kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hari Raya muram untuk pembangkang

Ramai pemimpin Pakatan Rakyat tidak ceria pada Hari Raya tahun ini. Mereka tidak dapat bergembira seperti orang lain. Mereka saling mengata, tuduh menuduh dan menghentam satu sama lain. Ketika umat Islam lain berqiamulail sepanjang 10 malam terakhir Ramadan, pemimpin PR berjaga malam untuk merancang dan berstrategi menjatuhkan sesama sendiri.

Banyak masa dan tenaga diguna untuk bermesyuarat bagi meredakan keadaan dan mencari jalan penyelesaian kemelut yang dihadapi. Dalam pada itu, ada pemimpin yang menuntut partinya keluar pakatan pembangkang, ada juga yang memberi amaran gabungan parti pembangkang itu boleh berpecah jika masalah antara mereka tidak dapat diselesaikan.


Cukup ironis, gabungan parti politik yang kononnya kuat, hebat dan mampu memberi harapan baru kepada rakyat Malaysia sedang bergaduh besar dan mungkin di ambang perpecahan hanya 15 bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.


Semua strategi gagal, tidak menjadi

Paling kecoh ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengarah Strategi, Rafizi Ramli adalah dua individu paling dibenci ramai pemimpin dan penyokong pembangkang sendiri. Pelbagai rancangan dan manipulasi politik mereka tidak dimaklumkan kepada pemimpin lain dalam PKR, mahupun PAS dan DAP. Lebih teruk, hampir semuanya gagal dan tidak menjadi, lalu menimbulkan pelbagai masalah. Untuk menutup satu masalah, mereka timbulkan masalah lain. Inilah punca masalah dalam PKR dan pembangkang tidak putus-putus.

Antara yang bengang ialah kumpulan pro-Azmin Ali, yang marah kerana Timbalan Presiden PKR itu dua kali kena ‘main’, yakni ketika Anwar memastikan hanya nama beliau dan isteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dicalonkan bagi jawatan Presiden PKR bagi mengelak Azmin menang jawatan itu dan apabila nama Azmin tidak disenaraikan sebagai calon Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Diberitakan rombongan Azmin sudah jumpa Anwar dua kali, tapi Anwar berkeras dan guna kuasa ‘veto’nya untuk menyekat pencalonan Azmin bagi memberi laluan kepada isterinya. Azmin, yang mendapat sokongan dua naib presiden, ketua AMK, ketua wanita dan lebih separuh daripada 20 ahli Majlis Tertinggi PKR, dikatakan hanya menunggu masa untuk mengorak langkah dan ‘melanggar’ Anwar, jika perlu, bagi survival politiknya.

Turut marah ialah kumpulan pro-Abdul Khalid Ibrahim yang ditekan pelbagai cara, diugut dan dihina di khalayak. Ada antara mereka yang digantung keahlian, diboikot dan dibuang parti. Semata-mata kerana mempertahankan ketua mereka daripada menjadi mangsa Anwar dan Rafizi, yang mahu Abdul Khalid letak jawatan segera sebagai MB Selangor. Walaupun mengakui ‘Langkah Kajang’ rekaan Rafizi sudah gagal, Anwar tetap dengan hasrat menjatuhkan Abdul Khalid.

Menurut Anwar, Abdul Khalid boleh terus jadi MB hanya dengan satu syarat: buang Faekah Hussin. Bekas Setiausaha Politik kepada Abdul Khalid dan kini ketua eksekutif MB Selangor Incorporated, Faekah adalah pengkritik Anwar dan Rafizi yang tegar. Beliau menentang banyak rancangan jahat Anwar dan pertikai motif Rafizi yang dilihat gila kuasa. Berbekal semangat ‘lawan tetap lawan’, Abdul Khalid yang berpegang kepada prinsip ketelusan, keadilan dan tadbir urus yang baik, mahu meneruskan khidmat sehingga 2018 kerana tahu beliau mendapat sokongan majoriti pimpinan utama PAS, UMNO dan BN. Lebih penting, beliau disokong Sultan dan rakyat Selangor.

Tidak berselindung lagi, pemimpin utama PAS juga tidak sekata lagi dengan Anwar walaupun beliau Ketua Pembangkang. Presiden dan Mursyidul Am PAS jelas menolak cadangan Anwar untuk ganti Abdul Khalid dengan isterinya. Pendirian mereka di sokong Dewan Ulama dan PAS Selangor. Paling vokal ialah Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang minta Anwar bersara kerana sikap semberono dan diktatornya, serta menyusahkan ramai rakyat Malaysia kerana kes moralnya. Beberapa pemimpin lain turut mempertahan Dr Zuhdi yang dikecam Rafizi dan beberapa pemimpin DAP ekoran isu bocornya analisis ringkas Dr Zuhdi melalui WhatsApp.


Tak percaya ‘Langkah Kajang’

Mereka tidak percaya dengan ‘Langkah Kajang’ sejak awal dan alasan Rafizi bahawa Selangor perlu MB yang kuat dan matang untuk menangani pelbagai isu berkaitan kaum dan agama di negeri itu bagi mengelak dimanipulasi oleh UMNO-BN. Rafizi juga beralasan penggantian MB Selangor adalah untuk memastikan negeri itu selamat daripada jatuh ke tangan kumpulan ultra pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menguasai pimpinan negara apabila Najib gugur. Tidak tahulah apa yang menyebabkan Anwar serta beberapa pemimpin DAP dan PAS (seperti Mohamad Sabu, Khalid Samad dan Mahfuz Omar) boleh percaya dengan cerita Aladin ala-Rafizi, tapi majoriti pemimpin utama PAS tidak mahu terperangkap dengan alasan bodoh separuh masak ini. Jika alasan sama dikemukakan hari ini, ia pasti dianggap lucu dan tidak masuk akal.

Walaupun Aidilfitri sudah berlalu, tiada tanda bahawa semangat silaturahim dan ‘maaf zahir batin’ wujud antara pemimpin pembangkang ekoran krisis Selangor yang masuk tahun ke-2. Ramai yang menantikan tarikh 10 Ogos apabila pemimpin utama pembangkang bermesyuarat sekali lagi untuk melihat langkah mereka seterusnya.   Berita Harian Kolumnis 2014/08/04 - 09:02:54 AM Juhaidi Yean Abdullah
Tags: aidilfitri, politik
Subscribe

  • Politik , Politicking

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Fitnah dan Memburukan

    Minta maaf atau sedia di saman , minta maaf atau jumpa di mahkamah sudah menjadi ‘bahasa pertuturan’ kegemaran masa kini baik kepada…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments