kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bahana amalan ‘isterisme’

Tak layak jadi Ahli Parlimen Permatang Pauh, isteri sedia jadi pengganti. Hilang kelayakan jadi Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang, isteri ada sebagai ganti. Tak boleh jadi presiden parti, isteri menurut kata untuk dijadikan ganti. Tak dapat menjawat menteri besar, isteri juga rela jadi ganti.


Rasanya belum pernah berlaku dalam sejarah politik dunia ada pemimpin yang serakah menyerahkan jawatan awam dan parti untuk kepentingan yang begitu peribadi sifatnya. Bukan sekali tetapi berkali-kali.

Entah apa label yang sesuai untuk menamakan tingkah laku dan amalan berpolitik seperti ini - kronisme atau nepotisme. Atau mungkin perlu dicipta istilah baharu ‘isterisme’. Mungkin inilah yang disebut-sebut sebagai konsep politik baharu demi rakyat oleh PKR.

Parti relatif muda berusia 15 tahun yang sepatutnya berpeluang lebih baik menunjukkan contoh dan tauladan tetapi sebaliknya hanya dijadikan kuda tunggangan untuk nafsu politik dan kekuasaan seseorang.

Alangkah cacamarbanya Malaysia jika tatacara parti yang satu ini menjadi ikutan. Yang mustahil, songsang dan pelik menjadi amalan PKR. Barangkali reformis, pemikir dan intelektual PKR pada masa ini hanya mampu terkedu.

Mereka mungkin tidak menjangkakan nafsu politik Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh membuak-buak separah ini. Begitu sekali beliau melampiaskan hasratnya. Alasan bahawa Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail perlu menggantikan tempat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk ‘memberikan kestabilan dalam PKR dan pakatan pembangkang’ terkesan sangat direka-reka.

Perjuangan

Di manakah agaknya mereka letakkan matlamat dan asas perjuangan parti? Satu daripada 17 matlamat dan perjuangan PKR menyebut menyokong hak dan kuasa rakyat, serentak dengan usaha berterusan untuk meningkatkan rangka politik negara sesuai dengan harapan dan kepentingan rakyat.

Jadi, di manakah letaknya kepentingan rakyat yang menjadi kata-kata mulia dan suci kepada parti ini? Semasa Abdul Khalid diagung-agungkan sebagai ekstra cekap dalam mentadbir negeri, beliau pula mahu disingkirkan. Sungguh, satu tindakan yang songsang.

Alasannya, Abdul Khalid yang telah ‘dilucutkan’ segala jawatan dalam PKR, secara berulang kali dikata gagal memenuhi permintaan parti. Abdul Khalid diketepikan hanya kerana tidak melayani kerenah parti. Realitinya, begitu besar jurang antara kepentingan rakyat dan kepentingan parti ini.

Akhirnya pemimpin yang mereka sendiri label prorakyat ini dibuang. Gerakan yang dibuat untuk menyingkirkan seorang menteri besar ini pun bukan kepalang sehingga satu negara ikut terpalit.

Akhirnya tercapailah matlamat tersirat Langkah Kajang yang dahulu disembunyikan. Seorang isteri yang selama ini menjadi pengganti kekuasaan Anwar dipilih lagi untuk menggantikan tempat Abdul Khalid sebagai menteri besar.

Mujurlah pada saat-saat yang begitu genting ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang muncul dengan pendirian tegas untuk menunjukkan partinya masih ada maruah. Dari awal Pilihan Raya Kecil Kajang dicipta, kepimpinan Pas Selangor khususnya sangat tegas dengan pendirian bahawa Langkah Kajang bukan bertujuan untuk menukar menteri besar.

Abdul Hadi yang daripada awal disebut-sebut akan menjadi penghalang misi peribadi Anwar itu akhirnya bersuara. Dalam hal ini, kumpulan Anwarinas dalam kepemimpinan Pas nampaknya belum berjaya memperdayakan Abdul Hadi.

Abdul Khalid juga bukanlah senaif yang pimpinan PKR sangkakan. Setelah berjaya checkmate PKR di Kajang dahulu, beliau lakukan lagi checkmate dengan menawan terlebih dahulu Abdul Hadi, satu lagi kunci kepada apa juga perubahan dalam kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor.

Gambar ziarah Abdul Hadi dan orang perantara selepas tarawih ke kediaman Menteri Besar Selangor yang tersebar dua minggu lalu menceritakan segala-galanya. Anwar tidak selamanya boleh berleluasa bertindak ala diktator.

Masa untuk menunjuk-nunjuk kuasa sudah berlalu. Kali ini, tidak semua keinginan Anwar akan dipenuhi terutama dalam bab memilih isterinya sendiri untuk menjadi penguasa di negeri terkaya di Malaysia itu. Apatah lagi bagi menggantikan orang yang dianggap prorakyat.

Anwar sepatutnya berasa malu. Abdul Hadi seperti menampar muka Anwar dalam keadaan Ketua Umum PKR itu begitu yakin usulnya akan diterima dengan mudah. Seperti yang dapat disaksikan setakat ini, amalan ‘isterisme’ akhirnya menjadi bahana kepada Anwar dan pelingkup kepada PKR.

Apa lagi helah PKR selepas ini. Gerak Anwar selalu berhelah. Hadangan Abdul Hadi dan sebahagian pimpinan Pas Selangor yang mempunyai 15 kerusi dalam DUN Selangor itu mungkin akan kandas di tengah jalan.

Lucunya, Anwar selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, Rabu lalu yang tidak dihadiri oleh Abdul Hadi menyatakan tidak akan memainkan peranan dalam hal ehwal di peringkat negeri sekiranya Wan Azizah dilantik menjadi menteri besar. Begitukah?

Beliau malah berjanji akan melepaskan jawatan Penasihat Ekonomi Selangor yang bergaji RM1 itu. Mereka kemudiannya dilihat seperti sama-sama berbahagi harta perang apabila Rafizi Ramli disebut-sebut bakal memegang jawatan itu manakala orang kepercayaan Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Johari Abdul akan dilantik membantu Wan Azizah.

Melihat kepada kesungguhan PKR kali ini, pasukan Anwar termasuk dalam DAP dan Pas nampaknya sudah bersedia untuk menghadapi yang terburuk termasuk pembubaran DUN. Maka, bersiap sedialah kita untuk sekali lagi ikut terjerumus dalam kerenah songsang parti ini.

ZULKEFLI HAMZAH Utusan/Rencana/20140727
Subscribe

  • Hampir semua berita berbaur politik

    Kita terlampau berpolitik, setuju? oleh Merrepak 24 Mac 2019 adalah dipersetujui. Setiap hari tentunya kita akan membaca dan memperolehi berita…

  • Print media still has a role

    Avoid straining your eye and outlook and ‘never say die’ is maybe what I understand of the writing by the NST group editor, Rashid Yusof…

  • Media cetak masih relevan

    Elakkan dari menyakitkan mata dan pandangan anda dan 'jangan mengalah' mungkin apa yang saya faham tentang penulisan oleh editor kumpulan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments