kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Aidilfitri penuh duka

Raya puasa tahun ini bukanlah raya yang gembira bagi kita rakyat Malaysia. Banyak kejadian dan peristiwa buruk buat kita dukacita.

Walaupun kita diseru bergembira pada hari raya kerana berjaya tunai puasa Ramadan, bayar zakat fitrah dan dipanjangkan usia oleh Allah Taala, tapi susah juga kita nak ketepikan tragedi dan kecelakaan yang timpa kita.


Kita mungkin boleh berasa gembira dalam keluarga dan di kalangan sanak saudara yang datang berkunjung atau yang kita kunjungi.

Tapi bila kita ambil kira dan fikir berkenaan saudara-saudara kita yang ditimpa tragedi dan kemalangan, rasa gembira kita tak tahan lama atau kita berasa bersalah bergembira sedangkan mereka berduka.

Tak keterlaluan kalau Kunta Kinte kata, boleh jadi inilah Aidilfitri paling tragik dalam sejarah negara kita sebagai negara merdeka.

Dalam masa lebih sikit empat bulan dua buah kapal terbang MAS dengan 547 penumpang dan anak kapal dilanda tragedi. Sebuah hilang tanpa kesan pada 8 Mac dan sebuah lagi ditembak jatuh pada 17 Julai.

Tak cukup dengan itu, wilayah kita di Sabah diserang pengganas bersenjata, rakyat kita dan pelancong asing diculik dan macam-macam lagi musibah yang ragut nyawa dan harta benda. Bunuh, rompak, samun, rogol dan curi dah jadi peristiwa harian.

Nilai perbuatan kita

Bila Kunta Kinte kata ini mungkin balasan, ada orang marah. Kunta Kinte tak peduli dimarahi dan dikutuk. Tapi Kunta Kinte harap sama-samalah kita fikir dan nilai perbuatan serta tindak-tanduk kita.

Sesiapa yang raya di Lembah Klang pada hari raya pertama dan kedua dilemaskan pula oleh jerebu tebal yang melebihi paras bahaya. Nasib baiklah ada sikit hujan di sana sini untuk redakan kesan jerebu.

Ada orang kata, jerebu dan kemarau adalah kesan fenomena cuaca El Nino. Banyak kawasan hutan dan belukar terbakar atau sengaja dibakar di Malaysia dan Indonesia.

Silap-silap catuan air akan dikuatkuasakan semula di Selangor. El Nino diramalkan akan berterusan sampai bulan depan.

Di luar negara pula, dunia Islam terus bergolak. Tak cukup dengan umat Islam dianiaya dan dibunuh oleh musuh Islam macam oleh Israel di Gaza, orang Islam sendiri berbunuhan antara satu sama lain atas nama agama.

Kalau ini bukan bala, ujian dan balasan, Kunta Kinte tak tahu apa lagi. Nampak seolah-olah segala yang buruk dan jijik ada kaitan dengan orang Islam dan negara Islam.

Jadi dalam suasana kita di Malaysia dan umat Islam di merata pelosok dunia Islam dilanda macam-macam bencana, Kunta Kinte rasa seronok baca berita baik mengenai orang Islam.

Alhamdulillah bukan semua orang Islam fanatik, melampau dan ganas. Bukan semua gagal, melarat dan menderita.

Ramai umat Islam yang tinggal di negara bukan Islam sebagai minoriti hidup dalam keadaan aman dan damai. Mereka berjaya sesuaikan diri dengan keadaan dan diterima oleh masyarakat majoriti.

Ada beberapa keping gambar yang Kunta Kinte tengok dalam surat khabar dan Internet yang buatkan Kunta Kinte rasa gembira dan bangga.

Ada sekeping gambar orang Islam Russia solat sunat Aidilfitri di sebuah masjid di bandar raya Moscow sampai melimpah ke jalan raya. Macam itu juga di banyak ibu negara bukan Islam lain di merata dunia.


Bangga dengan orang Islam

Kunta Kinte bangga dengan orang Islam yang merantau ke negara-negara bukan Islam dan berjaya. Itulah yang diserukan kepada orang Islam setiap masa – tunaikan solat dan carilah kejayaan. Kita diperintah bertaburan di muka bumi untuk cari rezeki dan selalu mengingati Allah.

Kunta Kinte tak berani nak seru-seru. Tapi dalam keadaan negara kita dilanda macam-macam tragedi, bencana dan musibah, Kunta Kinte rasa eloklah kita saling ingat mengingatkan.

Inilah tugas berat pemimpin-pemimpin agama dan orang yang dalam ilmu agama. Mereka wajib bagi nasihat kepada yang sesat dan tegahlah hal-hal syirik daripada merebak. Jangan mereka pula bersubahat kerana kedudukan dan pangkat. Moga-moga kita dijauhkan daripada kemurkaan Allah. Wallahuaklam. Kunta Kinte Berita Harian Kolumnis 2014/08/04 - 08:38:51 AM
Tags: aidilfitri
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments