kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tribunal pentas hina Perlembagaan?

KESAN peninggalan (legasi) Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan. Jika seseorang membaca Perlembagaan Persekutuan, dia akan mendapati peruntukan-peruntukan yang kelihatan agak bertentangan. Contohnya Perkara 3 dibaca bersama Perkara 11. Di sebelah tangan terdapat Islam sebagai Agama Persekutuan tetapi di sebelah lagi tiap-tiap kumpulan agama berhak menguruskan hal-ehwal agamanya sendiri. Salah satu akibat daripada peruntukan bertentangan seperti ini adalah isu 'kalimah Allah' yang mahu digunakan oleh gereja Katolik.

Satu lagi akibat serius daripada dikotomi ini ialah ramai individu begitu vokal dalam memberi kenyataan akhbar mengenai agama sehingga seorang pengarang sebuah akhbar berpengaruh begitu paranoia sekali mengaitkan sesiapa sahaja yang menentang penggunaan kalimah Allah sebagai mengamalkan perkauman, taksub dan ekstremis.

Perdana Menteri kita telah bertindak mulia dengan menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara atau bahasa Inggerisnya, National Unity Consultative Council (NUCC), bagi menyediakan sebuah rangka tindakan perpaduan nasional bagi mempromosikan perpaduan nasional, kepaduan sosial dan kedamaian sosial (national reconciliation).

Pada pendapat saya, tujuan beliau bukan untuk melemahkan perkara-perkara yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebuah wawancara yang disiarkan Sunday Star bertarikh 27 Julai 2014 telah menyenaraikan beberapa butiran penting yang terkandung dalam tiga rang undang-undang yang dicadangkan NUCC bagi menggantikan Akta Hasutan 1948. Pendapat saya mengenai cadangan rang undang-undang tersebut adalah seperti berikut:

1. Saya tidak setuju bahawa Akta Hasutan adalah ketinggalan zaman, bersifat kejam dan bertujuan untuk memerangi pejuang kemerdekaan. Akta yang pendek ini walaupun pada asalnya diluluskan dalam tahun 1948, telah beberapa kali dipinda terutamanya selepas peristiwa 13 Mei untuk mengekang ketegangan kaum. Perkataan kekunci di sini ialah jika sesiapa bertutur atau menulis atau bertindak atau menerbitkan bahan yang mempunyai kecenderungan menghasut yang membawa kepada kebencian terhadap raja atau kerajaan atau pentadbiran keadilan atau mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan di antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia atau mempersoalkan apa-apa perkara dan hak di bawah Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan boleh disabitkan di bawah akta tersebut dan bagi mendapatkan sabitan atas kesalahan ini, pihak pendakwa raya tidak perlu menunjukkan adanya niat yang berkaitan. Meskipun niat tidak perlu dibuktikan, pihak pendakwa raya masih perlu membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan dan melampaui keraguan munasabah di akhir perbicaraan.

Bagi NUCC untuk mencadangkan bahawa pihak pendakwa raya tidak hanya perlu membuktikan niat untuk mendapat sabitan tetapi sebagai pembelaan yang tertuduh boleh menggunakan kebebasan bersuara adalah seperti menyatakan; "Ya, saya membuat ucapan tersebut yang mungkin bersifat menghasut tetapi saya tidak berniat begitu dan ucapan saya adalah hak saya untuk bebas bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan".

Pada pendapat saya, lebih baik orang seperti ini tidak didakwa dan biarkan sahaja dia bercakap dan berbuat apa sahaja jenis hasutan tanpa batasan.

2. NUCC ingin membentuk Tribunal Diskriminasi Tidak Adil (Unfair Discrimination Tribunal) yang boleh menyiasat dan menyelesaikan aduan diskriminasi tidak adil. Tribunal ini akan mempunyai kuasa untuk membuat deliberasi atas perlakuan kerajaan yang dianggap tidak berdasarkan keadilan, mengamalkan diskriminasi tidak adil berdasarkan agama, kepercayaan, keturunan, tempat lahir, jantina dan ketidakupayaan.

Pertama sekali saya ingin mempersoalkan bagaimana kita boleh menyatukan keadilan dan diskriminasi tidak adil dengan Perkara 3 dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan? Fakta bahawa Islam diberi keutamaan di bawah Perlembagaan Persekutuan berbanding agama-agama lain 'yang boleh diamalkan dengan aman dan damai' dengan sendirinya tidak saksama atas sebab Islam adalah agama bagi majoriti rakyat Malaysia (yang kini merangkumi 67%). Perkara 153 adalah dengan sendirinya berpihak kepada bangsa Melayu dan penduduk asal Sabah dan Sarawak yang diberikan keistimewaan.

Soalan saya ialah adakah tribunal yang dicadangkan ini akan membuat deliberasi di bawah Perkara 153? Kita semua sedia maklum bahawa Perkara 153 adalah diperuntukkan untuk mengatasi jurang ekonomi di antara kaum Melayu dan bukan Melayu tidak termasuk kaum India (bagaimanapun, seperti yang telah dihujahkan di Parlimen baru-baru ini, jika dilihat kini kaum India merangkumi lebih sedikit daripada 10% rakyat Malaysia tetapi 30% daripada doktor perubatan di Malaysia terdiri daripada kaum India).

Isu-isu praktikal bagi tribunal yang dicadangkan ini ialah sejauh mana tribunal ini akan bertindak untuk menuntut kehadiran pegawai kanan kerajaan dan juga menteri-menteri untuk memberi keterangan atas persoalan diskriminasi perkauman dalam melaksanakan Perkara 153 di dalam tugas mereka sebagai pegawai kerajaan atau menteri. Apakah kita akan mengutuk kerajaan sebagai tidak adil, tidak saksama dan mengamalkan diskriminasi kerana bertindak mengikut Perkara 153? Saya pasti peguam-peguam yang antikerajaan akan menggunakan tribunal ini sebagai pentas untuk menghina kerajaan.

Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan adalah dengan sendirinya jelas dan memberi perlindungan. Perkara 8 jelas menyatakan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama di sisi undang-undang. Seterusnya Perkara 8 menyatakan bahawa 'tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau perjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.

Perkara 8 juga menyatakan bahawa tiada pihak berkuasa awam boleh mendiskriminasi mana-mana orang atas alasan bahawa dia bermastautin atau menjalankan perniagaan di mana-mana bahagian Persekutuan di luar bidang kuasa pihak berkuasa itu.

Pokoknya, semenjak wujudnya Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, tidak ada apa-apa yang telah menghalang sesiapa daripada pergi ke mahkamah di Malaysia untuk mencabar perlakuan atau tindakan pegawai kerajaan ataupun menteri atas alasan tindakan mereka adalah diskriminasi dan tidak adil.

Adakah kita benar-benar memerlukan sebuah Tribunal Diskriminasi Tidak Adil? Pada pendapat saya, tidak. Adakah kita memerlukan satu tribunal untuk memalukan pegawai kerajaan ataupun menteri hanya kerana mereka menjalankan tugas mereka di bawah Perkara 153? Adakah kita mahu semua ini?

NUCC seharusnya mengehadkan fungsinya dengan memberi pendapat bagaimana kita seharusnya meminda Akta Hasutan dengan peruntukan-peruntukan tambahan yang jelas memperuntukkan bahawa perlakuan yang berbentuk perkauman dan menghasut agama tidak boleh dan tidak akan diberi tolak ansur dan kesalahan ini boleh membawa kepada sabitan dan hukuman. Saya berpendapat Akta Hasutan tidak perlu dimansuhkan.

Sebagai alternatif kita boleh mempunyai satu Akta Harmoni dan Perpaduan Kebangsaan, khas untuk menangani isu bagaimana kita boleh menyatupadukan semua kaum di Malaysia melalui dialog, perbincangan, perbahasan dan sebagainya.

Kita tidak perlu mewujudkan tiga akta baru merangkumi topik yang sudah dirangkumi dan dilindungi oleh Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 3 dan Seksyen 4 Akta Hasutan. Apa yang harus dilakukan ialah penguatkuasaan akta-akta yang ada terhadap sesiapa atau apa-apa badan yang bertutur atau memberi kenyataan yang cenderung kepada hasutan.

Menubuhkan tribunal dengan kuasa-kuasa seperti yang dicadangkan oleh NUCC tidak seharusnya dibenarkan di negara yang berbilang kaum seperti negara kita.

Jika kita benar-benar mahukan negara Malaysia yang bersatu-padu, sebagai permulaan kita seharusnya berbuat sesuatu tentang sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan mempunyai satu sahaja sekolah kebangsaan untuk mendidik anak-anak kita seperti di Singapura. Adakah kita semua mempunyai keberanian untuk melakukannya? Nampaknya tidak.

Jika NUCC tidak berhati-hati, ia akan dituduh sebagai satu badan yang ingin melemahkan tujuan Perkara-Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan. Datuk Abdul Ghani Abdullah pengaran@utusan.com.my Utusan/Rencana/20140804

Tags: perlembagaan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments