kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

10 faktor MAS tetap jadi pilihan

SESUDAH meletak kereta di Blok A, terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dikhaskan untuk tempoh lebih tiga hari, saya sekeluarga menuju ke kiosk mendaftar masuk. Di situ sekejap dan pantas.

Semasa hendak memasukkan beg, ada tiga lapis barisan tetapi itu pun tidak lama, sekitar 10 minit. Ini kesan positif daripada penggunaan kiosk daftar masuk. Singkatkan masa di kaunter MAS. Tambahan lagi jika kita sudah menempah tempat duduk dalam pesawat.

Pesawat Boeing 737-800 milik MAS sudah penuh. Orang Sarawak hendak pulang beraya. Disebabkan hari tersebut ialah hari terakhir Ramadan, maka juadah tidak disentuh. Setakat menjeling. Roti sandwich tuna atau ayam. Mujur puasa dalam hati saya. Tak selera pun.

Semasa pulang, pesawat tidak penuh. Mungkin 90 peratus. Makanan yang ditawarkan ayam atau ikan masak merah. Serius tidak sedap. Mujurlah ada konsep tayangan video ditayang sepanjang masa, menenggelamkan rasa tidak puas hati pada makanan.

Saya memilih menggunakan MAS untuk pulang beraya di Kuching didorong oleh 10 faktor berikut:

1 Harga tiket tidak jauh berbeza dengan syarikat penerbangan lain

Saya tidak akan memberi butiran terperinci tentang kos yang saya bayar. Ini kerana jika seseorang membeli tiket pulang beraya sejak Januari, tentunya menikmati tambang lebih murah. Saya beli tiket MAS sebulan lalu. Jadi perbandingan harga dibuat untuk tempoh tersebut. Dan itu harga pokok tiket.

2 Tiada caj terlindung dan harga makanan disertakan sekali

Jika dikira kos makanan yang terpaksa dibeli dalam pesawat, maka lagi tinggilah kos. Berbeza dengan MAS yang sertakan sekali kos makanan dalam kos tiket. Ada orang kata lebih jimat dengan konsep beli dalam pesawat. Cuma soal sedap atau tidak, ikut selera masing-masing. Juadah yang baru saya rasa, ayam masak merahnya memang berbau plastik. Ini bukan hendak menghentam tetapi setiap kali naik MAS, juadah dalam penerbangannya memang dinanti-nantikan. Harap dapat diperbaiki.

3 Wujud kawasan meletak kereta berjangka lama di KLIA

Terus-terang saya tidak pasti jika klia2 ada kemudahan ini. Bukan malas bertanya tetapi memandangkan sudah tetap 'bawai bilun' di KLIA, maka tidaklah ditanya langsung. Mungkin ada. Jika dulu selesa naik teksi tetapi dengan beg dan kotak yang besar, pengendali teksi akan memaksa kita guna teksi bersaiz besar, bermakna tambangnya pun lain daripada teksi jenis Proton Waja. Bila guna kereta sendiri, kosnya dapat jimat 40 peratus daripada tambang teksi.

4 Kesesakan di KLIA tidak merimaskan

Oleh kerana hanya MAS beroperasi bagi penerbangan domestik di KLIA, maka suasana pasar malam mega tidak dirasai di dalam terminal. Dan ruang duduk di balai berlepas pun tidak perlu berebut-rebut.

5 Risiko penerbangan tertunda adalah kecil sedikit

Ini adalah berdasarkan pengalaman peribadi, tidak tahu jika statistik rasmi DCA menunjukkan sebaliknya. Kakak yang menaiki pesawat Malindo Air agak geram kerana penerbangan dari klia2 ke Kuching tertunda dua kali, mujur masa balik tidak kena lagi. Isu ini juga menghantui AirAsia. Namun ia tidak bermakna isu ini tidak pernah berlaku pada MAS. Cuma faktanya, penerbangan pergi dan balik saya pada musim Aidilfitri berjalan lancar. Alhamdulillah.

6 MAS lebih responsif

Beza MAS dan syarikat lain ialah MAS lebih terbuka untuk responsif kepada rungutan dan aduan penumpang. MAS tahu jika sudah tersebar di media sosial, imej syarikat akan jatuh merudum. Syabas saya ucapkan kepada Ketua Komunikasi Strategik MAS, Datuk Najmuddin Abdullah - yang merupakan penyokong tegar Liverpool atas prinsip proaktif kepada pelanggan dan juga wartawan.

7 Keyakinan terhadap MAS masih utuh

Di sebalik tragedi dua pesawat MAS dan tekanan persaingan daripada syarikat penerbangan tambang murah, rakyat Malaysia tetap menggunakan MAS. Ini berkemungkinan besar disebabkan gabungan faktor yang disebut di atas. Bila pesawat penuh, bermakna keyakinan masih wujud dan kekal utuh.

8 Pelanggan tahu MAS kekal profesional

Saya ada sepupu bertugas sebagai Pramugara Kanan. Menurutnya, profesionalisme yang diberikan kepada anak-anak kapal tidak pernah berubah, malah Akademi MAS di Kelana Jaya turut menyediakan latihan kepada anak-anak kapal syarikat penerbangan lain. Ini yang penumpang mahukan daripada seluruh warga MAS. Biar berdepan dengan segala cabaran dan tekanan maha hebat, mutu perkhidmatan dan profesionalisme tidak terjejas. Ini membezakan MAS dengan pesaing-pesaingnya.

9 Mahu menyokong MAS yang berada dalam situasi tragedi

Kita semua tahu dua tragedi yang menimpa MAS. Secara automatik, saya sekeluarga berasa ada kewajipan sebagai rakyat Malaysia untuk memberi sokongan berterusan kepada MAS. Semasa bersua dengan juruterbang dan anak kapal MAS, berilah sapaan ikhlas. Ini tanda penghargaan dan sokongan kita kepada MAS. Jangan patah hati tetapi teruskan beri perkhidmatan yang terbaik. Dan lagi, bukan sedikit rakyat Malaysia dan anak kapal MAS yang terkorban dalam kedua-dua tragedi tersebut.

10 Tiada bias terhadap syarikat penerbangan lain

Ini tidak bermakna saya bias atau memboikot AirAsia, Malindo Air dan sebagainya. Tidak sama sekali. Malindo Air ialah syarikat penerbangan baharu yang kita semua alu-alukan penyertaannya di negara ini. Begitu juga dengan AirAsia, malah hubungan akhbar ini dengan AirAsia X sekarang berada pada tahap yang mesra dan saling hormat-menghormati walaupun dulu pernah dicemari dengan insiden Twitter proliberal terhadap kami. Atas semangat Aidilfitri, kami maafkan awak. Johardy Ibrahim: Utusan/Rencana/20140803

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments