Tags: dendam

Hentikan budaya balas dendam kesumat

Saya tertanya-tanya sama ada ia berlaku di negara kita yang tercinta ini. Tetapi saya rasa sesiapa sahaja yang terbabit dalam kejadian pasti akan merasakan gegaran sebenar.

Sama ada niat dan tujuan untuk membalas dendam dan bertindak balas kenyataan itu kelihatannya berbaur politik.

Membalas dendam adalah sesuatu niat yang menyakitkan, dan merupakan pengistilahan berkaitan dengan konsep.

Matlamat membalas dendam adalah untuk menghapuskan rasa malu dari penghinaan dan mengembalikan maruah.

Membalas dendam adalah sebagai tindakan balas terhadap mereka yang anda anggap telah bersalah dan menyebabkan anda dipersalahkan.

Dendam dan membalas dendam adalah tindak balas manusia yang mengerikan terhadap ketidakadilan dan keganasan.

Prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan, kemaafan dan pengampunan, adalah penawar terbaik untuk menjinakkan tindak balas manusia yang dahsyat ini.

Oleh itu, hanya demokrasi dalam berpolitik  yang boleh menguatkuasakan prinsip-prinsip ini dan mengelakkan idea berdendam yang menguasai interaksi sosial dan politik.

Politik kuasa dan ketuanan bukanlah satu-satunya bentuk ekspresi membalas dendam, tetapi juga menguatkuasakan gagasan membalas dendam dengan mempromosikan ketidakadilan dan kerendahan hati.

Kamus Webster mendefinisikan berdendam untuk membalas dendam dengan bertindakbalas dalam bentuk atau tahap untuk menyebabkan kecederaan sebagai balasan untuk sesuatu, seperti membalas dendam dengan penghinaan yang serupa
.
Konflik berdendam sudah berlaku berabad-abad lamanya. Shakespeare berkata, "Jika anda menusuk kami, kami tidak berdarah, jika anda menggeletek kami, kami tidak ketawa Jika anda meracuni kami, kami tidak mati, dan jika anda salah, adakah kami tidak akan membalas dendam?"

Shakespeare jelas berfikir bahawa membalas dendam adalah sesuatu kebiasan dan boleh diramal seperti waktu terbitnya matahari.

Memang ada kebenarannya, tetapi bagaimana dengan idea bahawa balas dendam itu adalah merosakkan diri?

Confucius berkata, "Sebelum anda memulakan perjalanan untuk membalas dendam, eloklah anda menggali dua liang kubur."

Gandhi seolah-olah bersetuju dengannya ketika dia berkata, "Satu mata untuk satu mata hanya berakhir menjadikan seluruh dunia buta."

Membalas dendam seolah-olah menjadi salah satu naluri dalam diri kita.

Siapa agaknya yang tidak akan berkata, "Saya berharap dia akan mendapat pembalasan," atau berharap karma akan menimpa sipelaku?

Kenyataan, Clint Eastwood dalam filem Dirty Harry, "teruskan, ia akan mengembirakan saya" bergema sepanjang zaman.

Dendam yang tidak terkawal, menyerang dan serangan balas, boleh menghacurkan dan memusnahkan kehidupan semua yang terlibat. Tetapi naluri dan emosi kita biasanya mempunyai tujuan.

Penyelidik dan ahli teori percaya bahawa membalas dendam adalah satu bentuk terciptanya keadilan dan ancaman membalas dendam boleh menjadi satu bentuk perlindungan, seakan penguatkuasaan kerjasama sosial.

Bayangkan bahawa jiran anda mengadakan satu majlis besaran semalaman dan tetamunya meletakkan kereta mereka dan menghalang dan menggangu laluan keluar masuk kerumah anda.

Sekiranya anda percaya bahawa jiran anda adalah orang yang rasional yang tidak kisah untuk bertindakbalas, anda mungkin akan tergoda untuk mengunci kereta tetamu atau mengotorkan kereta mereka dengan telur. Jika anda fikir jiran anda akan "bersama anda," maka anda mungkin tidak akan bertindak mengikut kemarahan anda.


Mungkin tujuan membalas dendam adalah untuk menghalang tindakan tertentu atau ancaman membalas dendam akan mengamankan mereka yang cuba menyakiti anda pada masa akan datang.

Tetapi kadang-kadang orang bertindak membalas dendam apabila tidak ada kebaikan yang diperolehi dari tindakan mereka, selain daripada memberi penderitaan terhadap orang lain.

Orang yang telah dilukai atau dikhianati percaya tanpa sebarang keraguan bahawa jika pihak lain menderita, maka mereka akan merasa lebih baik, emosi mereka akan berkurang. Adakah ini benar?

Semangat untuk membalas dendam adalah kuat dan kadang-kadang hampir melampau. Tetapi intuitif logik kita tentang balas dendam sering berpintal, bertentangan, parokial, dan berbahaya.

Membalas dendam adalah tindak balas primitif, merosakkan, perlakuan ganas daripada kemarahan, kecederaan, atau penghinaan. Ia adalah satu cubaan yang sesat untuk mengubah malu menjadi kebanggaan.

Badan kerajaan, agama, tradisi, dan budaya menyediakan bimbingan dan peraturan mengenai bagaimana ‘dendam’ boleh diatasi.

Malangnya bimbingan dan peraturan ini sering tidak memuaskan kerana ia tidak termasuk kumpulan tertentu, secara umumnya tidak membawa kepada peningkatan, tidak digunakan secara sekata, dan biasanya membawa kepada keganasan yang berlarutan dan bertambah.

Azizi Ahmad Berita Harian Surat Pembaca 21 Disember 2018

Shakespeare dan plot dendam

WILLIAM Shakespeare, adalah seorang daripada penulis kisah tragedi yang paling dikenali di dunia, diakui kemahirannya mencipta babak-babak drama paling tegang dan dianggap hanya dapat disaingi oleh penulis zaman purba Greek bernama Aeschylus.

Mempelajari karya Shakespeare amat sukar. Untuk mencapai kefahaman, seseorang itu harus memiliki minat mendalam dan keinginan membuak-buak. Bahasa Inggeris yang digunakan adalah adunan Inggeris klasik dengan ejaan sebelum zaman The Beatles.

Membaca Hamlet rasanya sama berat seperti menelaah Keluarga Gerilya karya Pramoedya Ananta Toer, hingga tergamak menyoal guru: mengapa kita harus mengkaji buku Indonesia, apakah sudah tiada karya penulis Malaysia? Soalan itu terpacul bukan didorong unsur patriotik tetapi lebih disebabkan ‘sulitnya mahu dimengerti bahasa Indonesia, Pak’.

Ungkapan dalam teks Hamlet yang paling terkenal ialah perenggan pertama: “To be, or not to be: that is the question". Terjemahan bebas : “Nak jadi atau tak: itulah persoalannya’.

Ayat Shakespeare tersebut adalah pernyataan terhadap inti pati karyanya yang sarat dengan elemen keganasan dan kematian, yang dipersetujui oleh ramai sarjana yang mengkaji semua karya beliau sebagai kesan tragik serta paling berkuasa sebagai alat kesusasteraan.

Beliau kebanyakannya menggunakan elemen membalas dendam kerana sifat ini adalah sangat semula jadi pada manusia yang begitu mendalam emosinya untuk menjurus ke jalan keganasan. Malah, sifat membalas dendam adalah sifat durjana manusia yang wujud pada setiap masa dan dengan memaparkan kesan timbal balik tragik akibat dendam yang membara, Shakespeare menyalurkan mesej yang sangat kuat kepada kemanusiaan.

Dendam secara umumnya digariskan sebagai tindakan keras terhadap seseorang atau kumpulan sebagai tindak balas daripada kemarahan, sama ada bersifat nyata atau tanggapan. Sifat ini juga diistilahkan sebagai payback (bayar balik), hukuman, tindak balas atau dendam. Ada yang menyifatkannya sebagai suatu bentuk keadilan, tindakan altruistik yang mengukuhkan keadilan sosial atau moral selain daripada sistem perundangan.

Ada pihak yang membahaskan bahawa sistem perundangan itu sendiri adalah suatu bentuk balas dendam tetapi berpaksi kepada konsep keadilan iaitu ‘kekerasan’ dibalas kepada penjenayah dalam bentuk hukuman iaitu penjara, sebat dan sebagainya.

Sistem perundangan Barat menyatakan matlamat utama mereka ialah untuk mengubah atau mendidik semula penjenayah. Dalam sistem tersebut, masyarakat dianggap sebagai mangsa kepada tindakan penjenayah, dan tanggapan bagi tindakan seumpamanya adalah bahagian terpenting dalam konsep keadilan iaitu penjenayah ‘membayar hutangnya kepada masyarakat’.

Dalam Islam, membalas dendam ditegah sama sekali. Misalnya jika seseorang didapati membunuh, orang lain diharamkan membalas dendam. Islam menggariskan syarat dalam isu ini dan kuasa khas tertentu sahaja dibenarkan mengambil tindakan sewajarnya. Islam menggalakkan toleransi meskipun berdepan dalam situasi pembunuhan.

Pada zaman feudal Jepun, masyarakat kasta Samurai mempertahankan maruah keluarga atau ketuanya dengan amalan pembunuhan dendam atau katakiuchi. Konsep ini sangat brutal kerana membabitkan pembunuhan dendam terhadap ahli keluarga individu yang melanggar peraturan. Menurut beberapa tulisan, konsep ini masih diamalkan di Jepun hari ini.

Di Itali, kumpulan jenayah terancang mafia dari dulu hingga ke hari ini, mengamalkan ‘vendetta’ iaitu hutang darah dibalas dengan darah. Saling berbalas bunuh ini berlarutan bertahun-tahun sehingga semua anggota keluarga mati.

Dalam filem mafia jugalah kita diperkenalkan dengan pepatah “revenge is a dish best served cold" (balas dendam adalah makanan terbaik disaji dingin) yang memberi gambaran bahawa adalah lebih memuaskan hati bila dendam itu dibalas terhadap sesiapa tanpa disedari atau dijangka atau diketahui.

Terdapat juga kaedah membalas dendam yang menggabungkan cara psikologi dan keagamaan. Misalnya seorang pembiaya yang gagal mendapat balik bayaran hutang daripada pemiutang. Lalu dilafazkannya ‘‘tidak halal dunia dan akhirat!’’. Seorang Muslim akan cepat memahami konsep tidak halal ini sangat berat terutama dalam keadaan bila nazak, azab yang dialaminya akan berlarutan selagi tiada kemaafan diberi oleh pembiaya tersebut. Dengan melafazkan ‘tidak halal’ itu, pembiaya berkenaan tahu dia memberi amaran, sekali gus jaminan pemiutang yang curang akan ditimpa azab kerana tidak menjelaskan hutang.

Elemen dendam yang dipaparkan dalam karya Shakespeare, kemudiannya menjadi ikutan pengkarya merentasi zaman termasuk novel “The Count of Monte Cristo" oleh Alexandre Dumas dan cerpen “The Cask of Amontillado" oleh Edgar Allan Poe. Malah dendam menjadi plot popular dalam filem-filem. Tentunya anda pernah menonton The Unforgiven arahan Clint Eastwood terbitan 1992. Atau yang kerap diulang tayang, The Count of Monte Cristo versi 2002 arahan Kevin Reynolds.

Dua filem di atas memaparkan elemen membalas dendam dalam dua era berbeza. Filem Clint Eastwood bercorak koboi manakala Monte Cristo pada zaman Napoleon Bonaparte abad ke-19 di Perancis.

Dalam semua agama dan kajian sosial, perbuatan membalas dendam adalah dilarang. Kajian pakar sakit jiwa, Dr. Kevin Carlsmith menggariskan bahawa orang mengharapkan ganjaran hedonik apabila mereka menghukum pesalah tetapi dalam beberapa contoh, membalas dendam mempunyai kesan akibat yang bertentangan sama sekali daripada yang mereka harapkan.

Hasil tiga kaji selidik yang dilakukan, Dr. Carlsmith merumuskan bahawa orang yang membalas dendam berterusan memikirkan perihal pesalah, sementara mereka yang tidak berbuat demikian telah pun ‘bergerak ke depan’ dan kurang memikirkan hal pesalah. Rumusan kedua ialah orang gagal menghargai perbezaan kesan akibat daripada menyaksi dan memulakan balas dendam.

Membalas dendam bagi sesetengah orang, mungkin satu-satunya cara mereka mampu meraih keadilan di dunia. Orang lain tidak mungkin akan mengerti. Seeloknya kita elakkan daripada memulakan permusuhan dengan sesiapa, terutama yang rapat dan intim. Kerana bila mereka berdendam, tiada siapa mampu menenangkan hati mereka.



Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Online Rencana 09/06/2013