kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mercun, bunga api: Dahulu haram, kini ...

Berdentum-dentam bunyi mercun membelah suasana malam-malam Lailatulqadar. Itu menandakan Hari raya semakin dekat dan puasa Ramadan akan berakhir.


Esok, semua umat Islam negara ini akan meraikan ketibaan 1 Syawal. Maknanya kita merayakan Aidilfitri.

Saban tahun sambutan malam-malam terakhir Ramadan dihiasi dengan letupan mercun dan bunga api. Seolah-olah sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak meriah kalau tanpa bunyi mercun dan cahaya bunga api.

Dahulu semasa bersekolah rendah, saya pun main mercun dan bunga api. Kalau nak tengok orang main meriam buluh atau meriam besi, saya pergi ke kampung rakan. Sebab masa itu saya tinggal di kawasan kuarters lombong bijih timah di Puchong.

Di kampung rakan, saya dapat saksi mereka bermain meriam besi atau meriam yang diperbuat daripada tin-tin milo yang ditanam di dalam tanah. Cara mainkannya, masukkan kabait yang dicampur sedikit air ke dalam lubang meriam itu. Tunggu beberapa saat supaya kabait dan air bertindak balas, kemudian cucuh api pada satu lubang kecil meriam itu. Boom!!! bunyi letupan menggegarkan kawasan sekeliling. Kekuatan bunyi letupan bergantung pada banyaknya kabait yang digunakan.

Itu pengalaman saya semasa tahun awal 1970-an. Ketika itu tidak timbul soal lesen atau pengharaman main mercun.

Apabila seorang demi seorang kalangan kanak-kanak dan remaja belasan tahun cedera parah akibat mercun dan bahaya bunga api maka permainan itu diharamkan.

Banyak kesan buruk akibat mercun. Malah pembakaran mercun termaktub dalam Akta Bahan Letupan pindaan 1991 dan diklasifikasikan sebagai bahan letupan kecil.

Macam-macam hujah untuk menolak permainan itu. Ada yang kata bermain mercun bukan budaya Islam. Amalan membakar mercun ialah budaya masyarakat Cina untuk menyambut perayaan atau meraikan sesuatu kejayaan. Tapi kalau diperhatikan betul-betul, orang Cina main mercun tak macam budak Melayu main. Tak ada pun dilaporkan cedera akibat mercun.

Tetap muncul

Walaupun pembakaran mercun dan bunga api diharamkan, tetapi ia tetap muncul setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri. Maklumlah bukan selalu mereka main mercun dan bunga api, raya pun setahun sekali.

Bukan tidak ada aduan orang ramai. Tetapi apabila setiap aduan orang ramai terhadap pembakaran mercun kepada pihak berkuasa tidak dipedulikan, orang ramai pun kecewa dan membiarkannya sahaja.

Oleh itu penjualannya tak dapat dibendung. Mungkin kerajaan secara beransur-ansur sudah ‘menghalalkan’ penjualan dan pembakaran mercun. Kini kegagalan beberapa ‘saintis’ muda Melayu melakukan uji kaji terhadap mercun hanya mengundang simpati sahaja. Itu kesudahan nasib mereka. Siapa degil terima padahnya.

Sebab itu, kalau dulu penjual mercun takut menjual secara terbuka, kini dengan mempamer salinan lesen berlogo PDRM, mereka sudah bebas menjualnya. Di pasar-pasar malam, melambak orang jual mercun dan bunga api. Sekarang pula, ada yang lebih maju dengan mempromosi mercun dan bunga api pelbagai jenis melalui laman sosial.

Entahlah mungkin sebab kurang penguatkuasaan, maka penjualannya dilonggarkan dengan syarat peniaga kena mohon lesen.

Apa pun, saya rasa keliru - mercun dan bunga api jenis apa yang dibenarkan dibawa masuk dan dilarang dijual kepada umum. Semakin dilarang, semakin berleluasa pula penjualannya.

Kalau diperhatikan setiap tahun, pihak berkuasa membuat intipan dan rampasan terhadap penyeludupan bahan terlarang itu. Tetapi biasanya bahan mercun dan bunga api yang dikata bernilai ratusan hingga jutaan ringgit itu berjaya dirampas tetapi penyeludup itu satu dua sahaja yang berjaya diberkas. Selepas rampasan mercun dan bunga api haram, apa dilakukan terhadap rampasan tersebut - dihapuskan atau dijual lelong.

Ungkapan kata-kata amaran daripada penguat kuasa seperti ‘akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba menyeludup dan menjual mercun serta bunga api’ tidak memberi makna apa-apa lagi. Penyeludupan dan penjualan bahan itu masih terus berlaku.

Kalau benar pembakaran mercun dan bunga api diharamkan, kenapa dalam majlis anjuran kerajaan sendiri, pertunjukan bunga api diadakan. Dapat permit atau tidak bukan soal utama, tetapi ia tetap berbahaya.

Entahlah kita bersungguh-sungguh atau tidak terhadap pengharaman mercun dan bunga api ini? Atau saya silap bahawa ada mercun dan bunga api yang dibenarkan dijual. Biasanya berlaku penyelewengan bila kita tidak tegas dengan perkataan ‘pengharaman’.

Apa pun menjelang hari mulia ini saya mohon maaf zahir dan batin kepada pembaca dan bergembiralah pada Hari Raya Aidilfitri ini.   AZMAN ANUAR Utusan/Rencana/20140727

Subscribe

  • Wise and Positive Words Jan 20

    Today's Inspirational Quote:"Do not wait; the time will never be 'just right.' Start where you stand, and work with whatever tools you may…

  • Wise and Positive Words Jan 7

    Today's Inspirational Quote:"Then give to the world the best you have, and the best will come back to you." -- Madeline Bridges…

  • Wise and Positive Words Jan 6

    Today's Inspirational Quote: "The self is not something ready-made, but something in continuous formation through choice of action." --…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments