kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Provokasi media sosial amat berbahaya

Media sosial nampaknya menjadi cara hidup moden yang sangat popular. Kebanyakan daripada anak muda hari ini mempunyai akaun media sosial sendiri. Malah, mereka seperti artis popular, berlumba-lumba mengumpul peminat melalui saluran itu sekarang ini.

Semakin tinggi jumlah ‘like’ atau ‘add’ maka makin ramailah peminat dan pengikutnya sama ada di media sosial seperti Facebook mahu pun Instagram. Malah semakin banyak status yang diletakkan sebagai ‘trendy’ dan sesetengahnya menjadi ‘viral’ dalam dunia maya.


Media sosial yang sepatutnya merapatkan hubungan sesama ahli masyarakat, menyampaikan maklumat yang boleh dikongsi dan meningkatkan kefahaman sesuatu isu, selain mendorong pemikiran berbudaya tinggi dan berilmu serta mampu menjadikan kita anggota masyarakat dunia yang dapat meneruskan kelangsungan dunia secara lestari, aman damai dan sejahtera.


Status cetus konflik

Sebaliknya, sebahagian besar status di laman sosial termasuk juga komen dalam berita atas talian sekarang menjadi medan untuk menimbulkan perasaan marah, geram dan kebencian dengan kesan luar jangkaan.

Lihat saja bagaimana seorang wanita dihadapkan ke mahkamah apabila perbuatannya dirakam melalui video, dimuat naik ke laman sosial dan kemudian menjadi ‘viral’ sehingga akhirnya dia dibawa ke muka pengadilan.
Begitu juga kisah status laman sosial yang bersifat provokasi dan penghinaan terhadap sesuatu agama dan bangsa yang juga banyak terjadi sekarang ini tanpa rasa bersalah dan segan silu. Sebahagiannya bersifat menghina segala sesuatu manakala sesetengahnya akibat sikap bebal, jahil dan kedangkalan kefahaman terhadap agama serta budaya lain semata-mata berasaskan nafsu dan amarahnya.

Ia turut menjadi medan ‘provokasi,’ menjatuhkan air muka dan mengaibkan sesetengah orang malah juga meletakkan pelbagai imej dan rakaman video yang boleh mengganggu ketenteraman awam, selain ada yang mengerikan malah melanggar tata susila, adab mahu pun sensitiviti masyarakat.

Perkataan lucah, sensitif dan kecaman yang melangkaui nilai masyarakat semakin berkembang seolah-olah tidak ada siapa yang mampu menghalangnya.

Malah, peristiwa seperti nahas pesawat MH17 mahupun kehilangan pesawat MH370 dibincang dan didebatkan secara terbuka, sesetengahnya bersifat menghukum dan meletakkan kesalahan tanpa membuat analisis matang berasaskan fakta yang benar.


Perbincangan terbuka

Jauh lebih malang lagi apabila isu perkauman dan politik dijadikan bahan perbincangan yang boleh mendorong kepada perkara yang merosakkan, menggambarkan kedangkalan pemikiran dan sesetengahnya menunjukkan ketidakcerdikan dalam berbahasa, berkata-kata apatah lagi tindakan yang diambil.

Hari ini, kita boleh lihat status yang dijadikan ‘viral’ video yang menunjukkan tindakan ganas berasaskan kaum dan bangsa, provokasi yang boleh membawa kepada perkara di luar jangkaan jika tidak bersikap berhati-hati termasuk menimbulkan kebencian dan kemarahan awam.

Hakikatnya, kita perlu lebih berhati-hati dalam berkata-kata, bertindak dan melakukan sesuatu kerana perbuatan itu boleh dirakam dan disebarkan dalam sekelip mata. Kita boleh dimalukan, diadili, dihina malah dipuja melalui sebaran laman sosial ke seluruh dunia, tanpa sempadan dan sekatan kecuali menerusi peruntukan undang-undang yang ada.

Masyarakat perlu dididik tentang hal ini dan etika tertentu perlu ada dalam memastikan laman sosial tidak merosakkan nilai kesejahteraan bersama.

Pengguna media sosial perlu bersikap bijaksana dalam menunjukkan peribadi diri ketika berinteraksi kerana ia juga mewakili dan menggambarkan sifat peribadi seseorang. Media sosial sama seperti pisau di tangan yang boleh digunakan untuk kebaikan atau pun melukakan orang lain.

Sebagai sebahagian daripada sifat globalisasi, nilai baharu yang dibangunkan melalui media sosial perlu dipantau agar tidak memudaratkan orang lain apatah lagi menjadi alat menghancurkan tamadun yang dibina, merosakkan peradaban.

Yang pasti, laman sosial mendekatkan yang jauh tetapi menjauhkan yang dekat apabila masa yang ada lebih banyak dihabiskan melalui komunikasi maya daripada bersemuka. Kita perlu pastikan juga supaya suasana hari raya ini tidak dirosakkan oleh gajet yang melekakan untuk kemas kini laman sosial daripada mengeratkan silaturahim. Mohamad Abdullah ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia. Berita Harian Kolumnis 2014/08/04 - 08:58:20 AM
Tags: media
Subscribe

  • Bahasa

    Bahasa berfungsi sebagai pintu masuk ke dalam minda, kata ahli psikologi. Oleh itu, tidak menghairankan bahawa cara kita bercakap dapat…

  • Kuasai bahasa ibunda

    Celik atau kenal huruf ( literasi) ditakrifkan sebagai kemampuan membaca dan menulis dalam bahasa. (Kamus Dewan) Literasi sering dilihat sebagai…

  • Zaaba pencetus kebangkitan Melayu

    ZAABA atau nama asalnya Zainal Abidin Ahmad, seorang tokoh ilmuwan yang sangat dikenali rakyat dan mendapat sanjungan sebagai seorang pendeta.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments