kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Dapatkan Gaza pembelaan mutlak

KETIKA seluruh umat Islam di Malaysia bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan meriah esok, lebih 1.7 penduduk Palestin di Gaza tidak bernasib baik apabila diserang oleh rejim Zionis Israel. Jika sambutan Aidilfitri di sini diraikan dengan letupan mercun, rakyat Palestin pula terpaksa berhadapan hujanan peluru daripada tentera Israel.

Setakat ini, lebih 1,000 penduduk Palestin telah terbunuh dan angka tersebut akan terus bertambah. Apa yang menyedihkan, penderitaan rakyat Palestin yang telah dizalimi dan ditindas oleh rejim Zionis Israel sejak puluhan tahun dahulu tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada dunia.

Malah, Israel bebas melakukan sewenang-wenangnya tanpa sebarang tindakan sama ada sekatan ekonomi atau ketenteraan diambil ke atas negara Yahudi yang ditubuhkan atas tanah Palestin itu. Perbuatan tidak berperikemanusiaan Israel itu juga sering mendapat pembelaan daripada negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat (AS).

Untuk itu, wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI telah mewawancara Pengerusi Aqsa Syarif Berhad yang aktif menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Nor bagi mendapatkan pelbagai penjelasan tentang serangan Israel ke atas Gaza baru-baru ini serta program bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.

"Kalau kita tengok statistik puluhan ribu rakyat Palestin hari ini berada dalam penjara-penjara Israel dan jumlah yang besar terdiri daripada kanak-kanak. Jadi, bila mereka melakukan serangan atas alasan berlaku penculikan, itu hanyalah satu alasan semata-mata," kata Dr. Hafidzi.

MINGGUAN: Israel mula melancarkan serangan ke atas Gaza awal Julai lalu. Serangan ini bermula selepas tiga remaja Yahudi diculik di Tebing Barat dan kemudiannya ditemui mati dibunuh. Adakah tindakan ketenteraan oleh rejim Zionis Israel ini yang telah membunuh lebih 1,000 penduduk Palestin ini wajar?

DR. HAFIDZI: Sudah pasti ia bukan tindakan kerajaan Hamas atau pejuang Hamas pun. Kita tidak terkejut kalau penculikan ini dilakukan oleh penduduk Gaza atas inisiatif mereka sendiri. Sebab, sebenarnya penduduk gaza sudah terdedah bukan sahaja penculikan, tembakan rambang dan pembunuhan sejak sekian lama, malah sering kali tidak mendapat perhatian media antarabangsa.

Bahkan tak berapa lama dulu, ada seorang kanak-kanak ditembak dari sempadan ketika dia sedang bermain-main, tanpa sebarang sebab. Jadi, kezaliman dan juga penindasan, bahkan pembunuhan yang berlaku kepada penduduk Gaza sudah berlaku sejak lama, bahkan puluhan tahun.

Kalau kita tengok statistik puluhan ribu rakyat Palestin hari ini berada dalam penjara-penjara Israel dan jumlah yang besar terdiri daripada kanak-kanak. Jadi, bila mereka melakukan serangan atas alasan berlaku penculikan, itu hanyalah satu alasan semata-mata.

Kalau kita perhatikan tindakan mereka membakar hidup-hidup seorang remaja berusia 13 tahun ketika pulang dari masjid itu lebih dahsyat dan menuntut satu proses keadilan yang lebih wajar berbanding jenayah yang kononnya dilakukan oleh penduduk Gaza.

Dari segi aspek persenjataan atau bilangan tentera berbanding Israel yang mempunyai pasukan tentera terkuat di Timur Tengah, bagaimana tuan melihat kemampuan Hamas untuk menghadapi serangan Israel ini?

DR. HAFIDZI: Israel mungkin mempunyai senjata yang sofistikated dan bilangan tentera yang besar tetapi mereka tidak mempunyai jati diri yang menjelma dalam bentuk keberanian. Sebab mereka selama ini berselindung di sebalik peralatan ketenteraan yang canggih. Mereka mendapat bantuan tanpa batas daripada AS. Oleh kerana itu, mereka terlalu yakin kerana bergantung semata-mata kepada peralatan dan kecanggihan senjata tetapi mereka tidak mempunyai jati diri yang dimiliki oleh penduduk Gaza.

Walaupun pejuang Hamas dan Palestin mempunyai senjata yang usang, tidak setanding dan jauh ketinggalan berbanding senjata-senjata Israel, namun mereka mempunyai semangat juang yang tidak ada tolok bandingnya. Inilah yang memberikan kelebihan kepada mereka.

Kita pun sebenarnya tidak boleh memandang rendah kemampuan pejuang-pejuang Palestin dan Hamas. Dalam serangan yang berlaku pada 2014 ini, kita dapati Israel menerima kejutan demi kejutan. Hari ini, kita menyaksikan Hamas mempunyai pasukan elit yang menyamai ciri-ciri profesional, baik dari sudut uniform, kelengkapan dan peralatan mereka, bahkan mereka menggunakan senjata-senjata moden. Jadi dari sudut imej dan kemampuan, pejuang Hamas seakan-akan tentera profesional, pasukan elit yang hampir setanding dengan Israel.

Kemudian, kita lihat dari sudut persenjataan. Walaupun Hamas bergantung pada roket yang tidak canggih tetapi kita lihat pada 2014, roket yang dilancarkan oleh pejuang Palestin mampu sampai ke sasaran yang lebih jauh berbanding roket sebelum ini.

Mereka bermula dengan roket Qassam yang sampai ke bandar-bandar sempadan seperti Ashkelon, Ashdod dan Sderot. Tetapi kemudiannya kita lihat dalam 2012, mereka melancarkan roket yang boleh sampai ke Tel Aviv yang lebih kurang 70 kilometer. Roket yang mereka lancarkan ini ialah roket Maqadma 75 (M75). Begitu juga roket ini sampai ke penempatan-penempatan Yahudi di Baitulmuqaddis ataupun Jerusalem. Kemudian dalam serangan yang terkini menyaksikan Hamas mempunyai kemampuan melancarkan roket ke Haifa dan Nahariya iaitu bandar-bandar yang paling utara di Israel dan roket itu ialah Rantisi 160 (R160). Jadi, kawasan paling utara hari ini sudah terdedah serangan roket, bererti keseluruhan Israel terdedah kepada serangan roket. Mereka juga mempunyai roket Jabari 80 (J80) yang mana roket ini apabila dilepaskan mempunyai laluan bersimpang-siur yang menyebabkan sistem pertahanan Israel, Iron Dome itu tidak mampu tuk menangkis.

Hamas juga sudah melancarkan tiga drone iaitu Ababil-1, Ababil-2 dan Ababil-3 yang mampu terbang sehingga ke dalam Israel dan mengambil gambar di tempat-tempat paling sensitif iaitu di markas ketenteraan Israel sendiri. Dua daripada drone itu berjaya kembali ke Gaza dengan selamat, satu daripadanya berjaya dipintas. Tetapi bayangkan sebuah drone yang harganya mungkin AS$100 dipintas dengan peluru berpandu yang harganya AS$300,000.

Kita juga hendak maklumkan di sini, Israel bukan sahaja mengalami kekalahan di medan bahkan mengalami kerugian yang besar. Pihak Israel sendiri mengumumkan mereka sudah membelanjakan sekitar 2 bilion shekels (RM1.85 bilion) dalam meneruskan serangan ke atas Gaza.

Pejuang Hamas juga mempunyai pasukan amphibious di mana kita lihat pasukan elit ini muncul di pantai. Kita dimaklumkan oleh sumber-sumber yang boleh dipercayai, mereka mempunyai submersible atau kenderaan yang mereka guna di dasar laut untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Kemungkinan satu teknologi ini benar-benar mengejutkan bukan sahaja pihak musuh, rejim Zionis Israel tetapi seluruh dunia termasuk kita yang mungkin selama ini memandang rendah kemampuan pejuang Palestin.

Banyak pihak di dunia sudah mula membantah keganasan Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza. Antaranya, American Studies Association (ASA) memboikot pengeluaran negara Yahudi dan kumpulan agensi pelancongan terbesar di Jerman, TUI membatalkan semua kunjungan ke Israel. Sejauh mana tindakan ini mampu memberikan kesan kepada Israel?

DR. HAFIDZI: Kalau kita hendak keberkesanan bantahan dan boikot. Kita boleh lihat dari sudut kenyataan menteri kewangan Israel sendiri. Dia menyatakan boikot yang dilancarkan hari ini boleh membahayakan ekonomi Israel. Ini adalah satu pengakuan yang jujur bahawa tindak balas, reaksi masyarakat antarabangsa yang menggunakan senjata boikot bakal menjejaskan ekonomi Israel dan akan meletakkan Israel dalam keadaan terdesak. Kemungkinan boikot ini boleh menjadi senjata paling ampuh untuk memaksa Israel tunduk kepada kehendak masyarakat antarabangsa dan patuh kepada undang-undang antarabangsa dalam isu Palestin.

Jadi, di samping penentangan yang hebat daripada pejuang Hamas, kita menjangkakan tekanan daripada masyarakat antarabangsa ini satu sudut yang berkesan bagi memaksa Israel patuh dan akur kepada undang-undang antarabangsa serta menghentikan kebiadaban dan kezaliman yang selama ini dengan sewenang-wenangnya mereka melakukan ke atas penduduk Palestin dan Gaza.

Kemudian dari sudut bantahan, reaksi dan respon daripada masyarakat terutamanya di negara-negara Barat amat memberangsangkan yang mana kita menyaksikan satu demonstrasi aman di London yang disertai 100,000 penduduk London. Ini melibatkan jumlah yang cukup besar iaitu 100,000 penunjuk perasaan tidak mungkin dapat diketepikan begitu sahaja oleh Israel. Sudah tentu ia mendapat perhatian Israel.

Kenapa Israel tidak mempedulikan sebarang resolusi atau bantahan masyarakat antarabangsa dan terus menzalimi rakyat Palestin?

DR. HAFIDZI: Buat masa ini, sebab Israel ini seolah-olah dilindungi, bukan sahaja dilindungi AS, bahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seolah-olah tidak bermaya apabila berhadapan Israel. Ini kerana struktur PBB itu sendiri di mana AS dan beberapa negara lain, lima kuasa besar mempunyai kuasa veto. Jadi, apa-apa resolusi yang diluluskan oleh PBB, baik oleh Majlis Keselamatan atau Perhimpunan Agung sering kali diveto oleh AS yang mempunyai kuasa pembatal menyebabkan resolusi ini tidak boleh diluluskan.

Bahkan, ada juga resolusi yang diluluskan yang jumlahnya 60. Kita boleh semak bilangan yang tepat dan resolusi-resolusi khusus yang memihak kepada rakyat Palestin yang dizalimi tetapi ia tidak diendahkan oleh Israel walaupun telah diluluskan dengan sokongan majoriti di Perhimpunan Agung PBB.

Dalam keadaan Israel bersikap angkuh dan sombong, tidak ada tindakan seperti sekatan ekonomi atau ketenteraan terhadap mereka berbanding apa yang berlaku kepada Iraq, Iran dan Sudan. AS akan guna segala kuasa yang ada pada mereka untuk menyekat sebarang cabaran kepada Israel.

AS sebagai kuasa besar dunia gagal memainkan peranan untuk mencari jalan penyelesaian kepada konflik Israel-Palestin. Bagaimana tuan melihat komitmen AS dalam isu ini?

DR. HAFIDZI: Bagi AS, kepentingan Israel adalah segala-galanya kerana kepentingan Israel juga kepentingan AS. Kita tahu AS mempunyai kepentingan ekonomi dan strategik. Mereka cuba untuk mempertahankan dua kepentingan ini di Timur Tengah dengan memastikan rejim-rejim yang memerintah itu tunduk kepada kehendak AS. Sebab itu, kita tengok tidak ada proses demokrasi berlaku di negara-negara Arab di sekeliling Palestin.

Kalau berlaku pun proses demokrasi di mana rakyat memilih pemimpin mereka, AS melalui ejen-ejennya dan proksi-proksinya termasuk apa yang berlaku di Mesir, menggulingkan Presiden Dr. Mohamed Mursi yang dilantik secara sah melalui pilihan raya yang adil dan bebas. Kita boleh lihat dalam kes Mesir ini, AS akan mempertahankan kepentingannya dan kepentingan Israel demi mengukuhkan dan mengekalkan cengkamannya ke atas Timur Tengah.

Jika mereka membenarkan proses demokrasi berlaku di Arab, rakyat Arab akan membuat pilihan memihak kepada kepentingan rakyat dan kepentingan Palestin. Saya beri satu contoh apabila pihak berkuasa Palestin diberikan peluang untuk melaksanakan proses pilihan raya pada 2006. AS menjangkakan pilihan raya ini akan memihak kepada Fatah, sebaliknya rakyat memberikan kemenangan kepada Hamas. Ini menunjukkan apabila ruang demokrasi dibuka, rakyat akan buat pilihan sesuai dengan kepentingan rakyat dan Palestin. Ini yang mereka tidak mahu. Jadi, mereka kekalkan rejim-rejim sedia ada yang memerintah secara autokratik dan kuku besi. Apa pun kritikan atau kutukan daripada masyarakat antarabangsa, AS tidak akan mempedulikan kerana kepentingan nombor satu bagi AS ialah kepentingan ekonomi dan strategiknya di Timur Tengah. Ini dijamin oleh Israel.

Dan kita tengok sebenarnya keputusan berkaitan politik di AS termasuk pemilihan presiden ditentukan oleh kuasa lobi Israel yang mana paling kuat ialah Jawatankuasa Hal-Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC). Lobi ini akan menentukan siapa yang paling layak menjadi presiden dan setelah menjadi Presiden AS, semuanya kena akur dan tunduk dengan polisi serta dasar-dasar Israel.

Kita boleh semak sepanjang sejarah, tidak ada Presiden AS mengutuk Israel, sebaliknya mereka hanya memberi nasihat supaya mengawal diri. Dalam keadaan mereka membunuh rakyat Palestin, Israel dinasihatkan supaya mengawal diri sedangkan apa yang sepatutnya dilakukan ialah mengekang dan menahan Israel daripada meneruskan kebiadaban.

Aqsa Syarif aktif melaksanakan program bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin. Boleh tuan ceritakan sedikit mengenai program tersebut dan berapa banyak sumbangan yang telah dihulurkan kepada rakyat Palestin?

DR. HAFIDZI: Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia sebab setakat hari ini, kutipan dan sumbangan masuk mencurah-curah. Kita letak sasaran RM6 juta untuk tabung bantuan ‘Aqsa 2 Gaza-Emergency Relief Operasi Badar’ tetapi alhamdulillah, ia sudah melepasi dan hampir dua kali ganda daripada apa yang kita sasarkan dan bilangan itu terus meningkat.

Kita hendak maklumkan kepada penyumbang, setakat ini, separuh daripada apa yang kita kutip iaitu RM4 juta telah diagihkan kepada penduduk Gaza dalam bentuk makanan dan ubat-ubatan. RM3.5 juta di Gaza, kemudian sebahagian kecil daripadanya kita agihkan ke Lubnan kerana kita jangan lupa ada pelarian Palestin di Lubnan hidup sebagai pelarian sejak 68 tahun lalu dan mereka hidup dalam khemah-khemah pelarian yang amat daif.

Aqsa Syarif tidak melupakan mereka. Jadi semasa Ramadan, kita menghantar satu misi diketuai Ahli Pemegang Amanah Aqsa Syarif, Prof. Madya Dr. Mohd. Zin Kandar dan mereka menziarahi tujuh kem pelarian di utara dan selatan Lubnan serta mengagihkan bantuan RM500,000 di kem-kem yang sangat daif ini.

Kita hendak beritahu sebahagian besar daripada kutipan ini memang kita salurkan ke Gaza kerana situasi serangan berlaku sekarang ini. Wakil kita di sana, Ir. Ahmad Thabet al-Hafiz yang merupakan pegawai Aqsa Syarif di sana sebab kita ada pejabat di Gaza. Dia bersama dua lagi kakitangan yang juga dibiayai Aqsa Syarif mengumpulkan sembilan orang sukarelawan. Mereka ini dipecahkan kepada tiga kumpulan dan ditempatkan di tiga hospital yang mana kita tahu hospital tempat orang tercedera dibawa. Bahkan apa yang menyedihkan hospital juga menjadi sasaran serangan Israel. Mereka telah mengagihkan barang-barang makanan sejak berlaku serangan lagi.

Kita juga dalam proses membeli empat buah ambulans. Sebuah lori penuh dengan ubat-ubatan sedang menanti di Rafah hari ini yang nilainya sebanyak AS$60,000 (RM190,000). Semua ini disumbangkan oleh rakyat Malaysia. Ada 10 lori penuh dengan muatan ubat-ubatan yang dikoordinasikan oleh Gabungan Persatuan Perubatan Islam Sedunia (FIMA) dengan kerjasama beberapa persatuan perubatan di dunia termasuk Ikram Health dan pegawai kita dalam Aqsa Syarif sedang membuat koordinasi dan persediaan untuk membawa masuk bantuan ubat-ubatan ini.

Dalam tempoh empat tahun bermula 2010 hingga 2014, Aqsa Syarif telah menyampaikan pelbagai bantuan yang keseluruhannya berjumlah RM27 juta kepada rakyat Palestin. Saya harap sempena Hari Raya Aidilfitri ini, umat Islam di Malaysia tidak melupakan dan dapat berkongsi kesusahan umat Islam di Palestin. Mereka yang ingin membantu umat Islam Palestin melalui Aqsa Syarif boleh menyumbang menerusi akaun Maybank Islamic 551575004299 atau Bank Islam 12092010034904.

Apakah kekangan yang dihadapi oleh Aqsa Syarif dalam melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza?

DR. HAFIDZI: Kita mungkin akan menambah lagi bantuan ubat-ubatan ini tetapi malangnya mereka masih belum mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Mesir untuk masuk ke Gaza melalui Rafah. Sempadan Rafah masih ditutup serta dikawal dan ini amat dikesali. Kita sudah sampai kepada tahap tidak sanggup lagi merayu kepada rejim Mesir, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi, bahkan yang lebih tepat, beliau sepatutnya dikutuk dan menerima kutukan kerana sanggup membiarkan rakyat Gaza dikepung, kemudian diserang bertubi-tubi begitu, kemudian tidak memberikan ruang pula kepada pegawai-pegawai perubatan untuk masuk dan menyampaikan ubat-ubatan dan rawatan yang sangat diperlukan pada saat ini.

Ini sesuatu amat dikesali dan jelas menunjukkan sikap Mesir ini bahawa memang ada persekongkolan di antara rejim Zionis dengan pemerintah Mesir hari ini yang disokong oleh rejim-rejim Arab yang lain secara terbuka. Utusan/Rencana/20140727

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments