kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mao Tse-tung sorok hidup mewah

Ramai kenalan saya - termasuk pegawai-pegawai polis yang telah bersara menanya saya kenapa banyak sekali saya menulis isu komunis, terutama tentang Mao Tse-tung dan keadaan di negara China di bawah pemerintahan Parti Komunis China (PKC), berserta dengan gambar-gambarnya. Ada juga yang menganggap coretan-coretan saya lebih menumpu kepada ‘komunis bandar’. Maknanya, mereka tertanya-tanya, kenapa saya tidak menulis juga tentang ‘komunis luar bandar’ (atau ‘komunis hutan’). Memang pun, pengalaman kita di Malaysia lebih tertumpu kepada penumpasan komunis di hutan bermula pada tahun 1948.

Jika dihalusi tulisan-tulisan saya pada peringkat awal, saya telah menyatakan sebab-sebabnya secara tersurat dan tersirat. Tersurat adalah untuk membuktikan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) - sejak ia ditubuhkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 1930, adalah untuk merampas kuasa politik dan menubuhkan sebuah negara komunis yang dinamakan Republik Rakyat Malaya. Ia satu bahagian ‘kecil’ daripada perjuangan ‘besar’ komunis antarabangsa untuk menjadikan seluruh dunia diperintah oleh orang-orang komunis yang bermula pada awal abad yang lalu.



Penulis buku Mao: The Unknown Story, Jung Chang dan suaminya Jon Halliday. Jung Chang lahir di Yibin, Provinsi Sichuan pada 1952. Dia menjadi Red Guard sebagai murid sekolah ketika umurnya 14 tahun, kemudian bekerja di ladang dan kilang besi ketika berumur belasan tahun. Kedua-dua ibu bapanya menjadi mangsa Revolusi Kebudayaan walaupun mereka memegang jawatan penting dalam parti komunis.

Saya juga ingin memberitahu rakyat kita- dan ini termasuklah orang-orang politik ‘kecil’ atau ‘besar’- PKM bukan pada dasar atau prinsipnya berjuang untuk memerdekakan Tanah Melayu dari belenggu penjajahan Inggeris. Penentangan bersenjata mereka terhadap Inggeris bersifat incidental (secara kebetulan), kerana penjajah Inggeris - seperti yang sepatutnya - adalah kuasa yang memberi tentangan kuat terhadap hasrat mereka. Bererti, jika pun Malaya, misalnya, tidak dijajah oleh mana-mana kuasa luar, parti komunis akan tetap menentang secara kekerasan sesiapa jua yang memerintah negara kita.

Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu tentang peristiwa Bukit Kepong 1950, yang berkesudahan saya tertampil di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang sebagai saksi membela defendan, akhbar Utusan Malaysia yang disaman oleh Mat Sabu, adalah contoh klasik bagaimana orang politik dengan mudah boleh ‘terbelit’ oleh dakyah orang komunis.

Seruan PKM bahawa mereka berjuang untuk membebaskan negara daripada penjajahan adalah propaganda semata-mata untuk mempengaruhi rakyat supaya menyokong mereka. Dari sudut inilah kenapa ramai anak muda tempatan dahulu, yang berapi-api ‘bencikan’ penjajah, terperangkap dalam taktik dan dakyah perjuangan PKM. Walaupun pada asalnya mereka bukan orang jati komunis. Saya akan kisahkan ini apabila saya menulis tentang Tanah Melayu dan pengalaman kita menentang PKM. Kisah ini akan ditulis setelah saya habis menceritakan Mao Tse-tung dan Parti Komunis China serta - insya-Allah - selepas itu, menceritakan pula tentang Soekarno dengan putar belit politiknya mendampingi Parti Komunis Indonesia (PKI) untuk semacam meneruskan‘tahap kedua’ revolusi Indonesia, iaitu untuk memenuhi visi Soekarno menegakkan sebuah negara Indonesia Raya yang daerahnya melepasi sempadan wilayah peninggalan penjajah Belanda. Memanglah sejarah telah menunjukkan penyekutuan Soekarno dengan PKI itu terbukti menjadi senjata menikam tuan bagi Soekarno sendiri.

Kemudian, pengisahan saya tentang Mao Tse-tung ini adalah juga untuk menunjukkan bahawa fahaman ‘Pemikiran Mao Tse-tung’ (Mao Tse-tung’s Thoughts) yang dipegang teguh oleh PKM ialah fahaman songsang dan gila. Malah, ramai pakar sejarah mengatakan pemikiran Mao sangat bertentangan dengan ajaran Marxisme. Bayangkanlah apa bakal terjadi kepada negara kita jika PKM menang dalam pemberontakan bersenjatanya.

Saya kembali kepada kisah Mao Tse-tung dengan dasar Great Leap Forward yang digerakkannya di China. Saya tertarik kepada ulasan-ulasan penulis Jung Chang-Jon Halliday dalam buku mereka Mao: The Unknown Story. Keadaan kebuluran di China telah menyebabkan Mao sentiasa waspada yang dia akan kehilangan kuasa menerusi Kongres parti. Ini terutama menjelang akhir tahun 1961. Menurut Jung-Halliday: "Mao had reason to worry. Even his Praetorian Guards(pengawal peribadi), the people he relied on for his life, voiced bitter sentiments against him. "Where is all this grain that has been harvested?" one soldier said. "Is it Chariman Mao’s order that people should only eat grass?" asked another. "He can’t just take no notice of whether people live or die…" Yet another : "Now the folks in the villages don’t even have the food that dogs used to eat. In the old days, dogs had chaff and grain … And the commune members are saying: "Does Chairman Mao want to starve us all to death?" The Guards were promptly purged (halaman 493)."

Tentangan

Menurut Jung-Halliday, Mao telah mengesyaki seawall tahun 1959 - setahun setelah Great Leap dimulakan bahawa ada tentangan mendalam terhadapnya dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti komunis. Di peringkat provinsi-provinsi, kader-kader parti "would burst into tears when reporting what they had seen in the villages. Moreover, Mao’s policies had brought starvation to themselves (caders) and their families." Tetapi, Mao menjawab keluhan-keluhan ini dengan mencari scapegoats.

Dia mula-mulanya menuduh kader-kader parti di peringkat kampung kononnya telah "beating the people up and beating them to death, and for causing grain harvests to drop and people not to have enough food to eat (halaman 493)." Mao juga menuduh Rusia yang turut menyebabkan keadaan kebuluran di China, selain sebab keadaan cuaca. Tetapi menurut Jung-Halliday: "…meteorological records show that not only were there no natural calamities in the famine years, but the weather was better than average (halaman 493)."

Mao juga cuba memenangi kader-kader parti dengan memberitahu mereka dia akan "share weal and woe with the nation," dan tidak makan daging. Tetapi hal ini, menurut Jiang-Halliday, hanya untuk sebentar sahaja. Di tengah-tengah masa kebuluran di China, Mao menjadi penagih makanan Barat bersendikan daging. Kata Jiang-Halliday: "On 20 April 1961, a comprehensive menus was presented to him, under seven headings : seafood, chicken, duck, pork, lamb, beef and soup - each with scores of dishes (halaman 494)."

Semasa zaman kebuluran ini juga Mao mengambil langkah-langkah ketat supaya gaya hidup mewahnya tidak sampai ke pengetahuan umum. Menurut Jiang-Halliday, anak perempuan Mao bernama Li Na, yang menuntut di sebuah universiti berasrama di Beijing, menghadapi keadaan kekurangan makanan di asrama universitinya. Suatu ketika, Li Na ‘menyeludup’ keluar bahan makanan luxuries bapanya untuk di bawa ke universiti. Apabila Mao mendapat tahu perbuatan anaknya, Mao pantas memarahi Li Na dan melarangnya mengulangi perbuatan itu. "Nothing must puncture the illusion that he was tightening his belt along with the rest of the nation. As a result, Li Na contractedoedema in 1960, and she stopped menstruating. The following year she abandoned the university altogether and stayed at home (halaman 494)."

Dalam satu peristiwa lain, apabila seorang lagi anak perempuan Mao bernama Chiao-chiao (dari isterinya yang terdahulu, Kai Hui) pergi menziarahi kubur arwah ibunya, dia mendengar orang di kelilingnya memaki-hamun Mao, dan ini dilaporkannya kepada Mao. Apabila Peng De-huai, bekas Menteri Pertahanan yang disingkirkan Mao pada 1959 dan dikenakan hukuman tahanan rumah, pulang ke kampung kelahirannya di provinsi Henan pada bulan Oktober 1961, dia disambut hangat oleh pegawai-pegawai parti dan kerajaan serta penduduk tempatan kerana mereka tahu Peng telah disingkirkan kerana menentang dasar-dasar Mao. Kata Jung-Halliday: "Two thousand ‘pilgrims’, some of whom had walked up to 100 km on half-empty stomachs, poured into Peng’s old family home to thank him for speaking up (halaman 494)." Peng telah bercakap kepada orang-orang yang menziarahnya sampai dia kehilangan suara, ujar Jung-Halliday.

Saya menceritakan hal-hal yang berlaku di sekitar kebencian rakyat China terhadap Mao Tse-tung yang dikaitkan secara langsung dengan wabak kebuluran di China selama hampir empat tahun 1958-1962 itu adalah dengan sebab pada penghujung tahun 1961, Parti Komunis China telah membuat keputusan untuk mengadakan apa yang disebut ‘Conference of the Seven Thousand Cadres’. Ini berlangsung pada bulan Januari 1962, dihadiri oleh 7,000 orang pemimpin yang datang dari seluruh pelosok China.

Ini merupakan persidangan terbesar dalam sejarah Parti Komunis China. Kata Jung-Halliday: "It proved to be a landmark, because it was after this conference that famine was brought to a halt. But, what is little known is that this victory was only secured by Liu Shao-chi ambushing Mao (halaman 495)."

Saya akan menceritakan dalam coretan akan datang apakah yang terjadi semasa persidangan Seven Thousand Cadres itu. RAHIM NOOR: Utusan/Rencana/20140727

Tags: komunis, mao
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments