kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Beraya di lebuh raya

Syarikat konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) menjangkakan sebanyak 1.5 juta kenderaan bakal menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari pada hari-hari puncak iaitu 25, 26 dan 27 Julai serta 1, 2 dan 3 Ogos pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Dengan pertambahan trafik dalam jumlah yang amat besar ini, bermakna PLUS juga terpaksa menambahkan bilangan pekerjanya bagi melancarkan perjalanan orang ramai untuk pulang ke kampung

Sama seperti anggota pasukan keselamatan dan perubatan, ramai kakitangan PLUS tidak dapat meraikan hari raya dengan keluarga kerana perlu bekerja pada musim perayaan.

Sebagai kakitangan PLUS, bertugas di musim perayaan bukan sesuatu yang pelik tetapi sudah menjadi lumrah bagi mereka. Ini kerana peranan mereka ini amat penting supaya lebuh raya yang digunakan selamat dan selesa untuk pengguna balik kampung ataupun pergi bercuti.

Pengarah Urusan yang juga ketua Pegawai Eksekutif PLUS, Datuk Noorizah Abd. Hamid berkata, staf PLUS bukan terpaksa bekerja pada Hari Raya Aidilfitri tetapi semua musim perayaan kerana terdapat peningkatan trafik yang mendadak di lebuh raya.

Katanya, di musim perayaan seperti ini, PLUS terpaksa menambah antara 30 hingga 40 peratus kakitangan bertugas terutamanya di barisan hadapan dan operasi.

"Contohnya di Pusat Pemantauan Trafik (TMC) PLUS, kalau ikutkan pada mereka ini memang bekerja tiga syif. Jadi, kita beroperasi 24 jam. Dalam tiga syif itu, kalau hari biasa, ada 20 orang bekerja pada setiap syif tetapi pada musim perayaan, kita tambah sampai 30 orang.

"Bayangkan, kalau pada hari biasa kita terima sekitar 3,000 panggilan sehari tetapi dalam musim perayaan, kita terima dalam 8,000 hingga 9,000 panggilan sehari," katanya.

Petugas TMC PLUS

Antara pekerja TMC PLUS yang tidak dapat beraya bersama keluarga pada tahun ini ialah Zaidatul Ain Zorkapri yang bertugas di Persada PLUS. "Perasaan sebelum bertugas masa hari raya ini agak sedihlah. Tapi sudah biasalah dalam masa lima tahun dan sudah jadi macam benda biasa. Tak ada apa." katanya.

Menurut Zaidatul, waktu kerja di musim perayaan sama sahaja dengan hari biasa iaitu sekitar 12 jam dan mungkin bertambah sedikit bergantung pada operasi.

"Selalunya orang telefon TMC untuk bertanyakan status trafik. Selepas itu, kita akan tengok ada kereta rosak atau kemalangan. Kita akan kendalikan dari sini," ujarnya.

Bagi Muhammad Noramin Md. Taib yang telah bertugas di TMC PLUS selama enam tahun, sama seperti tahun-tahun sebelum ini, dia perlu bertugas pada hari raya kali ini.

"Rasa seperti biasa tetapi dalam hati siapa yang tahu. Cuma kena fikir positif bahawa perayaan itu adalah hari raya yang perlu saya lalui juga walaupun terpaksa bertugas. Rasa sedih ada juga di hati tetapi tetap menjalankan tugas di PLUS," katanya.

Kata Muhammad Noramin, walaupun ketika hari raya, tidak ramai menggunakan lebuh raya kerana sedang beraya di kampung masing-masing, TMC tetap beroperasi 24 jam bagi menghulurkan bantuan kepada pengguna yang menghadapi masalah.

"Waktu hari raya ini kebanyakan bengkel kereta tutup. Tapi kita ada bantuan PLUSRonda yang sedikit sebanyak boleh membantu kerosakan kenderaan penguna-penguna lebuh raya. Seperti masalah enjin panas, PLUSRonda bantu beri air atau kita nasihatkan pengguna ke plaza tol berhampiran untuk lebih selamat," katanya.

Seorang lagi petugas TMC PLUS yang bertugas semasa hari raya ini, Noor Fazlina Diran berkata, dalam musim perayaan, setiap petugas biasanya perlu mengendalikan antara 300 hingga 400 panggilan sehari untuk setiap syif iaitu 12 jam.

"Biasanya, panggilan banyak diterima sepanjang Op Sikap dan dalam tiga hari sebelum hari raya kerana orang hendak tanya status trafik. Selepas hari raya, biasalah trafik agak sesak sedikit.

"Hari raya tahun ini, kita jangka lebuh raya agak sesak sebab cuti panjang. Jadi, trafik maksimum pada Sabtu dan Ahad. Situasinya agak sama juga bagi perjalanan balik selepas hari raya," katanya.

Pekerja PLUSRonda

Sementara itu, Arzalizam Ariffin memberitahu, di musim perayaan ini, petugas PLUSRonda perlu bertugas 12 jam untuk setiap syif berbanding lapan jam pada hari biasa.

"Pada musim perayaan ini, banyak kereta hadapi masalah tayar bocor dan enjin terlebih panas. Bagi kawasan yang mempunyai aliran trafik yang amat sesak, banyak kenderaan biasanya hadapi masalah enjin terlebih panas ini.

"Sempena musim perayaan ini, saya ingin berpesan kepada pengguna PLUS supaya berhati-hati di jalan raya. Sebelum memulakan perjalanan, periksa keseluruhan keadaan kenderaan untuk mengelakkan kita mengalami kerosakan di jalan," katanya.

Bagi Muhammad Asri Ibrahim yang telah berkhidmat selama 18 tahun dengan PLUSRonda, berdasarkan pengalamannya, bertugas di hari raya agak mencabar kerana perlu melakukan lebih banyak kerja kerana peningkatan aliran trafik.

"Cabaran ini seperti melibatkan kes kemalangan dan kerosakan. Paling teruk apabila kes kemalangan. Namun, kita perlu banyak bersabar dalam menjalankan tugas.

"Waktu rehat kita juga tidak menentu masa dan tempat. Kita akan kerja dan kalau sempat kita akan berehat tetapi kalau ada kes kemalangan, kita akan terus pergi ke tempat kemalangan," katanya.

Muhammad Asri turut menasihatkan orang ramai yang ingin pulang beraya supaya memeriksa kenderaan terlebih dahulu kerana kebanyakan kenderaan yang rosak semasa musim perayaan disebabkan tidak diselenggara atau diperiksa sebelum memulakan perjalanan jauh.

Petugas plaza tol

Seorang petugas plaza tol, Haslinda Mohd. Hashim berkata, walaupun sedih tidak dapat beraya bersama keluarga tetapi dia tetap seronok dapat meraikan hari lebaran dengan rakan-rakan yang turut bertugas.

Katanya, tugas di plaza tol mungkin bertambah sedikit semasa waktu puncak iaitu tiga hari sebelum hari raya dan tiga hari selepas itu kerana aliran trafik yang tinggi tetapi ia bukanlah satu masalah kerana sudah biasa dengan keadaan itu.

"Di samping itu, kadang-kadang kita perlu berhadapan dengan kerenah-kerenah pengguna yang terpaksa tunggu lama untuk bergerak apabila jalan sesak," katanya.

Bagi Khairul Izwan Mohamad Isa pula, hari raya tahun ini merupakan kali pertama dia tidak dapat beraya dengan keluarga kerana terpaksa bertugas.

"Orang lain semua balik kampung tetapi saya perlu bekerja. Sedih bila tengok kereta orang sebab terkenang keluarga yang jauh dan kita pula tidak dapat balik beraya.

"Memang sedih sebab bekerja di hari raya ketika orang lain sedang bergembira tetapi hendak buat macam mana, kita perlu memberikan perkhidmatan kepada pengguna lebuh raya," katanya yang bercadang pulang ke kampung seminggu selepas hari raya.

Seorang lagi petugas plaza tol, Rohaizan Johari, walaupun telah 15 tahun berkhidmat dengan PLUS dan bekerja di hari raya sudah menjadi perkara biasa tetapi perasaan sedih tetap ada apabila berjauhan dengan keluarga di hari raya.

"Cabaran bertugas di hari raya ialah pada mental dan bukannya jumlah kenderaan. Ini kerana kita tidak bersama keluarga di hari raya. Anak-anak semua di kampung. Jadi, perasaan sedihlah," katanya. Utusan/Rencana/20140727

Tags: raya
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments