bukti nyata bahawa Israel melanggar tidak kurang dari enam artikel Konvensyen PBB Mengenai Hak Kanak-kanak (UNCRC).

Laporan terkini bertajuk ‘Children in Military Custody’ menyatakan pelanggaran Israel terhadap Artikel 2 (diskriminasi), Artikel 3 (kepentingan terbaik kanak-kanak), 37(b) (cara penahanan yang pramatang) 37(c) (larangan pemisahan kanak-kanak dari orang dewasa), 37(d) (akses segera kepada peguam) dan 40 (penggunaan belenggu besi sebagai rantai). Israel sudah menandatangani UNCRC dan pada tahun 2004 Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa konvensyen itu terpakai ke atas hak kanak-kanak di tebing Barat.

Laporan itu juga menyatakan Israel melanggar Artikel 76 Konvensyen Geneva Keempat (4th Geneva Convention), berhubung larangan memindahkan tahanan ke negara yang menahan mereka. Artikel 65 pula mewajibkan undang-undang kanun kesiksaan diterjemahkan ke dalam bahasa tahanan yang berkenaan.

Mengikut peguam kanan yang melakukan siasatan itu, pihak berkuasa Israel gagal menterjemahkan Perintah Ketenteraan 1676 dari bahasa Ibrani kepada bahasa Arab, sekali gus menafikan hak kanak-kanak yang ditahan untuk mendapat keadilan sewajarnya. Israel adalah pihak dalam Konvensyen Geneva itu, maka terikat dengan segala tanggungjawab di dalamnya.

Ini bukan kali pertama Israel melanggar konvensyen serta peraturan hak asasi manusia sejagat. Ketika tiba giliran Israel disemak rekod hak asasi manusianya pada Sesi Semakan berkala Sejagat (UPR) Geneva pada awal tahun 2013, Israel dengan sengaja menarik diri dari sesi itu sehingga menerima celaan daripada pelbagai negara.

Enggan semak rekod hak asasi manusia

Tentunya Israel takut membiarkan rekod hak asasi manusianya disemak, dengan kadar pembunuhan kanak-kanak Palestin yang sengaja dilakukan sejak sekian lama.

Dengan serangan terbaharu sejak 1 Julai baru-baru ini, rekod hak asasi manusia Israel menjadi semakin buruk, tetapi malangnya kedegilan Israel meneruskan pembunuhan masyarakat awam Palestin semakin menjadi-jadi oleh kerana kelemahan PBB dan sifat hipokrit NGO antarabangsa dalam menangani kejahatan Israel.

Pelbagai usaha dilakukan untuk memaksa Israel menghentikan kekejamannya terhadap masyarakat awam Palestin, khususnya kanak-kanak dan wanita. Malaysia sudah menggesa agar PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk campur tangan kemanusiaan, demi menyelamatkan nyawa masyarakat awam Palestin daripada terus menjadi mangsa keganasan regim tidak berperikemanusiaan ini.

Pada tahap ini, negara yang masih mempunyai sifat kemanusiaan sepatutnya bergabung untuk menggunakan Artikel 8 Statut Rome mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Tindakan boleh diambil terhadap keganasan Israel termasuklah menghentikan jenayah peperangan yang sedang dilakukan dan memaksanya menarik diri dari wilayah Palestin.

Artikel 8 memberikan mahkamah berkenaan kuasa mengelakkan jenayah perang, khususnya peperangan dirancang seperti yang dilakukan Israel. Negara OIC sepatutnya menggunakan kekuatan negara anggotanya untuk mencetuskan tindakan ini.

Khususnya pada bulan Ramadan yang mulia ini, tidak sepatutnya nilai persaudaraan dengan umat Islam Palestin dibiarkan dimamah oleh keangkuhan dan kekejaman rejim Zionis Israel tanpa sebarang pembelaan. Azril Mohd Amin ialah seorang peguam yang mengetuai MuslimUPRo, iaitu Delegasi Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan ke Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, Switzerland Berita Harian Kolumnis 2014/07/18 - 02:17:11 AM
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Bubble Tea , Senaman Kecergasan dan Madu Kelulut

    Aktiviti kecergasan, senaman dibenarkan Madu kelulut mampu sembuhkan pesakit Covid-19 ? Sah bubble tea ialah teh mutiara FOTO: Aziz A.…

  • Adakah anda seorang yang berani?

    Artikel Waktu isu 1MDB lagi saya lawan, tegas Abdul Hamid dan Ketua Ulama Pas teruk kena maki hamun dengan Lokman Adam bertarikh…

  • Persepsi I

    Amar makruf nahi munkar perlu dijadikan pegangan warga PDRM (Mei, 3, 2021) ada menyebut mengenai ‘ war of perception’. Dunia…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments