kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bukalah mata, Palestin sedang mengajar kita

KETIKA artikel ini ditulis, dunia telah mengetahui lebih 1,300 orang rakyat Palestin dibunuh dengan kejam oleh Yahudi Zionis. Seluruh dunia juga mengetahui bahawa hampir 10,000 orang cedera dan berpuluh-puluh ribu yang lain menjadi pelarian sejak tercetusnya perang 25 hari yang lalu.

Reaksi pemimpin-pemimpin dunia mengenai hal ini amat menyedihkan sekali. Amerika Syarikat yang merupakan antara kuasa besar dunia telah menyerlahkan siapa diri mereka sebenar. Bukan sekadar menyatakan sokongan kepada Zionis malah `menghantar' peluru bagi membantu kempen ketenteraan zionis yang kononnya untuk mempertahankan diri.

Justeru apa lagi hendak diharapkan kepada Amerika?


Seorang pemuda Palestin yang hanya bersenjatakan batu terpaksa menyelamatkan diri apabila tentera rejim Israel secara membuta-tuli melepaskan gas pemedih mata semasa majlis pengebumian seorang remaja berusia 19 tahun, Udai Nafez pada 2 Ogos lalu di perkampungan Tebing Barat di Rafat. Allahyarham meninggal dunia selepas ditembak di bahagian dada oleh tentera Zionis di Saffa, sebuah kampung di barat Ramallah. - AFP

Pemimpin-pemimpin Arab juga lesu dan tidak berani melakukan apa-apa. Sehingga ke hari ini, tidak kedengaran suara-suara pemimpin Arab bangun membela rakyat Palestin. Mereka semua diam seribu bahasa.

Jadi kepada siapakah lagi rakyat Palestin mampu berharap? Jika tidak kepada para pemimpin Arab, jika bukan kepada kuasa-kuasa besar dunia, bolehkah mereka menaruh harapan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membela nasib mereka?

Jawapannya sudah pasti bukan semua di atas. Sebab itu para pemimpin Hamas dan rakyat Palestin berulang kali mengingatkan saudara seagama di seluruh dunia bahawa mereka tidak memerlukan wang ringgit atau bantuan harta benda. Apa yang didambakan adalah doa daripada umat Islam yang menjadi senjata paling ampuh buat mereka.

Penulis amat kagum dan terpegun dengan seruan dan permintaan saudara-saudara kita ini. Sungguh besar dan mulia hati mereka. Sungguh teguh iman mereka. Tiada apa yang diharapkan selain pertolongan Allah.

Dalam hal ini, banyak pengajaran yang boleh kita kutip daripada rakyat Palestin. Mereka sedang mengajar kita beberapa perkara.

Pertama, soal cintakan tanah air. Mereka sanggup mempertaruhkan darah dan nyawa demi mempertahankan agama, bangsa dan negara daripada terus diceroboh oleh pengganas Zionis.

Sejarah membuktikan bahawa penjajahan Zionis ke atas Palestin bermula sejak 1947. Selepas tahun tersebut, seinci demi seinci bumi Palestin dijajah secara berterusan sehinggalah negara mereka menjadi seperti sekarang.

Sejak dari tarikh tersebut, ramai rakyat Palestin telah syahid demi mempertahankan negara. Mereka tidak pernah berputus asas. Walaupun dikepung, dikurung dan dikenakan pelbagai sekatan, namun mereka pantang menyerah kalah.

Semangat inilah yang wajar kita pelajari dan teladani. Semangat tidak pernah merasa erti putus asas dan demi mempertahankan kedaulatan negara. Andai kata negara kita diserang penceroboh sepertimana Palestin pada masa sekarang, adakah rakyat kita mempunyai semangat juang yang tinggi sepertimana rakyat Palestin?

Kedua, rakyat Palestin sedang mengajar kita bahawa jangan mengharap pada manusia kerana ia akan mengecewakan. Sebaliknya berharaplah kepada Allah kerana Dia tidak akan mengecewakan kita.

Apa maksudnya jangan mengharap pada manusia? Jika kita merasakan bahawa manusia akan membantu kita ketika berada dalam kesusahan, ternyatalah kita silap. Dalam konflik Palestin-Zionis, misalnya, jika kita mengharapkan para pemimpin dunia untuk menghulurkan bantuan, ternyata kita semua silap. Seluruh dunia seolah-olah membisu dan merelakan kekejaman Zionis kepada rakyat Palestin.

Malah saudara seagama kita seperti para pemimpin Arab juga membisu. Selagi negara mereka aman dan selamat, tidak perlu bagi mereka untuk mencampuri dan membantu rakyat Palestin. Sungguh memalukan!

Mungkin sebab itu kita melihat saban hari rakyat Palestin bangun dengan gagah dan bertapak di atas kaki sendiri bagi memperjuangkan negara dan nasib mereka sendiri. Mereka telah 'merajuk' dengan masyarakat dunia dan bagi mereka cukuplah hanya Allah sebaik-baik penolong.

Ketiga, semangat juang tentera Al-Qassam wajar dijadikan contoh bukan sahaja oleh pasukan pertahanan negara seperti tentera dan polis, malah seluruh rakyat kita. Lihatlah bagaimana anggota tentera Al-Qassam disiapkan secara zahir dan batin. Pegangan kuat terhadap al-Quran dan kekuatan syiar Islam dijadikan kriteria utama bagi menganggotai skuad tersebut.

Persoalannya, adakah pasukan keselamatan negara kita seteguh Al-Qassam? Jika Al-Qassam datang ke negara kita bagi mengenal pasti pemuda dan pemudi yang setaraf ahli mereka, berapa ramaikah rakyat negara kita melepasi tapisan pertama mereka?

Keempat, seluruh rakyat di negara kita diseru supaya terus-terusan menguasai dan mendalami ilmu berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi. Dalam keadaan getir dan terkepung dengan pelbagai sekatan, pakar-pakar tempatan amat diperlukan.

Kita lihat sahaja bagaimana Palestin tanpa diduga dengan pelbagai sekatan mampu mempunyai senjata perang yang menggerunkan pihak musuh. Malah, Zionis mengakui bahawa peperangan kali ini merupakan yang paling sukar buat mereka.

Sesungguhnya Palestin sedang mengajar kita. Bagi sesiapa yang mahu berfikir dan mengambil tahu, inilah masanya untuk kita melihat siapa diri kita dan bandingkan diri kita dengan semangat juang rakyat Palestin di Gaza.

Dengan munculnya pelbagai anasir luar yang boleh merosakkan agama, bangsa dan negara, kita seharusnya membina iman yang kuat bagi menghadapi cabaran-cabaran ini dengan jayanya. Jihad kita yang utama sekarang mungkin bukan berupa jihad di medan perang tetapi jihad melawan nafsu.

Justeru, kuatkanlah benteng dalam diri kita sekuat benteng dalaman tentera Al-Qassam. Semoga kita memperoleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Ram Al Jafri Saad ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia. Utusan/Rencana/20140804/

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments