kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mampukah Khalid bertahan?

BEBERAPA Jam selepas mesyuarat Majlis Pimpinan pakatan pembangkang di Bangunan Parlimen selesai pada Rabu lalu, ejen-ejen propaganda dan 'balaci politik' Parti Keadilan Rakyat (PKR) mula menyebarkan dakyah.


Mereka menyatakan kononnya Pas bersetuju cadangan parti itu khususnya daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memilih Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Propaganda murahan itu berterusan dalam tempoh 24 jam sehingga ia menimbulkan kegelisahan dalam kalangan pemimpin dan penyokong Pas.

Pada masa sama penyokong-penyokong PKR khususnya musuh politik Abdul Khalid berasa gembira kerana akhirnya agenda mereka untuk menyingkirkan beliau kini berada di ambang kejayaan.

Bagaimanapun segala impian PKR itu tidak menjadi kenyataan apabila buat pertama kalinya dalam sejarah hubungan antara kedua-dua parti, Pas secara terbuka berani menyanggah 'kegilaan' politik PKR apabila dalam laman web rasmi Pas menyiarkan kenyataan penuh Majlis Pimpinan pakatan pembangkang dengan sedikit penambahan apabila memasukkan ayat, "Menerima bukan bererti bersetuju tetapi menerima cadangan untuk dibawa bincang ke parti masing-masing."

Kenyataan itu sekali gus bukan sahaja memusnahkan harapan penyokong PKR tetapi paling utama Anwar yang begitu sudah cukup gelisah hendak menggantikan Abdul Khalid. Malah Anwar menerima tamparan lebih hebat apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka membuat kenyataan menyokong Abdul Khalid.

Hujah Abdul Hadi mudah sahaja iaitu: "Beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat,'' dan Abdul Hadi juga menegaskan, "Kalau beliau (Abdul Khalid) terlibat dengan skandal, pecah amanah, salah guna duit Selangor, itu ya (sememangnya) kita boleh tukar. Tapi kalau alasan-alasan yang lain, itu kita boleh urus tetapi bukanlah dengan cara tukar menteri besar dan biarlah dia habis tempoh penggal."

Isyarat yang Abdul Hadi dan Pas mahu berikan kepada Anwar ialah PKR tidak berhak menggantikan Menteri Besar Selangor dengan sewenang-wenangnya hanya semata-mata perebutan kuasa politik dalam parti tersebut.

Lagi pula apa kuasa yang ada pada Anwar untuk berbuat demikian di negeri berkenaan sedangkan PKR hanya memiliki 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja berbanding masing-masing 15 yang dikuasai oleh Pas dan DAP.

Malah kenyataan Abdul Hadi diperkukuhkan lagi dengan pendirian Dewan Ulama Pas yang menegaskan tiada alasan syarie yang kukuh dikemukakan setakat ini untuk mewajarkan penukaran beliau.

Dalam bahasa mudah, tiada apa-apa kemudaratan yang dibawa oleh Abdul Khalid kepada rakyat sehingga memungkinkan beliau wajib ditukarkan. Ketika ini Menteri Besar Selangor tersebut menjalankan tugas dengan baik dan tidak melakukan sebarang penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan.

"Oleh itu tiada keperluan untuk beliau diubah, kalau ubah juga ia bukan sahaja haram malah mungkin boleh mendatangkan ketentuan dan ketidakstabilan kepada politik Selangor," kata seorang pemimpin Pas kepada penulis ketika mengulas kenyataan Dewan Ulama itu.

Kenyataan Abdul Hadi dan Dewan Ulama tersebut seharusnya bukan sahaja memberi pemahaman kepada pemimpin-pemimpin PKR tetapi juga dalam kalangan pemimpin dan penyokong Pas sendiri supaya menghormati pendirian yang dibuat oleh kepimpinan parti.

Janganlah ketaksuban kepada Anwar dan terlalu mahu menjaga hubungan dengan PKR menyebabkan ada sesetengah pemimpin dan ahli Pas hilang sikap taat dan menghormati pemimpin sendiri.

"Abdul Hadi sudah menyatakan pendiriannya dan pendirian itu adalah satu keputusan yang perlu dipatuhi oleh semua ahli Pas. Abdul Hadi ialah Presiden dan beliau diberi mandat serta amanat menguruskan parti.

Dihormati

"Oleh itu keputusan beliau perlu dihormati terutamanya dalam kalangan pemimpin yang diberi jawatan melalui pelantikan oleh Abdul Hadi. Jangan pula mereka memadai-mandai membuat kenyataan yang bertentangan dengan pendirian Presiden parti," kata seorang pemimpin Pas Selangor kepada penulis.

Sememangnya kita memahami dalam Pas terdapat ramai pemimpin yang lebih 'berkiblatkan' Anwar sehinggakan mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk melanggar prinsip perjuangan Pas.

Mereka tidak bersedia menerima apa juga pendirian Pas yang dilihat tidak sehaluan dengan Anwar biarpun pendirian itu atas dasar prinsip sebenar perjuangan parti tersebut khususnya dalam menegakkan Islam.

Sebab itulah, bukanlah satu kejutan apabila ada pemimpin Pas menganggap kenyataan Abdul Hadi 'bukan keputusan rasmi Pas' lagi dan menganggap ia hanya pandangan peribadi. Kenyataan seumpama itu sudah tentulah akan menggembirakan Anwar dan pemimpin-pemimpin PKR yang berangan-angan untuk menggantikan Abdul Khalid.

Sepatutnya, pemimpin-pemimpin Pas tersebut menghormati pendirian Abdul Hadi dan Dewan Ulama, bukannya membuat kenyataan yang dilihat bertentangan dan menampakkan dalam Pas sendiri tidak ada kesepakatan.

Jika keadaan ini berterusan ia boleh menjejaskan imej Pas dan mengesahkan pandangan banyak pihak sebelum ini bahawa parti itu semakin rosak akibat ada pemimpin parti itu lebih menyanjungi Anwar berbanding pemimpin Pas biarpun dalam kalangan ulama.

Apa pun Abdul Hadi perlu tegas dalam soal ini begitu juga Dewan Ulama. Mereka tidak boleh ‘hangat-hangat tahi ayam’ dalam mempertahankan Abdul Khalid.

Abdul Hadi dan Dewan Ulama perlu menunjukkan mereka mempunyai cengkaman dan maruah dalam memimpin Pas dan tidak akan tunduk kepada golongan pejuang Anwar dalam parti itu.

Sudah cukup selama ini, Pas dipandang rendah oleh banyak pihak kerana dilihat menjadi 'pak turut’ dalam pakatan pembangkang, sampai bilakah keadaan ini harus dibiarkan berterusan?

Oleh itu diharapkan Abdul Hadi akan menunjukkan ketegasan beliau dalam soal ini. Beliau ialah Presiden yang mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir parti dan bukannya tunduk kepada sebarang tekanan luaran mahupun dalaman.

Penulis percaya, ketegasan Abdul Hadi akan turut memberi keyakinan kepada Abdul Khalid untuk menjalankan tugasnya tanpa perlu rasa bimbang.

Bagaimanapun penulis diberitahu Abdul Khalid tidak pernah berasa tergugat dengan ancaman politik yang cuba dilakukan kepimpinan PKR selama ini.

Malah pada Rabu lalu, ketika Anwar dengan begitu yakin mengemukakan cadangan kepada kepimpinan kanan Pas dan DAP untuk menggantikan Abdul Khalid, Menteri Besar Selangor itu menjalankan tugas seperti biasa. Beliau menghadiri majlis berbuka puasa di Kuala Selangor dan hadir satu majlis di Unisel, Shah Alam kira-kira pukul 11.30 malam.

Namun begitu, sama ada Abdul Khalid akan selamat atau tidak, ia bergantung sejauh manakah Pas akan tegas dengan pendiriannya mempertahankan beliau.

Dan diharapkan ketegasan Pas akan berkekalan memandangkan "dalam kalangan pemimpin PKR, tiada bersikap seperti pemimpin Pas tetapi dalam kalangan pemimpin Pas ada berperangai seperti pemimpin PKR.’’ Justeru Abdul Hadi perlu tegas. ZUKKIFLEE BAKAR Utusan/Rencana/20140727

Tags: politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments